Karya Pilihan

Analisis Gurindam 12 : Nukilan Cikgu Norhidayahwati Binti Salim

1.0  Pengenalan
Karya agung ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyrakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya (Mohd Rashid Md Idrid et al.). Bagi menghasilkan sebuah karya yang bertaraf karya agung, seseorang pengarang perlulah memastikan bahawa karya yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri karya agung yang merangkumi aspek pemikiran, estetika, kepengarangan, nilai budaya, pandangan hidup dan nilai ilmu dalam karya agung.
      Dalam karya agung ini terdapat ramai tokoh yang berjaya menghasilkan karya yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Antara pengarang yang sentiasa dikaitkan dengan karya agung ini adalah seperti Hamzah Fansuri, Tun Seri Lanang, Bukhar al-Hauhari, Raja Ali Haji dan lain-lain lagi.
Raja Ali Haji merupakan salah seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia sastera Melayu. Antara karya yang sangat sinonim dengan beliau ialah Tuhfat al-Nafis. Namun yang demikian, beliau dikatakan tokoh pengarang yang banyak menghasilkan karya yang intelektual. Hal ini demikian kerana dalam hasil penulisannya, Raja Ali Haji sering memasukkan ciri-ciri keilmiahan dan kedalaman perbicaraan. Selain daripada karya agung, Raja Ali Haji juga merupakan antara pengarang yang terlbat dalam penulisan puisi. Antara karyanya yang popular ialah Gurindam Dua Belas. Dalam penulisan Gurindam Dua Belas ini, Raja Ali Haji telah menyelitkan unsur nasihat dan teladan yang menjadi pedoman atau panduan bagi anak bangsa Melayu sendiri.
Walaupun Gurindam Dua Belas ini merupakan hasil karya hampir 300 tahun lepas, namun nilai dan pengajaran yang terdapat dalam kesemua fasal yang terdapat dalam gurindam ini tidak pernah dilupakan orang masyarakat terutamanya masyarakat Melayu sendiri. Hal ini demikian mungkin disebabkan oleh isi dan pesan yang ingin disampaikan dalam gurindam ini relevan dengan perjalanan waktu bahkan menjadi pedoman yang kukuh bagi masyarakat Melayu hingga hari ini.
Seperti yang telah dinyatakan, hasil karya sastera boleh dianalisis berdasarkan aspek pemikiran, estetika, kepengarangan, nilai budaya, pandangan hidup dan nilai ilmu dalam karya agung. Namun yang demikian,  dalam tugasan ini hanya empat sahaja ciri-ciri karya agung yang akan dianalisis berdasarkan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji iaitu aspek falsafah, aspek pemikiran, aspek kepengarangan dan aspek estetika. Oleh yang demikian, dengan adanya analisis berdasarkan empat aspek itu dapat memperlihat kekuatan karya gurindam yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji.

1.0 Aspek-aspek yang dianalisis.
Sesebuah karya kesusasteraan dapat dianalisis dan diteliti berdasarkan aspek-aspeknya yang tersendiri. Antara aspek yang dapat digunakan adalah seperti pemikiran, estetika, kepengarangan, nilai budaya, pandangan hidup dan nilai ilmu dalam karya. Namun yang demikian, hanya beberapa aspek sahaja yang akan diteliti berdasarkan karya Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji iaitu aspek falsafah, aspek pemikiran, aspek kepengarangan dan aspek estetika.

1.1 Aspek falsafah
Falsafah dapat dikaitkan dengan ilmu dan kebenaran. Falsafah ini dibahagikan kepada beberapa bidang yang lebih kecil yang merangkumi bidang etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. Namun yang demikian, jika dirujuk kepada Gurindam Dua Belas, hanya ada beberapa bidang sahaja yang berkait dengan karya ini. Antara bidang yang dapat dikaitkan dnegan karya Gurindam Dua Belas ialah bidang etika, metafizika dan sosial. Berikut merupakan analisis yang dilakukan berdasarkan ketiga-tiga aspek yang berkait dengan gurindam tersebut.
1.1.1       Etika
Bidang etika ini merupakan bidang yang berkaitan dengan pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Dalam erti kata lain, ilmu etika merupakan teori tentang tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan  buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal. Seperti yang sedia maklum, Gurindam Dua Belas ini merupakan sebuah karya yang kaya dengan nasihat dan pengajaran yang dihasilkan bagi menjadi pedoman dan panduan masyarakat terutamanya masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, bidang etika ini sememangnya bidang yang paling banyak disentuh dalam karya puisi ini. Terdapat banyak contoh bait yang berkaitan dengan bidang etika ini. Namun yang demikian, hanay beberapa contoh sahaja yang dapat diberikan sebaga bukti bidang etika ini terdapat dalam Gurindam Dua Belas.  Berikut merupakan contoh bait gurindam yang dapat dikaitkan dengan bidang etika ini.


