Hikayat Merong Mahawangsa

ANALISIS CIRI-CIRI KARYA AGUNG DALAM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Mohd Rusdi Samsuddin, Siti Fairus Ahmad, Fatimah Hikmah Saipul Anuar,
NorHidayahwati Salim, dan Noor Hazimah Zainuddin

1.0            Latar belakang Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah sebuah karya agung yang terdapat dalam bidang kesusasteraan Melayu. Selain daripada Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat juga hikayat-hikayat lain yang sering dibincangkan dalam dunia sejarah sastera seperti Hikayat Raja Pasai, Sulalat al-Salatin, Hikayat Johor dan sebagainya. Persoalan yang sering timbul bukan sahaja pada Hikayat Merong Mahawangsa namun juga karya-karya agung yang lain berkenaan dengan catatan tarikh sebenar penulisan karya-karya ini. Walaupun naskhah Hikayat Merong Mahawangsa tidak mencatatkan tarikh yang tepat tentang permulaan penulisan mahupun pengakhiran penulisan, namun tarikh karya ini selesai disalin semula iaitu pada tahun 1316.
Sama seperti naskhah Sejarah Melayu, karya Hikayat Merong Mahawangsa ini ditulis bagi memenuhi suruhan sultannya iaitu Sultan Muadzam Syah yang dipercayai sebagai sultan Kedah kedua daripada jurai keturunannya yang beragama Islam. Arahan ini bertujuan untuk memastikan agar anak cucu keturunan sultan Kedah mengetahui tentang asal usul, peraturan segala raja-raja Melayu dan istiadat raja-raja Melayu. Perkara ini dibuktikan daripada petikan yang terdapat dalam bab pertama naskhah ini.
Setelah itu maka titah baginda yang maha mulia, junjungkan ke atas jemala fakir, demikianlah titah yang maha mulia: ‘Bahawa hamba pinta perbuatkan hikayat pada tuan, peri peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya boleh diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita ini, serta dikurniai dengan sejarahnya.’

Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa penghasilkan karya Hikayat Merong Mahawangsa sememangnya mempunyai motif sejarahnya yang tersendiri. Motif sejarah ini dapat mencatatkan peristiwa masa lalu untuk pengetahuan masyarakat masa akan datang.

2.0              Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa ini mempunyai lima bahagian kesemuanya. Hikayat ini dimulakan dengan penceritaan antara Burong Garuda dengan Nabi Allah Sulaiman. Berikutan dengan perjanjian yang telah dilakukan antara Burong Geroda dengan Nabi Allah Sulaiman menyebabkan terjadinya peristiwa angkatan Raja Merong Mahawangsa yang telah dimusnahkan dengan serangan Burong Geroda, terbinanya Kerajaan Langkasuka dan hukuman yang diterima oleh Burong Geroda di atas kekhilafan yang dilakukan dalam perjanjiannya dengan Nabi Allah Sulaiman.
Serangan yang dilakukan oleh Burong Garoda menyebabkan Merong Mahawangsa telah berpisah dengan anak Raja Rom. Perpisahan inilah menyebabkan Merong Mahawangsa sampai ke satu kawasan yang mengharapkannya untuk menjadi raja di kawasan tersebut. Disinilah bermulanya kerajaan Negeri Kedah yang berada di bawah pemerintahannya kemudian diturunkan takhtanya kepada anaknya, Raja Merong Mahadipusat. Dalam pemerintahan Merong Mahadipusat inilah bermulanya hubungan antara Kedah dan Siam.
Pemerintahan Kedah mengalami pergolakan semasa berada di bawah pemerintahan Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih dikenali dengan Raja bersiung. Semasa pemerintahan Raja Bersiung, rakyat dan kerajaan menjadi huru hara sehingga raja terpaksa diserang dengan rakyat yang menuntut keadilan daripada raja dan akhirnya raja hilang di dalam buluh semasa melarikan diri daripada rakyatnya. Kehilangan Raja Bersiung menyebabkan Kedah tidak mempunyai raja untuk memerintah dan mencari pengganti kepadanya. Kemudian berlaku peperangan perebutan kekuasaan pemerintahan  negeri Kedah. Segala-galanya kembali aman setelah Kedah berada di bawah pemerintahan Raja Phra Ong Mahaputisat.
Raja Phra Ong Mahaputisat mempunyai seorang putera yang bernama Phra Ong Mahawangsa. Raja Phra Ong Mahaputisat telah memberikan takhtanya kepada puteranya. Semasa berada di bawah pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsa inilah saat kegemilangan ajaran Islam di mana saat inilah ajaran Islam mula diperkenalkan yang bertitik tolak daripada pengislaman Raja Phra Ong Mahawangsa oleh Syeikh Abdullah. Pengislaman Raja Phra Ong Mahawangsa menyebabkan panggilannya telah diubah kepada Sultan Muzalfal Syah. Pengakhiran hikayat ini menunjukkan struktur permerintahan Kerajaan Kedah yang semakin kukuh.

3.0             Aspek yang dianalisis
Sesebuah hasil karya kesusasteraan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri sehingga mampu diangkat sebagai sebuah karya agung. Tidak semua karya kesusasteraan yang dihasilkan dapat diangkat sebagai sebuah karya yang bertaraf karya agung. Oleh yang demikian, penelitian ciri-ciri karya kesusasteraan ini akan dikhususkan dalam aspek pemikiran dalam karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung, nilai ilmu dalam karya agung dan teknik kepengarangan dan seni bahasa dalam karya agung. Aspek-aspek ini akan dilihat dalam naskhah Hikayat Merong Mahawangsa yang diselenggara oleh Siti Hawa Salleh seperti berikut:
3.1              Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 411), pemikiran dapat didefinisikan sebagai perihal berfikir. Dalam bidang sastera pula, pemikiran ini selalunya dimulakan dengan idea yang diperoleh oleh pengarang yang kemudiannya diolah oleh pengarang sehingga menjadi sebuah karya atau buah fikiran yang bernas. Secara mudahnya, pemikiran dapat dikaitkan dengan perkara utama atau tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam sesebuah karya. Pemikiran dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini telah diskopkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil yang merangkumi pemikiran dalam pembukaan negeri Kedah, penubuhan kerajaan, pemerintahan raja, hubungan diplomatik dan kedatangan Islam yang merangkumi pemelukan raja dan rakyat. 
3.1.1        Pembukaan Negeri Kedah
Ada beberapa peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan pembukaan negeri Kedah. Segala-galanya bertitik tolak kepada peristiwa perjanjian yang dilakukan oleh burung Garoda dengan Nabi Allah Sulaiman yang menyatakan bahawa dia akan memisahkan hubungan yang akan dijalinkan antara Raja Rom dan Raja China dengan mengahwinkan anak-anak mereka. Burung Garoda telah melakukan perjanjian untuk menghalang hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut. Burung Garoda telah menyerang bahtera yang dinaiki oleh anak Raja Rom dan Merong Mahawangsa. Serangan telah dilakukan secara bertubi-tubi dan menyebabkan anak Raja Rom berpisah dengan pembantunya iaitu Merong Mahawangsa. Bahtera anak Raja Rom yang telah disambar oleh burung Garoda menyebabkan bahtera tersebut musnah dan anak Raja Rom dihanyutkan laut.
Apabila Raja Merong Mahawangsa menjadi raja di Langkasuka, maka baginda telah memerintah Langkasuka dengan baik. Namun yang demikian, beberapa lama kemudian, utusan Raja Merong Mahawangsa kembali daripada menghadap Raja China. Utusannya telah membawa utusan anak Raja Rom yang dijumpai semasa menghadap Raja China.  Kemudian, Raja Merong Mahawangsa terpaksa belayar bersama-sama dengan utusan anak Raja Rom untuk berjumpa dengan anak Raja Rom. Sebelum berlayar, Raja Merong Mahawangsa telah memberikan takhtanya kepada puteranya iaitu MerongMahadipusat untuk memerintah Langkasuka. Hal ini dibuktikan berdasarkan teks yang berikut:
“… Maka sembah segala menteri, ‘patut sangat tuanku menamakan negeri ini, supaya tidak sesat daripada sebutannya.’ Maka sembah pula menteri Rum, ‘bukanlah dengan kemudahan juga mendapat negeri ini, dengan tiada sukarnya, jikalau kepada namanya pun demikian jua.’ Maka titah Raja Merong Mahawangsa, ‘jika demikian, hendaklah kita namakan negeri ini Negeri Kedah Zamin Turan sebutannya.”
        (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 30)
Dengan nama yang telah diberikan oleh Raja Merong Mahawangsa, maka secara tidak langsung, tertubuhlah sebuah negeri yang bernama Kedah. Setelah itu, segala pemerintahan telah diamanahkan kepada anakandanya iaitu Raja MerongMahadipusat.
3.1.2        Penubuhan kerajaan
Sebelum keberangkatan Raja Merong Mahawangsa menghadap anak Raja Rum, baginda telah memberikan beberapa wasiat kepada anakandanya, Raja MerongMahadipusat. Raja Merong Mahawangsa menitahkan anakandanya untuk memperbesar empayar pemerintahannya dengan meminta anakanda-anakanda Raja MerongMahadipusat membuka kerajaan-kerajaan baru. Hal ini dibuktikan daripada teks yang berikut:
“Serta titahnya, ‘ hai anakku Raja MerongMahadipusat, jikalau anakku beroleh anak pada zaman ini, hendaklah anakku rajakan akan dia seorang sebelah utara barat laut, seorang sebelah selatan timur menenggara daripada negeri Kedah ini dan seorang sebelah matahari naik antara timur laut.”
       
