Novel Salina


ANALISIS CIRI-CIRI KARYA AGUNG MODEN DALAM NOVEL SALINA KARYA A. SAMAD SAID
Mohd Rusdi Samsuddin, Siti Fairus Ahmad, Fatimah Hikmah Saipul Anuar,
NorHidayahwati Salim, dan Noor Hazimah Zainuddin

1.0Latar Belakang
Novel Salina ini merupakan sebuah novel yang telah ditulis oleh pengarang yang tersohor iaitu A. Samad Said. Novel Salina ini sememangnya menceritakan tentang persoalan daripada kesan perang dunia kedua yang dirasai oleh masyarakat.
Keistimewaan novel Salina ini semamangnyta sebuah novel Melayu yang paling berhasil dan tidak dapat di sangkal lagi. Ramai pengkaji atau pengkritik sastera menyatakan bahawa novel ini memiliki mutu penciptaan novel yang bertaraf antarabangsa. Novel ini mengisahkan kehidupan sebahagian daripada mangsa-mangsa Perang Dunia Kedua di sebuah perkampungan kecil di Singapura yang bernama Kampung Kambing. Antara mangsa yang mengalami perubahan kehidupan dalam cerita ini ialah pada watak Salina yang merupakan seorang anak yang datang daripada keluarga yang kaya dan berada. Namun, disebabkan oleh Perang Dunia Kedua yang memusnahkan segala harta benda dan ahli keluarganya menyebabkan dirinya tinggal sehelai sepinggang dan perlu bekerja sebagai pelayan bagi menyara kehidupannya.
Kekuatann novel Salina terletak pada kemampuan pengarangnya memberikan pelukisan yang terperinci dan hidup terhadap watak yang terlibat dengan peristiwa serta suasana yang melingkunginya. Ini berjaya dilakukan oleh adanya penggunaan teknik yang berkesan dalam aspek-aspek dialog, lintasan kembali dan imbas muka. Dialog diadakan untuk berfungsi dalam pelbagai hal iaitu untuk membina plot, memberntuk fikiran dan sikap watak serta menonjolkan tema.
Peristiwa-peristiwa pula terbina dan tersusun dalam cara yang penuh denganm daya ketegangan melalui penggunaan teknik-teknik lintasan kembali dan imbas muka yang silih berganti. Dalam monolog dalaman yang turut diturutkan, terdedah dengan adanya peribadi dan konflik watak di samping membina peristiwa-peristiwa tertentu yang dialami watak.
Demikianlah maka novel Salina dikatakan sebagai memberikan arah terbaru dalam perkembangan yang pelbagai dalam teknik-teknik moden dan novel ini berhasil memperlihatkan sesuatu perubahan dan penyimpangan yang radikal terhadap struktur penciptaan novel-novel Melayu.