Apabila anak tidak dilatih
Jika besar bapanya letih.
                                                              
Berdasarkan bait yang terdapat pada fasal ketujuh dalam Gurindam Dua Belas, dapat dilihat bidang etikanya dimana pengarang telah memberi pengajaran kepada ibu bapa di mana seorang anak perlulah dididik semasa kecil agar apabila anak itu dewasa tidak akan menyusahkan ibu bapanya. Selain itu, bidang etika ini juga dapat dilihat dalam bait gurindam yang berikut:

Jika hendak mengenal orang yang berilmu
Bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Berdasarkan bait yang terdapat pada fasal kelima dalam Gurindam Dua Belas ini, dapat dlihat bahawa bait ini mengandungi bidang pendidikan di mana bait ini menunjukkan tentang ilmu iaitu orang yang pandai tidak akan pernah jemu untuk bertanya dan belajar semasa hayatnya di dunia. Oleh yang demikian, berdasarkan contoh-contoh bait yang telah dinyatakan, jelaslah bahawa bidang etika ini dinyatakan dalam Gurindam Dua Belas.

1.1.2       Metafizika
Bidang metafizika ini pula merujuk kepada bidang yang memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Falsafah ini berbicara tentang tiga subjek yang menjadi perbincangan iaitu Tuhan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal seperti pohon, air dan lain-lain. Dalam Gurindam Dua Belas ini, terdapat nasihat dan pedoman berbntuk keagamaan yang disampaikan oleh pengarang. Berikut merupakan contoh bait yang berkaitan dengan bidang metafizika ini.
Barang siapa mengenal Allah S.W.T
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah.

Berdasarkan bait yang terdapat dalam fasal pertama ini menyatakan bahawa orang yang mengenal Allah S.W.T, harus melakukan perintahnya dan menjauhi larangan-Nya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dalam Gurindam Dua Belas terdapat bidang metafizika yang mempercayai kewujudan dan keberadaan Allah S.W.T sebagai tuhan yang Esa.
1.1.3       Sosial
Bidang sosial pula merupakan bidang yang berkait dengan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Dalam Gurindam Dua Belas ini menunjukkan bahawa kehidupan realiti manusia ini, banyak berkait dengan hubungan sosial antara manusia yang merangkumi hubungan antara individu dengan sahabat, guru, ibu bapa dan sebagainya. Berikut merupakan contoh bait yang mengandungi falsafah bidang sosial.

Cahari olehmu akan kawan
Pilih segala orang yang setiawan.

Berdasarkan bait yang terdapat pada fasal keenam dalam Gurindam Dua Belas ini, dapat dilihat bahawa bait ini mengandungi bidang sosial di mana nasihat yang ingin di sampaikan oleh pengarang ialah berkenaan dengan nasihat mencari teman yang setia dengan kita di saat senang dan susah. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pengarang turut mengaitkan gurindam ini dengan perhubungan seseorang dengan sahabat atau kawan mereka.



2.2      Aspek Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat(2010:411), pemikiran dapat didefinisikan sebagai perihal berfikir. Dalam bidang sastera pula, pemikiran ini selalunya dimulakan dengan idea yang diperoleh oleh pengarang yang kemudiannya diolah oleh pengarang sehingga menjadi sebuah karya atau buah fikiran yang bernas. Secara mudahnya, pemikiran dapat dikaitkan dengan perkara utama atau tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam sesebuah karya. Dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji, terdapat banyak pemikiran yang ingin disampaikan oleh pengarang. Namun berikut merupakan antara pemikiran yang dapat dianalisis dalam tugasan ini.
2.2.1        Nasihat tentang perihal agama
Dalam Gurindam Dua Belas, pengarang banyak memperihalkan tentang perihal agama. Berikut merupakan antara bait yang terkandung perihal agama.
Barang siapa mengenal yang tersebut,
Tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.