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 30)
Akhirnya, Raja MerongMahadipusat telah dikurniakan empat orang anakanda, tiga orang anakanda lelaki dan seorang anakanda perempuan. Raja MerongMahadipusat telah mengikut wasiat dan saranan daripada ayahandanya. Anakandanya yang tua telah dihantar untuk membina sebuah kerajaan yang dinamakan sebagai Benua Siam. Anakandanya yang tengah pula dihantar untuk membina kerajaan yang dinamakan Negeri perak manakala anakanda perempuannya pula telah memerintah sebuah kerajaan yang bernama Patani. Manakala anakandanya yang akhir diberikan takhtanya untuk diwarisi apabila baginda mangkat kelak. Maka dengan ini, jelaslah bahawa keempat-empat anakanda Raja MerongMahadipusat telah menubuhkan kerajaan yang tersendiri seperti yang diinginkan oleh datuknya, Raja Merong Mahawangsa.
3.1.3        Asal usul raja dan kedaulatan pemerintahan beraja
Mustafa Mohd Isa (1999:90) menyatakan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa juga mahu menonjolkan raja-raja Kedah itu berasal daripada raja besar dunia. Kalau Sejarah Melayu menyatakan raja-raja Melaka berasal daripada Raja IskandarDzulkarnain maka pengarang teks ini mendakwa bahawa raja-raja Kedah berasal daripada Raja Merong Mahawangsa dari Rum. Raja ini sangat perkasa hingga burung Geroda tidak dapat mengalahkannya. Selepas Raja Merong Mahawangsa meninggalkan zuriatnya di Negeri Kedah, ia balik ke Rum. Daripada keturunannya lahirlah dinasti kesultanan Kedah. Raja-raja Kedah daripada keturunan Raja Merong Mahawangsa ini semuanya baik-baik belaka kecuali Raja Phra Ong Maha Perita Deria atau Raja Bersiung yang kejam dan zalim. Kejahatan Raja Bersiung ini mungkin kerana ibunya cucu Nang Miri itu gergasi.
Kezaliman dan kejahatan Raja Bersiung ini dapat dilihat dalam teks yang berikut:
“Demi Raja Bersiung mendengar sembah perempuan itu, maka ia pun menyarungkan pedangnya serta bertitah, ‘ Baiklah, lalu berangkat keluar ke balai rong bertitah , ‘ Mana penghulu biduanda sekalian? Bukankah ada orang yang kita suruh bunuh sulakan itu pada hari ini? Ambil cawan itu, isikan darahnya, bawa ke mari kepada aku.”
                                                                     (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 46 & 47)
Disebabkan oleh tabiatnya yang kejam dan suka makan daging rakyatnya menyebabkan permaisurinya dan menteri keempat melakukan rancangan untuk memberontak. Menurut Siti Hawa Haji Salleh (2009: 345), walaupun  ada penentangan antara rakyat dengan raja dalam Hikayat Merong Mahawangsa, peristiwa itu tidak disebut sebagai menderhaka. Daripada apa yang diceritakan, pengarang seolah-olah secara tisak langsung mengakui bahawa penentangan terhadap Raja Bersiung adalah sah dari segi undang-undang. Raja bersiung digambarkan memerintah dengan zalim, mementingkan diri sendiri lebih daripada kesejahteraan rakyat dan merupakan pihak yang pertama menyimpang daripada perjanjian yang telah dimeterai. Peristiwa ini adalah satu-satunya dalam hasil sastera Melayu tradisional yang merestui pemberontakan rakyat terhadap raja kerana apa yang berlaku bertentangan dengan konsep kerajaan itu sendiri. Walau bagaimanapun, jelas kelihatan bahawa hasil kesusasteraan Melayu tradisional dengan berlatarkan pelbagai warna dan budaya memberi gambaran yang berkesan tentang kedaulatan raja yang berkaitan. Ternyata dalam karya sastera sejarah Melayu tradisional, ‘daulat’ mencipta maknanya yang sangat luas.
Pengarang telah menghilangkan Raja Bersiung dalam buluh bagi menunjukkan bahawa raja mempunyai tempat yang tinggi berbanding dengan rakyat dan raja tidak boleh diperlakukan sesuka hati oleh rakyat kerana ia akan menjatuhkan nama institusi beraja yang selama ini dihormati oleh masyarakat terutamanya masyarakat tradisional. Namun, setelah Raja Bersiung keluar dari Kedah, anakandanya iaitu Raja Phra Ong Mahaputisat telah memerintah Kedah dengan aman dan sentosa.

3.1.4        Kedatangan Islam yang merangkumi pemelukan raja dan rakyat
Kedatangan Islam ini bermula apabila wujudnya watak Syeikh Abdullah yang mengikuti Penghulu Syaitan Iblis untuk melakukan kejahatan dan kesesatan terhadap masyarakat agar terus hidup dalam kesesatan dan kegelapan. Namun  yang demikian, setelah Penghulu Syaitan Iblis cuba untuk menyesatkan Raja Phra Ong Mahawangsadengan arak dan air kencingnya, menyebabkan Syeikh Abdullah menghalangnya dan akhirnya Syeikh Abdullah muncul di hadapan Raja Phra Ong Mahawangsa akibat daripada Penghulu Syaitan Iblis yang meninggalkannya daripada perjalanan untuk menyesatkan lebih ramai manusia. Kehadiran Syeikh Abdullah di hadapan Raja Phra Ong Mahawangsa telah menyedarkan baginda kerana Syeikh Abdullah telah menerangkan segala-galanya kepada baginda dan akhirnya baginda telah dibukakan hati untuk menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Syeikh Mahawangsa. Penerimaan Islam oleh Raja Phra Ong Mahawangsa dibuktikan dalam teks yang berikut:

“Maka kata Raja Phra Ong Mahawangsa, ‘Jikalau demikian, hendaklah tuan hamba tolong hamba sekalian ini, ajarkan agama Islam yang sebenar itu.”

      (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 100)
Demikian, maka jelaslah bahawa pengislaman Raja Phra Ong Mahawangsa menjadi titik tolak kepada pengislaman rakyat jelata yang berada di bawah pemerintahannya. Oleh yang demikian, bermula daripada pengislaman ini, pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsa menjadi lebih berstruktur dengan perubahan pada namanya iaitu Raja Muzalfar Syah dan sistem pentadbirannya berlandaskan agama Islam.
Inilah antara aspek pemikiran yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi contoh dan perincian yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menyentuh aspek pemikiran dalam karya agung.