2.0  Sinopsis
Novel ini berlatarbelakangkan sebuah kampung yang diberi nama Kampung Kambing. Antara penghuninya yang tinggal di kampung ini ialah Siti Salina dan kekasihnya Abdul Fakar, Hilmy dan ibunya, Kadijah, Zarina, seorang janda serta anak tirinya iaitu Nadihah, Mansur dan Sunarto, anak yang dipungut oleh arwah bapa Nadihah, serta Haji Karman. Latar tempat dalam novel ini ialah di Singapura. Tempat ini digelar Kampung Kambing kerana penduduk di kampung ini tinggal di kandang kambing yang disewakan oleh seorang lelaki india yang bernama Kurupaya. Salina adalah seorang pelacur yang menyara dan memelihara Abdul Fakar yang malas bekerja dan sering meminta duit daripada Salina untuk pergi berjoget dan minum arak.
Abdul Fakar seorang yang suka mabuk, gila perempuan dan suka memukul Salina. Walaupun di pukul, Salina tetap menyayangi Abdul Fakar kerana wajah Abdul Fakar seiras dengan wajah arwah kekasihnya yang mati dalam peperangan iaitu Muhammad Yusuf. Salina asalnya adalah anak orang kaya. Walau bagaimanapun, selepas berlakunya perang dan keluarganya terkorban, dia terpaksa menjadi pelacur untuk menyara kehidupan seharian. Hilmy, seorang remaja yang masih bersekolah sering mendapat bantuan kewangan daripada Salina untuk membeli buku dan ubat untuk ibunya yang sering sakit. Bantuan ini dilakukan tanpa pengetahuan Abdul Fakar. Ibu Hilmy, Kadijah, banyak menasihati Salina supaya menyimpan wang untuk masa depan kerana Abdul Fakar tidak boleh diharapkan.
Kisah dalam novel ini juga banyak menyentuh tentang Nadihah yang dipaksa oleh ibu tirinya untuk menjadi pelayan tanpa kemahuannya. Ini disebabkan Sunarto gagal memberikan wang perbelanjaan yang cukup kepada Zarina. Walaupun Sunarto sering dihalau di hadapan penduduk kampung berkali-kali, Sunarto enggan keluar daripada rumah kerana dia tidak mahu meninggalkan Nadihah yang sering di usik oleh Abdul Fakar. Abdul Fakar pernah membuat perkara sumbang terhadap Nadihah. Namun, Salina tidak mengetahuinya, begitu juga dengan Zarina, ibu tiri Nadihah. Hilmy kemudiannya jatuh cinta terhadap Nadihah semasa dia mengikuti kursus latihan tentera. Mereka jatuh cinta apabila sering berbalas surat. Hilmy meminta Nadihah membacakan surat untuk ibunya kerana ibu Hilmy buta huruf.
Persahabatan antara Nadihah dan Hilmy tidak di ketahui oleh sesiapa. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar sering mengapi-apikan Zarina supaya menghalau Sunarto keluar rumah. Dengan itu, dia lebih mudah merapati Nadihah. Sunarto ialah satu-satunya batu penghalang kepada niat buruk Abdul Fakar terhadap Nadihah. Zarina yang termakan fitnah Abdul Fakar sering menghalau Sunarto dan Mansur. Zarina menghalau Mansor, abang Nadihah kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan walaupun puas mencari. Akhirnya, Mansur lari dan memasuki tentera. Tinggallah Nadihah. Satu malam, Nadihah telah di culik oleh Abdul Fakar atas arahan Cik Salim, seorang lelaki yang gilakan Nadihah. Sebelum ini Nadihah telah banyak kali menolak permintaan Cik Salam untuk duduk di pangkuannya dan melayan dia.
Nadihah mabuk pada suatu hari dan telah di nodai. Dia lari meninggalkan Singapura dan tidak berapa lama kemudian berkahwin dengan seorang buruh. Hilmy sedih kerana kehilangan Nadihah. Salina pula melarikan diri ke Kelantan untuk melupakan Abdul Fakar kerana Abdul Fakar telah menghalaunya keluar dari rumah sedangkan rumah itu adalah rumah Salina. Abdul Fakar gilakan seorang perempuan joget. Ibu Hilmy meninggal dunia akibat sakit. Hilmy pula tidak menyambung pelajaran kerana ketiadaan wang . Tidak lama kemudian, Hilmy cuba menjejaki Salina di Kuala Lumpur tapi diberitahu oleh Mansur yang Salina sudah pulang ke Singapura.
Abdul Fakar belayar kembali kerana dia gagal mencari Salina. Dia baru mengetahui bahawa Salina betul-betul sayangkan dia setelah di tipu oleh perempuan joget. Hilmy kembali ke Singapura untuk bertemu Salina.

3.0  Aspek yang dianalisis.
Sesebuah hasil karya kesusasteraan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri sehingga mampu diangkat sebagai sebuah karya agung. Tidak semua karya kesusasteraan yang dihasilkan dapat diangkat sebagai sebuah karya yang bertaraf karya agung. Oleh yang demikian, penelitian ciri-ciri karya kesusasteraan ini akan dikhususkan dalam aspek pemikiran dalam karya moden, nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung, nilai ilmu dalam karya moden dan teknik kepengarangan dan seni bahasa dalam karya moden. Aspek-aspek ini akan dilihat dalam Novel Salina yang ditulis oleh A. Samad Said seperti berikut:
3.1   Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:411), pemikiran dapat didefinisikan sebagai perihal berfikir. Dalam bidang sastera pula, pemikiran ini selalunya dimulakan dengan idea yang diperoleh oleh pengarang yang kemudiannya diolah oleh pengarang sehingga menjadi sebuah karya atau buah fikiran yang bernas. Secara mudahnya, pemikiran dapat dikaitkan dengan perkara utama atau tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam sesebuah karya. Pemikiran dalam Novel Salina  ini telah diskopkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil yang merangkumi pemikiran kesempitan hidup dalam meneruskan kehidupan akibat tragedi Perang Dunia Kedua, eksploitasi golongan kaya terhadap golongan miskin, kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi dan kehidupan bersama dan sikap bantu-membantu bagi golongan yang memerlukan.