Berdasarkan bait yang terdapat dalam fasal kedua ini, jelaslah menunjukkan bahawa pengarang telah menyelitkan perihal agama sebagai pedoman dan panduan kepada masyarakat. Dalam bait-bait tersebut, pengarang telah menyatakan tentang kepentingan mengingati Allah, sembahyang, puasa dan haji kepada masyarakat. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa dalam Gurindam Dua Belas juga terdapat perihal agama yang diselitkan bagi menunjukkan betapa pentingnya pegangan agama dalam memastikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

2.2.2        Nasihat tentang hubungan sesama manusia.
Dalam Gurindam Dua Belas, pengarang juga menyelitkan tentang menjaga baik hubungan sesama manusia yang terdiri daripada hubungan dengan ibu bapa, anak-anak dan rakan. . Berikut merupakan antara bait yang mengandungi nasihat tentang hubungan sesama manusia.   

Dengan bapa jangan durhaka,
Supaya Allah tiada murka.
Denagn ibu hendaklah hormat,
Supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai.
Supaya boleh naik ke balai.
Dengan kawan hendaklah adil,
Supaya tangannya jadi kapil.

Berdasarkan bait yang terdapat dalam fasal yang kesepuluh, jelaslah bahawa meminta masyarakat untuk menghormati ibu bapa dan jangan menderhaka kepada ibu bapa kita. Selain itu, ibu bapa juga perlu menjaga anak dengan baik kerana anak merupakan amanah yang diberikan oleh Allah. Bait yang terakhir menunjukkan bahawa kita perlulah bersikap adil sesama rakan agar hubungan yang terjalin kekal selamanya. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pengarang sememangnya menganjurkan agar masyarakat sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia terutamanya dengan ibu bapa, anak-anak dan teman.

2.2.3        Nasihat tentang kepimpinan.
Gurindam Dua Belas ini sememangnya mempunyai nasihat dan panduan yang menyeluruh kepada masyarakat mengenai kehidupan seharian. Panduan dan nasihat yang diberikan bukan sahaja terdiri daripada perihal agama dan pergaulan antara manusia semata-mata. Dalam gurindam ini juga terselit tentang perihal kepimpinan yang boleh dijadikan panduan dan pedoman kepada para pemimpin masyarakat. Berikut merupakan bait yang terkandung tentang perihal kepimpinan ini.
Raja muafakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Berdasarkan bait yang terdapat dalam fasal kedua belas di atas, menunjukkan bahawa pengarang telah membicarakan tentang perihal kepimpinan du dalam gurindam tersebut. Pengarang menyatakan bahawa dalam kepimpinan, raja dan menteri perlulah bekerjasama dalam mentadbir kerajaan. Selain itu, raja yang baik yang mendapat petunjuk Allah adalah raja yang adil terhadap rakyatnya. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji sememangnya menerapkan perihal kepimpinan dalam penulisan puisi tersebut.