3.2 Nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung
Hikayat Merong Mahawangsa yang telah dikaji dan diperkenalkan oleh Siti Hawa Haji Salleh (1991) ini banyak mempunyai nilai Melayu yang tersembunyi. Malahan, setiap penulisan sejarah tradisional Melayu, mereka kebanyakannya hendak  menggambarkan cara hidup dan pemikiran masyarakat yang melahirkannya dengan jelas. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, banyak memperkatakan tentang nilai budaya Melayu yang tinggi yang ingin disampaikan kepada pembaca agar pembaca dapat mencontohi nilai tersebut.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), nilai adalah taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, mutu, serta taraf. Ini bermakna, nilai adalah ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian dan sebagainya yang ada pada individu.
Terdapat banyak nilai yang dapat dikenal pasti daripada Hikayat Merong Mahawangsa yang dikaji. Nilai-nilai tersebut ialah taat kepada perintah raja, menghormati ibu bapa, berpegang teguh kepada adat resam, memuliakan yang tua, dan belas kasihan.
1.                  Taat perintah raja  
Menghormati raja dan pemimpin merupakan perilaku atau perkara yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi sehinggalah sekarang. Sehinggakan, sesiapa yang ingkar akan perintah raja akan dikenakan tulah iaitu kehidupan mereka akan sengsara atau mendapat nasib yang buruk. 
“Demi didengar oleh sekaliannya titah Raja Merong Mahawangsa yang demikian itu, maka sekalian itupun mengerahkan sekalian orangnya suruh beringat-ingat serta memegang senjata masing2 tangan.”
      (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 6)
Raja Merong Mahawangsa telah menerima tugas yang diberikan oleh raja Rom dengan senang hati. Arahan yang diberikan oleh raja Rom agar Raja Merong Mahawangsa pergi ke Benua China untuk menggantikannya dan menyampaikan hasratnya untuk mengahwinankan anakandanya dengan puteri raja Benua China. Hal ini menunjukkan bahawa, sikap Raja Merong Mahawangsa yang menerima tugas yang diberikan membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang taat kepada raja dan pemimpin.
2.                  Menghormati ibu bapa.
Nilai ini dituntut dalam Islam kerana kedudukan, martabat dan kemuliaan ibu bapa sangat istimewa serta tinggi sekali sehinggakan ibu bapa adalah yang kedua perlu dihormati selepas yang Maha Pencipta. Raja Merong Mahapudisat digambarkan sebagai seorang yang taat kepada perintah ayahnya, Raja Merong Mahawangsa untuk menempatkan anak-anaknya di beberapa buah tempat supaya dapat mendirikan kerajaan baru. Perkara ini dapat dilihat pada halaman 37.
“Setelah didengar oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu, lalu ia bertitah kepada menterinya, “Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil … , kita beri ia pergi bersama-sama anak kita…”
      (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 32)
Raja Merong Mahapudisat segera menitahkan pembesarnya untuk menyediakan keperluan serta askar pengiring untuk anakandanya berhijrah ke tempat lain bagi membuka penempatan baru. Raja Merong Mahapudisat dilihat sebagai seorang yang sangat taat kepada perintah ayahandanya. Beliau segera melakukan suruhan ayahandanya setelah diingatkan oleh pembesarnya.
3.                  Berpegang teguh kepada adat resam
Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuklah pantang-larang dan adat istiadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun.
“...setelah sudah dibaca surat itu lalu sama duduk sekaliannya itu berjabat tangan. Maka raja China pun menyorong puannya sirih persantapan pada Raja Jin Harman Syah, katanya, “Makanlah sirih hai saudaraku Raja Harman Syah,”serta menyuruh keluar ia itu.”
                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 23)
Sirih dan pinang berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa, masyarakat Melayu etika itu. Dalam petikan di atas adat makan sirih digunakan ketika menyambut tetamu.
4.                  Menghormati orang tua
Masyarakat dahulu kaya dengan budi perketi. Nilai menghormati orang tua juga termasuk dalam karya-karya yang menjadi penghibur disamping mendidik. Contohnya dalam hikayat yang dikaji ini.
“Maka sahut anak raja Rom itu dengan perlahan-lahan, “Hai ibuku, bahawa dengan sesungguhnya beta ini manusia juga. Betalah anak raja Rom, hendak pergi kahwin dengan puteri anak raja Benua China dengan beberapa buah bahtera…”
                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 14)
Dapat dilihat memalui contoh yang ditunjukkan, walaupun anak raja Rom dalam keadaan sakit setelah bahteranya di musnahkan oleh burung geroda, beliau masih lagi mampu mengucapkan kata-kata yang bersopan kepada Mak Inang. Malahan beliau membahasakan ibu kepada Mak Inang.
5.                  Belas kasihan
Orang Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan.
“Maka mak inang tuan puteri itu pun terlalulah belas kasihan hatinya mendengarkan hal anak raja Rom itu lalu ia pun kembali pada tuan puteri persembahkan hal itu sekalianya dengan suka tertawanya.”
      (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 14)
Dapat dilihat bahawa Mak Inang dan Tuan Puteri mempunyai sifat belas kasihan dan untuk menolong anak raja Rom yang berada di dalam kesusahan. Walaupun pada mulanya, mereka tidak mengenali anak raja Rom tersebut, namun mereka tetap menolongnya.
Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125), budaya daripada perkataan Sanskrit iaitu duddayah yang merupakan perkataan jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara umumnya, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris pula budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali dalam kalangan ahli antropologi sebagai fahaman determinism atau penentuan budaya. Selain itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau. Terdapat beberapa budaya yang dikenal pasti terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa iaitu budaya Islam, Hindu, dan adat perkahwinan.
6.      Budaya Islam
Dalam hikayat yang dikaji, terdapat banyak budaya Islam yang daikenal pasti. Hal ini dilihat sewaktu pengislaman Sultan Kedah. Contohnya seperti di bawah yang menunjukkan Sheikh Abdullah memberitahu perkara yang perlu dilakukan sebagai seorang hamba yang beragama Islam.
“Adapun yang harus bagi kita perbuat masjid tempat sembahyang itu diperbuat gendangraya kepada delapan hari sekali dipukul daripada pagi sampai waktu zuhur, sembahyang Jumaat. Maka berhenti tanda berhimpun segala anak mukim hendak sembahyang Jumaat kepada masjid itu, kadar kedengaran bunyi dendang raya. Itulah tuanku, yang bernama tiang agama pada syariat Nabi Muhammad Rasulullah pada segala kaum umatnya yang mahu menurut kitab Quran serta Sabdanya itu, supaya termasyhurlah nama raja menteri di dalam negeri itu mengerjakan amal ibadat akan Allah subahanahu wa taala, adalah sudah dengan tempatnya rumah akan ganti Ka’batu’Llah di negeri Mekah Madinah.”
                                                                        (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 103)

7.                  Budaya Hindu
Terdapat juga budaya Hindu yang diterpakan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini. Kelihatan sangat jelas pada awal karya ditulis iaitu sebelum kedatangan Islam, kebanyankkan nama yang digunakan berasal daripada perkataan Hindu. Selain itu, perkataan dewa-dewa turut dikenal pasti seperti contoh yang dikemukakan.
“Maka sembah seorang menteri daripada dewa-dewa, ‘Ada, tuanku, kepada dataran tanah besar sebelah Pulau Seri namanya, ia membuat negeri serta hendak menanti ambil kalau-kalau ada duli tuanku hidup.”
      (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 21)



8.                  Adat Perkahwinan
Adat perkahwinan ditunjukkan secara langsung dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang dikaji. Adat perkahwinan yang dilaksanakan semasa perkahwinan Raja Merong Mahadipusat. Persiapan perkahwinan yang dilaksanakan seawal 40 hari 40 malam. Turut dimeriahkan dengan bunyi-bunyian, hidangan makanan dan disambut dengan penuh meriah oleh segala menteri, hulu balang dan orang ramai. Hal ini menunjukkan bahawa adat perkahwinan yang dilaksanakan tersangat meriah dan dilaksanakan secara besar-besaran.
“Maka Raja Merong Mahawangsa pun berangkatlah masuk ke istana diiringkan oleh anakanda baginda itu serta menyuruh memulai kerja berjaga-jaga mengerjakan anakanda baginda itu, dengan makan minum dan bersuka-sukaan dengan beberapa banyak perburuan yang disembelih jadi tambul ornag berjaga-jaga itu, serta dengan segala permainan daripada gong, gendang, serunai, nafiri, harbab, kecapi, dandi, muri, kopak, ceracap, serdam, bangsi, nahara, menjadi empat puluh hari empat puluh malam yang berjaga makan minum dengan segala menteri, hulu balang, para penggawa sekalian, terlalulah ramainya. Setelah genaplah empat puluh hari, maka pada hari yang baik dan saat yang sejahtera, pada ketika itulah dikahwinkan anakanda baginda itu dengan seorang anak raja perempuan, serta direncanakan gelarnya bernama Raja Merong Mahapudisat, serta diambil segala anak menteri yang ada sedia ibu bapanya yang tua-tua duduk bersama-sama dengan ayahanda baginda Raja Merong Mahawangsa itulah jadi ganti ibu bapanya jadi menteri, hulubalang, para pengawanya.”
      (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 29)

Maksud pandangan hidup secara umum menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 126) ialah satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai tertentu. Manakala pandangan hidup daripada perspektif Islam pula menurut Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125), ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Setiap masyarakat selalu memiliki pandangan hidup tersebut, begitu juga dengan masyarakat Melayu.
Terdapat beberapa pandangan hidup yang dikenal pasti dalam hikayat yang dikaji iaitu menghormati autoriti, percaya pada takdir, berpegang pada janji, menganggungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan, mengambil keputusan daripada tindakan yang difikirkan, sentiasa memelihara hubungan baik, pemenang akan berkuasa, dan memerintah dengan adil dan saksama.  
9.                  Menghormati autoriti
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, dapat dilihat pandangan hidup burung garuda yang tetap menghormati Nabi Allah Sulaiman sebagai autoriti dan yang berkuasa di dunia pada waktu itu. Walaupun burung garuda tersebut merancangkan kejahatan dengan berniat mahu memisahkan Raja Rum dengan puteri benua China, dia tetap bertanya dan merujuk kepada Nabi Allah Sulaiman untuk memberitahu akan rancangannya itu.
“Maka kata burung garuda kepada burung rajawali: ‘Dimana dapat ia sekalian hendak mengerjakan pekerjaan itu? Pada fikiranku tiada boleh jadi, tetapi nantilah dahulu, aku hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman karena ia itu raja besar di dalam dunia ini. Jikalau sudah ada seperti yang demikian itu, tiadalah aku beri jadi pekerjaan nikah keduanya anak raja dua buah negeri itu’”
 (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 3)
10.              Percaya kepada takdir
Pandangan hidup ini dapat kita lihat dalam diri Nabi Allah Sulaiman. Baginda sangat percaya kepada takdir. Hal ini dapat dilihat dalam kepercayaan baginda mengenai jodoh pertemuan yang tidak dapat dipisahkan.
“Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai burung garuda, demi Tuhan yang menjadikan aku, adapun jodo pertemuan itu didalam batu atau didalam kayu sekalipun tiada yang dapat mencheraikan dia’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 3)
11.              Berpegang kepada janji
Sungguhpun, burung garuda memasang niat yang tidak baik dan merancang perpisahan antara raja Rum dan puteri raja benua China, namun dia seorang yang berpegang kepada janji. Burung garuda berjanji kepada Nabi Allah Sulaiman akan mengundurkan diri dan tidak mengganggu kedua-dua anak raja tersebut andainya dia tidak berjaya memisahkan kedua-duanya. Janji burung garuda ini ditepatinya dan dia pergi membawa diri ke laut Kalzum yang jauh daripada manusia.
“Maka burung garuda itupun berdatang sembah, ‘Ya  Nabi Allah, hambamu pohonkan ampun banyak2 diatas nyawa badan hambamu daripada kesalahan hambamu yang telah lalu itu. ya Nabi Allah, mohonlah hambamu pada tahun, bulan, hari ini, hendak pergi keluar daripada bawah langit dan bumi ini, barang kemana hambamu bawa diri, hambamu diberi izin oleh Nabi Allah diatas hambamu ini.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 21)
12.              Mengagungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan
Hikayat Merong Mahawangsa ini juga memperlihatkan betapa Nabi Allah Sulaiman sangat mengagungkan dan mempercayai akan pekerjaan dan kekuasaan Tuhan. Baginda percaya bahawa hanya Tuhan yang mempunyai kuasa atas segalanya dan manusia atau makluk Tuhan tidak dapat menentukan sesuatu perkara sekalipun. Baginda percaya kepada janji Tuhan dan kekuasaan Tuhan. Kepercayaan baginda dapat dilihat semasa baginda berkata-kata dan memberi pengajaran dan tauladan kepada raja-raja dan menteri-menteri berkenaan dengan tindakan burung garuda yang cuba mencabar kekuasaan Tuhan dengan memisahkan manusia yang telah ditetapkan-Nya untuk bersatu.
“Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai segala raja2 dan menteriku bangsa yang baik2, hendaklah engkau dan kamu sekalian ketahui, demi Tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekalian diatas segala makluknya, dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada Tuhan alam. Pertama rezki, sedikit atau banyak ada sehari semalam itu tiadalah segala makluk hendak tentukan, sekalian dengan janjinya juga. Kedua, perkara yang memutuskan rezkinya, seperti yang akan datang mara dan maut, hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua. Ketiga, perkaranya jodo pertemuan satu2 makluknya; jikalau berhimpunlah seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang dijadikan Allah Ta’ala, hendak mencheraikannya, melainkan dengan kehendak Tuhan yang menjadikan sekalian alam jua, dengan janjinya. Keempat, perkara pencheraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itupun dengan janjinya jua.’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 20)
13.              Mengambil keputusan daripada tindakan yang difikirkan
Pandangan hidup dalam karya agung ini juga turut memperlihatkan bahawa terdapatnya manusia yang mengambil keputusan berdasarkan tindakan yang difikirkannya. Contohnya, anak tengah Raja Merong Mahapudisat disuruh ayahandanya mencari bumi yang baik untuk membina negeri baru. Baginda bertemu dengan beberapa pulau yang cantik dan sesuai dijadikan penempatan. Oleh hal demikian, baginda mengambil keputusan untuk memilih sebuah pulau sahaja yang terkena dengan anak panahnya itu.
“Maka diambilnya sebiji anak panahnya daripada perak yang amat putih, lalu dikenakannya kepada busurnya yang bernama Panah Indera Sakti, katanya, ‘Hai Indera Sakti, jatuhlah engkau kepada bumi pulau tiga empat biji itu. dimana engkau jatuh sekarang, disitulah aku perbuat negeri dan kota parit tempat aku diam.’ Maka ditariknya busurnya itu serta memanahkan ke udara berdengung-dengung bunyinya seperti kumbang menyering bunga lakunya, hilang ghaib. Seketika datanglah jatuh pada suatu tempat pulau; dengan sebab itulah dinamakan Pulau Indera Sakti.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 34)
14.              Sentiasa memelihara hubungan baik
Dalam hikayat ini, Raja Seri Mahawangsa berfikir dan berharap akan hubungan baik antara dia dan adik beradiknya akan berkekalan sampai anak cucunya. Dengan demikian, nama baik sahaja yang diingat orang pada masa akan datang, bukannya kejahatan.
“‘Apa juga yang baik aku hendak membalaskan akan anak saudaraku itu,’ dengan tilik nazarnya dan fikirnya yang putus di dalam hatinya, biarlah jangan lagi tersebut nama kejahatan pada seisi alam dunia ini, supaya jangan jadi berputusan daripada umur aku ini boleh sampai pada anak chuchu jangan tersebut nama kejahatan pada segala raja2 dan pada khalayak sekalian.’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 37)
15.              Pemenang akan berkuasa
Pandangan hidup ini dapat dilihat dalam diri Raja Kelana Hitam. Baginda berminat untuk menjadi raja negeri Kedah memandangkan sebelum ini terdapat perkhabaran bahawa negeri tersebut tidak beraja sampailah mereka menemukan anak Raja Bersiung dan menabalkannya menjadi raja. Apabila diceritakan keadaan Kedah yang sudah kembali beraja, Raja Kelana Hitam tidak berpuas hati. Oleh sebab itu, baginda memutuskan untuk mengambil negeri Kedah secara rampasan jika tidak diizinkan menjadi raja.
“Demi didengar oleh Raja Kelana Hitam, maka naik marahlah ia, mukanya merah seperti bunga raya, serta titahnya, ‘Main yang mana kamu tewas dan peperangan yang mana kamu sudah alah, tiada patutkah aku menjadi raja didalam negeri Kedah? Jika tiada boleh aku menjadi raja dengan baik, maka kuambil juga dengan senjataku. Maka hendaklah kamu katakan pada penghulu engkau itu, jikalau ia hendak menggalang-galang dan menyekat kami sekalian ini hendak pergi ke negeri Kedah itu, keluarlah ia ke medan peperangan melihatkan pertikaman kami, baik esok atau sekarang ini, itupun yang mana jadi keseukaan kamu.’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 64)
16.              Memerintah dengan adil dan saksama
Pandangan hidup ini diceritakan oleh menteri Kelahum kepada Raja Phra Ong Mahapudisat supaya baginda berpegang kepada pandangan tersebut dalam pemerintahannya. Dia mengajar dan menasihati Raja Phra agar sentiasa memiliki kasih kepada rakyat jelatanya. Dengan kasih, baginda pasti dapat memerintah dengan bijaksana dan menjadi pemerintah yang disayangi oleh rakyat.
“Setelah itu lalu diperjamukan makan minum pula kepada sekaliannya itu serta dengan memalu bunyi-bunyian dan mengajarkan Raja Phra Ong Mahaputisat itu sharat orang menjadi raja: ‘Mahulah baik2, menaruh sabar dan mengasihani diatas segala rakyat bala dan daripada hamba sahaya sekalipun mahulah dengan adil dan murah hati dengan memberi derma kurnia sedekah akan fakir miskin dan yang patut dibunuh sehari itupun hendaklah ditaruh sampai tiga empat hari supaya dihalusi baik2 baru dibunuh dan yang mana menjadi raja didalam negeri Kedah bumi tanah itupun jangan duduk setempat buat kota parit tempat yang diam itu dan mahulah ada seorang raja yang memegang negeri mahulah suatu kota. Maka menjadi ramailah orang bumi tanah Kedah ini. Adapun tanah bumi ini baharulah sangat menjadi daratan tempat kita duduk inipun baik tempat bumi tanah yang baik dengan daratan boleh diperbuat seperti kota parit akan tempat segala raja2 hendak dibuat negeri duduk itu.’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 71)