2.3      Aspek Kepengarangan.
Kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kepada seseorang pengarang. Dalam dunia sastera, kepengarangan adalah aspek yang penting dalam mempengaruhi kedudukan sesebuah teks dan sesorang sasterawan. Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Biasanya kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seorang pengarang. Kepengarangan pula dianalisis daripada aspek keperibadian, seorang pengarang itu biasanya akan berhadapan dengan beberapa tahap penulisannya.
Seorang pengarang perlu mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ia akan mempengaruhi daya kreativitinya. Pengalaman diperoleh melalui bayangan, ingatan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuk yang bersifat konseptual dan kontekstual. Pengumpulan bahan dalam aspek kehadiran penting kerana ia menjadi asas penulisan. Prinsip kehadiran mengandungi tiga persoalan iaitu apakah fakta-fakta yang hadir dan dari mana kehadirannya dalam teks tersebut dan bagaimana fakta-fakta itu hadir dalam teks tersebut dan apakah kesan kepada kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca.
    Jika dilihat dalam konteks Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji, aspek kepengarangannya dapat dilihat dalam aspek realiti kehidupan yang merangkumi syariat dan pegangan dalam agama Islam dan nasihat-nasihat panduan berkenaan dengan kehidupan dalam masyarakat. Kepengarangan Raja Ali Haji ini jelas dalam karya Gurindam Dua Belas mungkin disebabkan oleh kehebatan Raja Ali Haji dalam menafsir kebajikan  dan upaya membangun moral individu pada setiap diri manusia. Selain itu, Raja Ali Haji turut memasuki dunia pendidikan untuk mengajar ilmu Nahu, ilmu sharaf, ilmu Ushuluddin, ilmu Fiqh dan ilmu Tasawuf. Dengan adanya kepakaran yang tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu ini telah menjadikan beliau sebagai seorang ulama besar yang sangat disegani. Selain itu, dengan adanya pengalaman yang diperoleh melalui perjalanan kehidupannya telah menjadi batu loncatan kepada beliau untuk menghasilkan karya yang ditulis berdasarkan kekuatannya terutamanya dalam bidang agama dan moral individu. Dengan adanya fakta-fakta yang ditulis dalam karyanya menyebabkan pengarang dapat menghasilakn karya yang tepat faktanya dan memberikan kesan yang baik kepada pembaca. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa dengan adanya kepengarangan Raja Ali Haji yang kukuh dalam aspek agama dan moral individu telah membuatkan pembaca lebih yakin untuk menjadikan hasil karya itu sebgaai pedoman dan nasihat buat diri mereka.  
2.4      Aspek Estetika.
Estetika ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Setiap karya yang dihasilkan pasti mempunyai keindahannya yang tersendiri. Menurut  Mana Sikana (2007) dalam Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:98) menyatakan bahawa keindahan dapat dilihat daripada pembentukan tekstual atau kontekstual terutamanya aspek kebahasaannya juga. Oleh yang demikian, dalam aspek estetika ini akan difokuskan pada aspek keindahan bahasanya di mana teori atau model dalam bidang bahasa dan kesusasteraan aitu teori stilistik yang terbahagi kepada aspek skema dan majaz diberikan fokus. Berikut merupakan aspek skema dan majaz yang terkandung dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji.
2.4.1        Skema
Skema merupakan penyimpangan atau perubahan dari segi bentuk ayat atau susunan perkataan. Aspek skema in juga melibatkan perubahan dalam ejaan mahupun bunyi perkataan yang terhasil dengan cara menambah atau mengurangkan huruf atau suku kata yang terletak di hadapan, di tenagh mahupun di akhir perkataan ataupun melalui perubahan bunyi. Aspek skema ini terbahagi kepada empat sub skema yang lebih kecil yang merangkumi skema seimbang, skema perulangan, skema pengguguran dan skema ragaman. Namun yang demikian, disebabkan bahan yang dikaji hanyalah Gurindam Dua Belas, maka aspek skema ini kurang diperoleh dalam gurindam ini. Berdasarkan empat jenis skema yang terdapat dapat teori stilistik ini, hanya satu sahaja skema yang dijumpai iaitu skema perulangan. Skema perulangan merujuk kepada perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada dan bunyi yang puitis, berirama atau pelbagai. Berikut merupakan tiga jenis skema perulangan yang dijumpai dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji.
2.4.1.1  Anafora
Anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Berikut merupakan contoh anafora yang dikesan dalam Gurindam Dua Belas.

Keaiban orang jangan dibuka,
Keaiban diri hendaklah sangka.

Berdasarkan bait gurindam yang terdapat dalam fasal kelapan di atas, dapat dilihat bahawa kata ‘keaiban’ merupakan anafora di mana pengulangan perkataan ‘keaiban’ dapat dilihat pada permulaan kedua-dua baris gurindam.

2.4.1.2  Asonansi
Asonansi pula dikaitkan dengan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata. Berikut merupakan contoh asonansi yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas.

Tanda orang yang amat celaka,
Aib dirinya tiada ia sangka.

Berdasarkan bait gurindam yang terdapat dalam fasal keempat di atas, dapat dilihat bahawa vokal ‘a’ telah diulang dalam setiap suku kata yang terdapat dalam bait tersebut. Dengan ini jelaslah bahawa asonansi terdapat dalam Gurindam Dua Belas.

2.4.1.3  Aliterasi
Aliterasi ialah pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan. Pengulangan ini mewujudkan rima dalam ayat. Berikut merupakan contoh aliterasi yang dikesan dalam Gurindam Dua Belas.

Jika hendak mengenal orang yang berakal,
Di dalam dunia mengambil bekal.

Berdasarkan bait gurndam yang terdapat dalam fasal kelima di atas, dapat dilihat bahawa konsonan ‘d’ telah diulang dalam dua atau lebih kata-kata yang terdapat dalam bait. Dengan ini jelaslah bahawa perulangan aliterasi terdapat dalam Gurindam Dua Belas.