3.3 Nilai Ilmu
Yayasan Karyawan (2000) terdapat beberapa gambaran secara menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Gambaran ini diperoleh daripada tradisi Melayu sumber ilmu yang penting berkaiatan dengan pengalaman ( praktik ), abad dan budi. Ilmu berdasarkan pengalaman dan pemerhatian lebih penting daripada ilmu abstrak. Nilai ini digambarkan dalam sastera Melayu melalui istilah “pandai” :pandai besi, pandaikeris, pandai emas dan sebagainya. Petua orang tua-tua, yang dianggap sudah sudah diuji zaman atau pengalaman, sangat dihormati dan dijadikan rujukan  ilmu ( yang juga penting untuk memelihara adat dan warisan bersama ).
Tradisi Melayu juga mengiktirafkan dan cukup menghormati orang yang menguasai ilmu batin (mistik), ilmu ramalan (ilmu spekulatif) dan “ilmu bahasa”. Istilah budi bahasa  menegaskan nilai ini. Yang penting ialah budi (adab dan moral) yang harus dibentuk  bukan sahaja melalui proses pemasyarakatan atau pengalaman bersama tetapi juga melalui akal. Ini terbayang dalam ungkapan “akal budi”, yang bermaksud akal (fikiran) berlandaskan budi dan baru lahirnya kebijaksanaan.Raja Melayu bergantung kepada manusia “pandai” kraf, manusia yang pandai bermain senjata dan manusia mistik sebagai lambing kekuatan kerajaannya.
Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa ( HMM), terdapat beberapa nilai ilmu yang boleh dikaitkan dalam aspek ilmu.  Mana Sikana (1996) bidang falsafah terbahagi kepada enam nilai ilmu iaituilmu teologi, ilmu etika, ilmu estika, ilmu mantik, ilmu metafizika,dan ilmu kosmologi.
1.       Ilmu Teologi
Istilah teologi berasal daripada perkataan ‘Theos’ (Yunani) yang diertikan sebagai ‘Tuhan’ dan ‘Logos’ yang memberi maksud ‘ilmu’. Jadi, ilmu teologi dapat diinterprestasikan sebagai ilmu tentang Tuhan atau ilmu ketuhanan. Ilmu teologi berkisar tentang Tuhan dan hubungannya dengan manusia, sama ada berdasarkan kebenaran wahyu ataupun penyelidikan akal murni. Ilmu teologi berfungsi untuk memantapkan kepercayaan-kepercayaan dan keimanan bagi menghilangkan pelbagai keraguan dari sudut Islam.
Berdasarkan HMM, terdapat ilmu teologi yang menunjukkan unsur kepercayaan kepada Tuhan di dalam karya tersebut :
 “Maka sangatlah Shekh Abdullah Amani menghafaz Quran itu. Maka ia membaca tafsir.”
                                                (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 78)
2.       Ilmu Etika
Teori tentang tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan  buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal merupakan ilmu etika. Kata etika berasal daripada kata ethos yang bermaksud adat kebiasaan. Etika berbeza dengan pengertian moral. Moral merupakan tindakan manusia yang baik dan wajar, manakala etika pula lebih bersifat teori dan lebih menyelidik, memikir dan mempertimbangkan tentang yang baik dan yang buruk. Jadi, moral ini sebenarnya dibentuk daripada etika yang lahir hasil daripada budaya manusia.
“Maka Raja Merong Mahawangsa pun duduk di dalam negeri yang yang baharu diperbuatnya itu, hingga sampai beroleh seorang putera laki-laki, terlalu baik rupa parasnya, serta dengan besar, panjang nipis, agung-agungan, ditakuti oleh orang sekalian.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 25)
3.       Ilmu Estetika
Ilmu yang membahaskan tentang keindahan dan kesenian disebut sebagai estetika. John Cohn(1869-1967), seorang ahli falsafah Jerman mendefinisikan estetika sebagai teori tentang keindahan dan seni, manakala Maz Dessoir yang hidup pada zaman yang sama juga mengatakan bahawa lapangan estetika jauh lebih luas daripada bidang keindahan. Ruang lingkup estetika merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan sedih dan lucu, yang bergaya dan yang mulia, bahkan yang buruk atau busuk pun dapat dikaitkan dengan keindahan, keindahan yang relatif. Konsep keindahan yang dikenali sebagai al-jamal terdapat dalam Islam. Antara nilai ilmu estetika yang terdapat dalam HMM adalah seperti contoh-contoh di bawah:
“Adapun pelayaran angkatan anak Raja Rum hendak pergi kahwin ke Benua Chinaitu adalah seperti burung terbang ke sarang, dan tiangnya seperti batang pepara lakukannya, barang di mana berlabuh dan berhenti itu sperti pulau yang besar…”
                                                            (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 6)
4.       Ilmu Metafizika
Aristotle menyatakan bahawa ilmu metafizika merupakan ilmu agama kerana beliau percaya dengan kewujudan Tuhan, dan itu sebagai tanda alam daripada segala yang wujud. Manakala Al-Kindi pula memandang metafizika itu sebagai falsafah yang membahaskan tentang makluk dan alam abstraknya. Ibn Sina menyatakan tentang argumentasi ontology yang berkisar tentang pemikiran tentang ilmu kejadian dan hakikatnya. Falsafah ini berbicara tentang tiga subjek yang menjadi perbincangan iaitu Tuhan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal seperti pohon, air dan lain-lain.
Berdasarkan HMM, terdapat beberapa contoh yang menunjukkan unsur ilmu metafizika, antaranya :
Selama peninggal perang Seri Rama dan Anduman jadi sunyilah pulau itu. Tiada siapa-siapa duduk; maka datanglah seekor burung geroda yang amat besarnya. …Maka burung geroda itu pun pada masa zaman Seri Rama dan Anduman biasa masuk perang, banyak juga kesaktiannya dan banyak juga segala binatang yang terbang dan berjalan di bumi takut akan dia.”
                                                            (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 2)


5.       Ilmu Kosmologi
Falsafah yang mengkaji tentang hal-hal yang berhubung dengan alam disebut sebagai kosmologi. 
Antara ilmu kosmologi yang terdapat dalam HMM ialah seperti contoh di bawah :
“…hamba menceraikan anak raja kedua itu nescaya hamba undurlah daripada bawah langit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala manusia sekalian ini.”
                                                            (Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 3)

3.4 Teknik Kepengarangan
Dalam dunia sastera, kepengarangan adalah aspek yang penting dalam mempengaruhi kedudukan sesebuah teks dan sesorang sasterawan. Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Biasanya kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seorang pengarang. Kepengarangan pula dianalisis daripada aspek keperibadian, seorang pengarang itu biasanya akan berhadapan dengan beberapa tahap penulisannya.
Seorang pengarang perlu mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ia akan mempengaruhi daya kreativitinya. Pengalaman diperoleh melalui bayangan, ingatan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelididikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuk yang bersifat konseptual dan kontekstual. Pengumpulan bahan dalam aspek kehadiran penting kerana ia menjadi asas penulisan. Prinsip kehadiran mengandungi tiga persoalan iaitu apakah fakta-fakta yang hadir dan dari mana kehadirannya dalam teks tersebut dan bagaimana fakta-fakta itu hadir dalam teks tersebut dan apakah kesan kepada kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca.
Pengarang dan teks tidak hanya harus inovatif dan melakukan pembaharuan, tetapi juga pengukuhan. Pengukuhan dalam karya ialah sejauh mana pengarang mencuba untuk membawa pembaharuan terhadap karya-karya yang dihasilkan. Pembaharuan bukan sahaja merujuk kepada sesuatu konsep itu diterapkan tetapi juga sejauh mana tahap kematangan yang digunakan  dalam karya pengarang itu. Pengarang tidak akan membiarkan dirinya berada terus menerus di bawah teks yang lemah. Keadaan ini akan menyebabkan  berlakuknya proses pembinaan teks yang unggul (Mana, Sikana 2006).
Negara-negara ternama di daerah Kepulauan Melayu telah mengabadikan sejarah awal masing-masing dengan menghasilkan beberapa karya historiografi. Karya-karya klasik ini menjadi sumber penting dalam kajian sejarah sesebuah negara yang berkaitan. Seorang pengarang dari istana Kedah telah menempa namanya yang tidak bertulis apabila beliau menghasilkan Hikayat Merong Mahawangsa dan meletakkan karya itu staraf dengan lain-lain karya historiografi Melayu. Semejak abad kesembilan belas lagi hikayat ini ikut disenaraikan bersama Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Acheh, Hikayat Banjar, Hikayat Johor dan lain-lain. Karya-karya ini memperlihatkan sifat-sifat dan ciri-ciri penulisan yang terasing dengan landasan dan ukuran yang tersendiri pula.
Karya historiografi ini masing-masing menunjukkan persamaan ciri dan dasar penulisan. Persamaan juga terdapat dalam tujuan dasar penulisan itu dibuat secara kasarnya ialah mengabadikan sejarah awal negara berkenaan untuk menjadi pengetahuan orang-orang terkemudian. Selain itu, tujuannya juga ialah untuk mengekal dan mengukuhkan kedaulatan raja dan keturunannya. Jadi dalam penulisan ini pusat perhatian ialah kepada golongan yang terpenting di dalam masyarakat itu iaitu golongan raja. Asal usul keturunan raja, dari mana datang nenek moyangnya, apakah kelebihan-kelebihan tertentu yang ada padanya, pembukaan negeri itu dan lain-lain menjadi perkara-perkara penting yang dihuraikan dalam penulisan itu. Nyata bagi pengarang zaman dahulu sejarah negeri adalah senama dengan sejarah rajanya.
Ketika mengemukakan sejarah ini pengarang menggunakan segala alat yang ada padanya untuk mencipta suatu gambaran yang impresif dan berkesan tentang rajanya. Dalam proses menulis itu pengarang mengadunkan segala fakta yang diketahuinya seperti fakta-fakta sejarah dengan unsur-unsur mitos dan legenda yang kebanyakanya sudahpun diterima oleh masyarakat zamannya sebagai sebahagian daripada realiti.
Disini timbullah penilaian yang digunakan oleh pengarang historiografi Melayu. Penilaian yang dipakainya memenuhi keperluan zamannya dan sesuai dengan cara pemikiran masyarakat zaman karya itu ditulis. Dalam penggembelingan fakta-fakta sejarah unsur-unsur mitos dan legenda, realiti yang dicapai adalah bersifat realiti yang subjektif dan bukan bersifat objektif. Ciptaan itu haruslah dapat meletakkan rajanya lebih tinggi daripada raja-raja lain ataupun sekurang-kurangnya setanding dan staraf.
Dengan tujuan-tujuan tersebut pengarang menulis Hikayat Merong Mahawangsa untuk menyatakan sejarah raja-raja Kedah dan keagungan negerinya. Boleh dikatakan hampir di dalam tiap-tiap episod yang dikemukakan, pengarang telah menggembelingkan fakta-fakta sejarah dengan unsur-unsur mitos. Di antaranya ialah dalam kisah Nabi Allah Sulaiman dan burung garuda, Raja Bersiung, pemberontakan menentang, Raja Bersiung perhubungan dengan Siam, Raja Buluh Betung dan Puteri Seluang dan kedatangan Islam
Kisah Nabi Allah Sulaiman dan burung garuda dapat ditinjau sekurang kurangnya dari empat sudut :
  i.
Membayangkan pengetahuan pengarang tentang cerita-cerita berkenaan mukjizat nabi-nabi dan mukjizat Nabi Allah Sulaiman ialah boleh berkata-kata dengan unggas dan haiwan.
  ii.
Pengarang mencampur adukkan unsur Islam dengan unsur Hindu. Garuda ialah unggas kenderaan Visynu. Mungkin ini merupakan ingatan dibawah sedar pengarang kepada agama yang pernah dianuti oleh nenek moyangnya.
  iii.
Kekalahan garuda dalam pertempuran dengan Puteri Raja Cina berlaku kerana garuda mencuba menentang kehendak Allah. Ini juga menggambarkan kemenangan bagi unsur Islam dan kekalahan bagi unsur Hindu.
  iv.
Ini juga merupakan pengajaran kepada pembaca bahawa makhluk tidak dapat melawan takdir.
Unsur realiti di dalam peristiwa ini ialah Nabi Allah Sulaiman sendiri serta dengan mukjizatnya. Unsur mitos pula muncul dalam bentuk burung garuda dan perkahwinan Putera Raja Rom dengan Puteri Raja Cina. Pengarang telah mencadangkan percantuman dua kuasa besar, satu dari sebelah barat dan satu dari sebelah timur. Peristiwa inilah penting kerana membawa kepada pembukaan negeri Kedah yang disebut oleh pengarang sebagai 'Langkasuka'.
Dari suatu sudut, pengarang menggambarkan Raja Bersiung sebagai tidak berdaya mengendalikan nafsunya. Tumbuhnya siung bukanlah atas kehendak dirinya sendiri. Pengarang ingin menyelitkan pembelaan seolah-olah Raja Bersiung tidak patut dipersalahkan atas apa yang berlaku.
Di dalam penulisan historiografi Melayu umumnya dasar perhubungan yang ditekankan antara raja dan rakyat ialah taat setia, tidak mendurhaka dan tidak zalim. Di dalam beberapa penulisan diceritakan juga bagaimana dasar perhubungan ini telah dilanggar oleh kedua-dua pihak, atas sebab-sebab tertentu.
Istilah 'durhaka' langsung tidak digunakan di dalam hikayat ini. Pemberontakan itu terpaksa dilakukan untuk menjaga ketenteraman negeri dan tindakan itu hanya diambil setelah gagal dengan cara lain. Kedaulatan raja masih dijaga dengan tidak membenarkan beliau jatuh ke tangan rakyat yang memburunya. Malah ia dikatakan hilang begitu sahaja di dalam rumpun buluh betung.
Pengarang historiografi Melayu bukanlah pengarang biasa untuk hanya mengemukkan sejarah negerinya. Tanggungjawab lebih besar kerana ia juga harus mempertahankan kedaulatan dan maruah rajanya. Hal ini amat jelas kelihatan dalam cara pengarang menerangkan tentang perhubungan Kedah dengan Siam. Walaupun di beberapa tempat beliau ingin menafikan adanya pengaruh Siam ke atas Kedah, di tempat-tempat lain seolah-olah terdapat bayang-bayang pengakuan yang tidak dapat dielakkan.
Nama Raja Merong Mahawangsa sendiri memperlihatkan percampuran antara pengaruh bahasa Thai dan bahasa Sanskrit. Di dalam nama Mahapudisat terdapat pengaruh dari Sanskrit iaitu maha + bhudisatva. Dari nama Kelahum lebih jelas kelihatan pengaruh Siam kerana 'kelahum' bermaksud kementerian pertahanan. Pengarang hikayat ini menggunakan kelahum sebagai nama atau gelaran kepada panglima yang mengetuai angkatan utusan ke Kedah.
Dengan latar belakang yang demikianlah pengarang mengemukakan teorinya sendiri tentang perkaitan kekeluargaan yang wujud antara Raja Kedah dan Raja Siam. Sekaligus beliau memberi penjelasan tentang penghantaran bunga emas pada masa-masa tertentu dari Kedah ke Siam. Apa yang dipaparkan merupakan hasil pemikiran dan pertimbangan yang dibuat terlebih dahulu cara penyampaianya supaya tidak tergugat kedudukan raja yang memerintah.
Dalam perhubungan antara negeri Kedah dengan Siam, jelas dari peringkat awal penceritaan pengarang meletakkan landasan perhubungan itu iaitu Raja Siam ialah kekanda sulung kepada Raja Kedah. Malah Raja Kedah adalah adinda yang bongsu. Implikasi kebudayaan dalam pertalian kekeluargaan ini amat mudah difahami. Apa yang berlaku seterusnya dalam hubungan penghantaran bunga emas adalah dilakukan atas dasar pertalian kekeluargaan dan rasa hormat antara yang bongsu terhadap yang sulung. Dinyatakan apabila Raja Kedah menerima berita kekandanya Raja Siam memperolehi seorang putera, beliau mengerahkan supaya pihak Kedah menghantar bunga emas sebagai tanda ikut sama meraikan keputeraan itu. Raja Kedah dinyatakan membuat keputusan menyampaikan hadiah itu setiap kali Raja Siam mendapat putera. Ini menerangkan mengapa hantaran bunga emas itu tidak dibuat tiap-tiap tahun tetapi dua atau tiga tahun sekali.
Ketika mengemukakan keterangan ini pengarang tidak perlu memikirkan sama ada apa yang dihuraikannya benar atau tidak. Sebagai pengarang istana beliau tidak bimbang tentang soal penerimaan oleh masyarakat. Persoalan tidak akan timbul tentang kewajaran sesuatu peristiwa kerana apa yang dikemukakan adalah munasabah dan boleh diterima oleh akal. Perhubungan erat dengan Siam ditimbulkan lagi dengan cara bersahaja apabila Kedah merujuk ke Siam dalam kebuntuan mencari pengganti Raja Bersiung. Suatu rombongan telah dihantar ke Siam meminta bantuan pendapat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Raja Siam memerintahkan ahli nujumnya menilik cara terbaik mengatasi masalah itu.
Tidak ditimbulkan persoalan mengapa permaisuri Raja Bersiung dan menteri keempat membuat keputusan bertanya ke Siam kerana alasan telah termaklum. Dibayangkan juga bahawa campur tangan Siam dalam urusan Kedah adalah atas telah termaklum. Dibayangkan juga bahawa campur tangan Siam dalam urusan Kedah adalah atas permintaan dari Kedah sendiri.
Keistimewaan Hikayat Merong Mahawangsa yang teragung ialah cara yang dipilih oleh pengarang untuk mengisahkan bagaimana Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk agama Islam. Keagungan dan keangkuhan pengarang dari istana Kedah ini menghalang beliau dari mengulang sebut cara yang sudah termaktub di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Di mana kedua-dua hikayat itu memperlihatkan unsur-unsur persamaan yang amat jelas, Hikayat Merong Mahawangsa, atas kebijaksanaan pengarangnya mengemukakan sejarah pengislaman yang tiada persamaannya dalam karya-karya historiogfari yang lain. Gaya yang tersendiri ini ialah hasil kepintaran pengarang menggembelingkan unsur-unsur realiti. Pengarang telah membuktikan bahawa beliau mempunyai daya imaginasi yang kuat ketika mengolah bahagian ini.
Telah termaktub di jiwa pengarang bahawa peristiwa raja memeluk agama Islam adalah peristiwa kemuncak dalam penulisannya. Dengan itu kisah ini mestilah dikemukakan dengan sekuat-kuat impak dan kesan yang terdaya. Peristiwa yang terpenting ini tidak mungkin dikemukakan dengan begitu sahaja. Ia harus dikemukakan berlainan dari yang sudah ada dalam karya-karya lain. Unsur mimpi seperti dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu tidak akan memberi keadaan yang diharapkan.
Pertama sekali, pengarang mengatakan Islam yang sampai ke Kedah itu telah dibawa oleh Sheikh Abdullah dari Baghdad. Pilihannya wajar bukan sahaja nama itu mengandungi 'aura'nya yang terasing tetapi juga kerana Baghdad tidak kurang pentingnya sebagai suatu pusat perkembangan dan pentadbiran kerajaan Islam.
Walaupun Sejarah Melayu ada menyebut tentang seseorang Raja Kedah pernah menghadap ke Melaka untuk menerima nobat, Hikayat Merong Mahawangsa tidak menyentuh tentang perkara ini. Mungkin masa yang dikemukakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih awal daripada yang disentuh oleh Sejarah Melayu berhubung dengan peristiwa ini. Hikayat Acheh juga menyentuh tentang kedatangan Islam ke Kedah tetapi Hikayat Merong Mahawangsa menyepi tentang rujukan ini. Biarpun demikian, pengarang menyatakan pada masa Kedah menerima Islam, Acheh telah lama memeluk agama itu. Dikatakan apabila Acheh mendengar Kedah sudah Islam, rajanya mengirim dua buah kitab karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri untuk dikaji. Namun demikian jelas bahawa pengarang kita enggan melibatkan kerajaan-kerajaan Melayu lain dalam karangannya dan mengrekonstruksikan versinya yang tersendiri.