2.4.2        Majaz
Majaz boleh dikaitkan dengan mengubah atau memalingkan maksud. Dalam aspek majaz ini  terdapat lima jenis majaz yang merangkumi majaz pertautan, majaz perbandingan, majaz pertentangan, majaz ragaman dan majaz Melayu. Namun yang demikian, setelah dikaji, hanya dua jenis majaz sahaja yang dikesan dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji. Berikut merupakan strategi majaz yang telah dikesan dalam gurindam ini.
  
2.4.2.1  Simile
Simile merupakan sub jenis yang berada di bawah majaz perbandingan. Majaz bandingan ini merupakan penggunaan unsur bahasa yang bersifat memabndingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan atau yang dengan sengaja dianggap sama. Simile pula dikaitkan dengan perbandingan secara langsung antara dua objek yang dari segi fitrahnya tidak serupa namun mempunyai satu persamaan. Berikut merupakan contoh yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas yang dapat dikaitkan dengan aspek simile ini.

Jika sedikitpun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.

Berdasarkan bait gurindam yang terdapat dalam fasal keempat di atas, dapat dilihat bahawa aspek simile terdapat dalam bait tersebut. Aspek simile ini dapat dilihat pada kata ‘mulut’ yang diumpamakan dengan ‘pekung’. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa aspek simile ini terdapat dalam Gurindam Dua Belas.

2.4.2.2  Antimeria.     
Antimeria merupakan sub jenis yang berada di bawah majaz ragaman. Majaz ragaman merangkumi penggunaan strategi retorik yang tidak digolongkan  dalam majaz yang sudah dibincangkan kerana kepelbagaian bentuk dan struktur kemajaziannya. Antimeria pula merujuk kepada maksud penggantian golongan kata dengan golongan kata yang lain. Berikut merupakan contoh yang dapat dikaitkan dengan aspek antimeria dalam Gurindam Dua Belas.          

Hendak dimalui
Jangan memalui.



Berdasarkan bait gurindam yang terdapat dalam fasal kesebelas di atas, perkataan yang menjadi kata dasar untuk bait tersebut yang digantikan ialah kata ‘malu’. Pada baris pertama bait ini menunjukkan kata dasar ‘malu’ yang menerima apitan di-...-i manakala baris kedua bait ini pula menerima apitan me-...-i. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa aspek antimeria ini sememangnya terdapat dalam Gurindam Dua Belas.

3.0 Penutup

Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji sememangnya karya yang mempunyai unsur nasihat dan teladan yang berguna terutamanya kepada masyarakat Melayu. Berdasarkan analisis yang telah dijalankan, dapat disimpulkan beberapa perkara tentang gurindam ini.
      
Dari aspek falsafahnya, dapat dilihat bahawa bidang yang dibawa oleh pengarang tidak menyeruruh. Hal ini mungkin disebabkan oleh fokus utama pengarang adalah dalam menghasilkan sebuah karya yang boleh dijadikan pedoman dan panduan kepada masyarakat dalam aspek keagamaan dan modal insan individu.

Dalam bidang pemikiran pula, banyak isi dan mesej yang ingin disampakan oleh pengarang. Hal ini sejajar dnegan fungsi utama penghasilan karya ini yang bertujuan untuk memberikan panduan dan pedoman kepada masyarakat. Oleh yang demikian, dalam aspek pemikiran ini, mesej yang ingin disampaikan bukan sahaja tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata, namun mesejnya berbentuk menyeluruh yang merangkumi aspek kepimpinan, budi pekerti, nilai murni, pergaulan sesama manusia dan sebagainya.

Dalam bidang kepengarangan dan estetika pula dapat dilihat kekurangan pada karya ini. Kekurangan ini dapat dilihat jika dibandingkan dengan hasil kepengaarangan dan estetika yang terdapat dalam karya-karya agung Melayu. Hal ini mungkin disebabkan oleh karya yang dikaji hanyalah berbentuk gurindam. Hasil karya gurindam tidak serumit dan selengkap sebuah karya yang agung. Oleh itu, hasil yang ditemui tidaklah sehebat karya agung Melayu.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Gurindam Dua Belas ini sememangnya gurindam yang hebat kerana  nasihatnya masih dipegang dan diikuti oleh mayarakat Melayu. Hal ini membuktikan bahawa gurindam ini gurindam yang hebat kerana masih kekal walaupun penulisan karya ini sudah beratus-ratus tahun dahulu.                

4.0 Rujukan
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah & Seri Lanang Jaya Hj. Rohani(2014). Karya  
Agung Melayu. Tanjong Malim:Pusat Pendidikan Luar & Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris. 

No comments:

Post a Comment