3.5 Seni Bahasa
Perkataan seni berasal daripada kata “sani” yang bermaksud ketulusan hati atau jiwa yang luhur. Bagi Plato, seni merupakan karya yang berasal daripada peniruan bentuk alam. Sebagai tambahan, Sidi Gazalba menyatakan bahawa seni itu indah dan indah itu baik. Secara jelasnya, seni berbahasa merujuk seni penulisan, terutama dalam membentuk kerangka gagasan keilmuan. Sesuatu penulisan yang penuh berseni lazimnya akan dipandang tinggi pada mata masyarakat berbanding dengan tulisan yang biasa-biasa.
Dalam karya sastera, penulis menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti ungkapan langsung. Di situlah letaknya keunikan karya sastera. Yang paling penting, karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri. Oleh itu, tidak hairanlah apabila karya puisi merupakan karya yang penuh dengan bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni oleh Plato.
3.5.1        Retorik
Retorik Melayu klasik seperti peribahasa, pantun syair, gurindam dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1326), mendefinisikan retorik sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Retorik juga merupakan satu seni gaya penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada di persekitarannya. (Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, 2010: 1).
Ringkasnya, retorik merupakan seni penggunaan atau pemakaian bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar dan pembaca. kemampuan penulis menggarap isi dan mesej penulisannya terletak kepada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran serta kemahiran menulis yang dimilikinya. Kesemua elemen ini akan dirangkumkan dalam perenggan-perenggan penulisan. Kesannya, pembaca akan dapat memahami dan menghayati apa yang hendak disampaikan oleh penulis sekali gus memberikan kesan yang mendalam kepada emosi dan tindakan pembaca.
Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) menyatakan retorik terbahagi kepada enam iaitu pemerian, penceritaan, penerangan, pendedahan, penghujahan dan pemujukan. Walau bagaimanapun, dalam Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), terdapat hanya empat jenis retorik yang dikenal pasti iaitu:-
1.      Pemujukan
Dalam retorik ini penulis berusaha mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan, dan pandangan pembaca.
“Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, “Baik, perbuatlah oleh tuan hamba barang kuasa engkau, tetapi pesan ku kepada engkau tatkala sudah engkau boleh menceraikan jodo pertemuan manusia itu, hendaklah engkau datang ke mari ceterakan kepada aku.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 4)
Dalam setiap contoh di atas, retorik pemujukan dapat dilihat pada perkataan perbuatlah, hendaklah dan sabarlah. Pada contoh yang terdapat dalam (hlm 4 baris 1), Nabi Allah Sulaiman memberi peluang dan keyakinan kepada burung geroda. Penulis menggunakan kata pemujukan dalam perbualan antara Nabi Allah Sulaiman dan burung geroda supaya Nabi Allah Sulaiman dapat memujuk burung geroda yang inginkan perpecahan berlaku antara Raja Rum dan Raja Benua China. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi contoh yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
2.      Penceritaan
Satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Di samping itu, ia juga menghubungkan beberapa siri peristiwa yang berkaitan dalam satu plot yang logik.
“Adapun raja itu ayahnya daripada indera – indera dan bondanya itu asal daripada dewa – dewa. Maka terbukalah pintu hatinya gemar dan suka ia beristeri akan anak Raja Gergasi, kerana puteri itu kecil lagi baik rupa parasnya dan asal bondanya daripada raksasa. Maka jadi tiadalah suka bondanya Raja Merong Mahawangsa akan dia beristeri akan tuan puteri itu. Maka oleh raja Merong Mahawangsa, barang ke mana ia pergi dibawanya pergi isteri bersama – sama dengan dia, tiada ditinggalkan dengan segala menteri, para penggawa, hulubalang, sida – sida, bentara, biduanda, rakyat sekalian, kerana Raja Merong Mahawangsa itu ia ketahui ilmu kesaktian dan ditakuti oleh sekalian raja – raja.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 4)
Dalam HMM penulis menceritakan bagaimana burung geroda menceritakan kepada Nabi Allah Sulaiman tentang kehadiran Raja Rom, Raja Merong Mahawangsa bersama tenteranya tetapi telah dimusnahkan oleh burung geroda itu sendiri. Di sini penulis menggunakan teknik penceritaan dalam perbualan antara burung geroda dan Nabi Allah Sulaiman.
3.      Pemerian
Penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar.
“Setelah ratalah sudah dicarinya lalu bertemulah dengan manusia yang tiada berketahuan rupanya, penuh dengan kapang segenap tubuhnya, matanya juga terkelip-kelip.
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 13)
            Penulis menggunakan teknik pemerian untuk menceritakan ciri-ciri manusia yang tidak mempunyai rupa sebagai manusia yang normal seperti yang diperihalkan pada (hlm13 baris 40). Pada (hlm 27 baris 24) pula, penulis menyatakan fakta berkaitan dengan muatan dalam sebuah kapal. Oleh kerana perahu utusan telah penuh dengan barang dagangan, maka tempayan besar telah diletakkan ke dalam kapal orang Rom. Hal ini menunjukkan, penulis menjelaskan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar tentang perihal sesuatu perkara.
4.      Penerangan
Penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Berfungsi untuk memberi penjelasan tentang sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun.
“Maka inang pun pergilah berdua dengan budak kundang tuan puteri itu, mengusung anak raja itu masuk ke dalam pintu gua itu supaya jangan dilihat oleh burung geroda itu. Maka air pun diangkatlah kedua-dua orang, dimandikan dan dikikisnya buang segala kapang dan teritip pada segala tubuhnya itu, serta diberi oleh mak inang kain yang dipakainya. Lalu keduanya pun kembalilah mengadap tuan puteri. Demikianlah tiap-tiap hari mak inang itu memeliharakan anak raja Rom dengan tiada diketahuinya…”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 14)
        Dalam petikan ayat pada (hlm 19 baris 15) penulis menjelaskan dengan terperinci melalui arahan yang diberikan oleh Nabi Allah Sulaiman kepada raja jin supaya mengambil puteri China dan anak Raja Rom menghadapnya. Satu persatu Nabi Allah Sulaiman memberikan pemerangan iaitu, menyuruh raja jin mengarahkan menterinya seramai seratus orang untuk mengambil puteri anak Raja China dan kemudian barulah diambil anak Raja Rom.
3.5.2 Stilistik (Gaya Bahasa)
Menurut Hashim Awang dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.
1.      Antitesis
Antitetis merupakan perletakkan dua ayat atau kata yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan.
“Bahawa hamba pinta perbuatkan hikayat pada tuan, peri peraturan  segala raja-raja Melayu dengan  istiadatnya sekali,  supaya boleh diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada ini, serta dikurniai dengan sejarahnya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 1)
2.      Anafora
Anaforan merupakan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa. Dalam HMM terdapat banyak perulangan perkataan maka pada setiap permulaan ayat seperti petikan di bawah:
Maka burung geroda itulah yang diam di pulau mencari makan. Maka burung itu pun pada masa zaman Seri Rama dan Anduman biasa masuk perang, banyak juga kesaktiannya dan banyak juga segala binatang yang terbang yang berjalan di bumi takut akan dia.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 2)
3.      Asonansi
Asonansi merupakan pengulangan bunyi vokal a, e. i, o dan u yang sama dalam suku kata  yang diberi. Seperti yang terdapat dalam petikan dalam buku HMM terdapat banyak pengulangan huruf vokal dalam setiap suku kata.
“…bedil meriam yang dipasang itu seperti bunyi guruh dan tagar, terlalu gempita, alamat di laut  itu tiadalah.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 6)
4.      Aliterasi
Pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata kata yang bersebelahan pula dikenali sebagai aliterasi. Pengulangan huruf konsonan adalah seperti yang berikut:
“...dilihat oleh burung geroda terlalu banyak alat senjata yang datang hendak mengenai dia, maka ia pun tiada ambil tahu  kerana tiada memberi guna kepada burung geroda itu, …”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 7)
5.      Paralelisme
Gaya ini mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Ini dapat dilihat dalam halaman 6 yang menyatakan sumberdalam air terdiri daripada ketam, siput dan kerang. Manakala sumber daripada kayu pula terdiri daripada tali akar dan umbut kayu serta pucuk kayu. Perkara ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam petikan di bawah:
“Barang di mana berjumpa dengan pulau, singgah berlabuh, naik ke daratan mengambil air dan kayu serta mandian sekalian dan memungut daripada ketam, siput, karangan serta mengambil tali akar dan umbut kayu, pucuk  kayu, akan memakannya segala yang bernafsu di dalam kapal bahtera terlalu kesukaan kaliannya.
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 6)
6.      Epistrop
Pengulangan perkataan yang sama pada akhir klausa yang berturutan dikenali sebagai epistrop. Pengulangan pada klausa akhir dapat dikal pasti berada dalam penulisan HMM seperti kata itu dan juga.
“Maka kata menteri Rom, “Maka inilah hamba sekalian datang mari hendak mencarikan raja tuan hamba itu, dengan penyuruh anak raja Rom juga, kerana ia sudah ada di dalam Benua China dengan seorang dirinya juga.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 27)
7.      Antiklimaks
Penyusunan kata-kata atau frasa atau klausa dalam urutan kepentingan yang menurun dikenali sebagai antiklimaks manakala, klimiks adalah sebaliknya. Dalam HMM yang dikaji, terdapat aspek antiklimaks yang dikenal pasti, iaitu daripada hutan rimba yang berada pada skala besar kebiasaannya kepada kota yang kecil sedikit skalanya, kepada yang lebih kecil ruangnya iaitu balairung dalam istana.
“Maka adalah antara sepuluh lima belas hari lamanya Raja Ong Maha Perita Deria bermain di dalam hutan rimba itu, lalu dihantarkan oleh gajah itu akan rajanya ke kota hingga sampai ke balairung, ia  menerumkan…
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 44)
8.      Polisindeton
Polisindeton merupakan pengulangan kata hubung. Dalam HMM terdapat banyak pengulangan kata hubung yang sama iaitu serta dan dan seperti petikan di bawah.
“Maka segala menteri hulubalang, rakyat sekalian pun berhentilah masing-masing membuat istana dan kota parit serta menghimpunkan sekalian orang yang ada pada segala jajahan yang dekat dan yang jauh, sekalian pun habis datang mengadap serta membawa persembahan akan raja perempuan itu.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 36)

9.      Elipsis
Ellipsis merupakan pengguguran sebahagian kata dalam suatu ungkapan, tetapi dapat difahami dalam konteks berkenaan.
“Maka segera dipandang oleh utusan itu, dikenalnyalah bahawa utusan itu menteri pada raja Rom, lalu katanya pada orang Rom itu,...”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 24)
10.  Khusus – Umum
Skema ragaman khusus- umum merupakan sebut nama tempat khusus yang disertai sebutan nama secara umum kemudiannya.
“Maka pada malam itu… ia tiada di Gunung Jerai (khusus) ia pergi keduanya ke negeri Patani (umum) mendapatkan rajanya.”

(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 44)
11.  Metonimi
Metonimi  bererti pengganti dengan menamakan sesuatu benda yang erat hubungannya dengan perkara yang dimaksudkan.
“… alat senjata pada segenap tangan dan berjaga tali akar dan mengisi ubat segala bedil Meriam”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 9)
12.  Hiperbola
Penggunaan kata atau kiasan yang terdiri daripada ungkapan yang berlebih-lebihan untuk menerangkan sesuatu.
“…habislah mati orang berhamburan pada segenap laut itu, tiada lagi hidup”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 18)
13.  Ekslamasi
Eklamasi merupakan penggunaan kata seru seperti hai dan sebagainya.
Hai Pusar Sempani Gembira, pergilah engkau lawan burun geroda itu”.
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 9)
14.  Simpulan bahasa
Rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asal. Kebiasaanya tidak boleh berdiri sendirian dan mempunyai makna berlapis.
“Maka anak raja Rom itu pun jatuhlah hatinya, jadi tiadalah takut keduanya itu akan burung geroda itu.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 17)
4.0              Kesimpulan
Hikayat Merong Mahawangsa  merupakan salah satu karya agung klasik yang ada dalam alam Melayu. Karya ini telah menunjukkan ciri-ciri yang boleh dianggap salah satu sejarah yang perlu diketahui oleh masyarakat khususnya masyarakat Melayu. Penghasilan Hikayat Merong Mahawangsa memperlihatkan perkembangan susur galur mengenai keturunan raja-raja kedah dengan jajahan taklukanya. Melalui kisah sejarah ini juga dalam membuktikan lagi asal-usul kerajaan negeri Kedah.
Analisis yang dilakukan terhadap karya Merong Mahawangsa dapat disimpulkan bahawa karya ini mempunyai beberapa aspek yang dapat dijadikan teladan dan bahan rujukan. Melalui karaya dapat mengetahui mengenai nilai budaya dan pegangan hidup yang diamalkan oleh masyarakat pada masa itu. Nilai yang diamalkan pada masyarakat ketika itu telah menunjukkan bahawa masyarakat Melayu telah mempunyai satu komposisi kehidupan yang pelbagai. Selain itu juga, masyarakat pada zaman Merong Mahawangsa juga turut mengamalkan ilmu yang pelbagai untuk meneruskan kehidupan. Ilmu ini disebarkan kepada semua dan kebanyakkannya melibatkan dengan alam. Seterusnya, penghasilan penulisan karya ini juga dilihat menarik dengan penggunaan beberapa teknik yang telah diguna pakai oleh penulis. Penulisan dngan gaya bahasa yang menarik dan teknik yang menarik mampu melahirkan cerita yang dilihat secara realiti.
Penghasilan karya ini adalah satu anugerah yang tidak ternilai dan diangkat sebagai salah satu karya agung yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Karya ini mempunyai nilai sejarah yang begitu tinggi dan menjadi bahan pedoman kepada generasi-generasi yang akan datang.

Rujukan

Dewan Bahasa dan Pustaka (2010). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussain Othman (2011). Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi. Johor: Penerbit UTHM.

Mustafa Mohd Isa (1999). Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Nimoiz T.Y (2012). Bahasa Berseni dalam Karya Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Diperoleh pada Mac 20, 2012 daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=543

Siti Hawa Haji Salleh (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siti Hawa Salleh (1991). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Yayasan Karyawan (2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.


                                   





No comments:

Post a Comment