1.      Kesempitan hidup dalam meneruskan kehidupan akibat tragedi Perang Dunia Kedua
Perang Dunia Kedua sememangnya memberikan kesan yang sangat
besar dalam jiwa masyarakat dunia. Bagi masyarakat Singapura, peperangan yang berlaku antara Jepun dengan Singapura memberikan kesan yang mendalam di mana pengakhiran peperangan tersebut menunjukkan bahyawa Singapura telah jatuh ke tangan Jepun. Hal ini menyebabkan rakyat Singapura hidup dalam keadaan kedaifan dan segala harta benda dan kekayaan yang mereka peroleh telah musnah akibat daripada peperangan yang terjadi. Berdasarkan novel Salina yang ditulis oleh A. Samad Said, pengarang berjaya menunjukkan kedaifan dan kesempitan hidup yang dialami oleh masyarakat Singapura selepas peperangan terjadi. Pada ketika itu, rakyat Singapura tinggal sehelai sepinggang dan mencari rumah sebagai tempat mereka untuk berlindung memandangkan rumah yang mereka diami hancur ekoran daripada peristiwa hitam itu. Situasi kesempitan hidup ini telah dibuktikan oleh pengarang novel Salina dalam teks yang berikut:
“ Sebanyak lima puluh ringgit telah didahulukan sebagai wang kopi masuk ke rumah itu dan setelah berjanji bersedia membayar dua puluh ringgit setiap bulan dengan waktu pembayarannya ditetapkan, maka baharullah bilik yang beratapkan zing-zing tong minyak, daun rumbia dan kulit-kulit kayu balak dengan berlapiskan tikar-tikar getah yang buruk dan di atasnya pula merayap-rayap liar daun-daun labu yang segar, berdindingkan kayu-kayu, peti susu,zing-zing tong minyak, kulit-kulit balak, kadbod-kadbod serta berlantaikan tanah itu menjadi hak milik sewaannya, tempat mereka berlindung daripada panas dan hujan.”
                                                                        (Salina, 1980: 2)
Berdasarkan teks di atas, dapat dilihat bahawa masyarakat pada masa itu sememangnya mengalami kesempitan dan kesusahan hidup. Mereka sanggup tinggal di rumah yang asalnya hanyalah kandang kambing yang telah dibesarkan oleh tuannya menjadi sebuah bilik untuk disewa. Kekurangan bilik atau tempat tinggal pada masa itu menyebabkan mereka tiada pilihan dan terus menyewa di rumah yang serba serbi tidak lengkap itu. Mereka hanya menginginkan tempat tinggal yang mampu melindungi mereka daripada panas dan hujan.
2.      Eksploitasi golongan kaya terhadap golongan miskin
Memandangkan Perang Dunia Kedua di Singapura ini memberikan kesan dan masalah yang besar dalam kehidupan masyarakat ketika itu, menyebabkan berlakunya eksploitasi dan penindasan golongan yang kaya terhadap golongan miskin. Penindasan ini berlaku hanyalah disebabkan oleh kepentingan harta dan kesenangan yang ingin dikecapi oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Dalam novel Salina, eksploitasi dan penindasan ini dapat dilihat dalam teks yang berikut:
“Ohooo,” kata Benggali jaga itu:suaranya besar dan penuh kahak ditekaknya. “Berapa itu bilik punya sewa sekarang? Apa sudah naik lagikah?”
“Ya. Sekarang lagi sikit naik. Dulu Paliamah lima orang tinggal, dia punya sewa lapan belas ringgit. Tapi sekarang saya dengan KurupayaSamy kasi naik lagi. Sekarang dua puluh ringgit satu bulan,” kata pekedai India itu sambil menggeleng-gelengkan kepala dan menggosok-gosokkan tapak tangan seperti selalu dibuatnya bila bercakap.
“ Alamak, ini Kurupaya banyak cilaka. Sudah banyak wang, sekarang mahu banyak wang lagi,” kata Benggali jaga itu meludah-ludah sambil pergi duduk pula dijurinya.
“Berapa itu orang tua kasi wang kopi?”
“Lima Puluh ringgit,” kata pekedai India kurus panjang itu sambil masuk semula ke dalam kedainya untuk melayan pembeli lain. Selepas itu dia keluar semula lalu berkata:
“Sekarang lima puluh ringgit orang tak ada kira; orang bayar. Rumah banyak susah mahu dapat. Seratus ringgit pun orang bayar.”
 “Ya, ya itu betul. Tapi gasak orang miskin punya wang banyak-banyak tak ada baiklah!” kata Benggali jaga itu.
                                                     (Salina, 1980: 3)
Berdasarkan teks di atas, dapat dinyatakan bahawa eksploitasi atau penindasan berlaku terhadap golongan miskin. Walaupun pemilik bilik sewa itu mengetahui bahawa orang miskin yang menyewa biliknya, namun disebabkan perasaan tamak dan mementingkan kekayaan menyebabkan dia sanggup menaikkan harga rumah walaupun rumah atau bilik yang disediakan itu hanya sekadar kandang kambing. Orang miskin yang menyewa rumah itu pula tiada pilihan lain memandangkan rumah dan tempat tinggal sukar untuk diperoleh pada masa tersebut. Mereka terpaksa menerima harga sewaan yang tidak setimpal dengan tempat tinggal yang dijanjikan.
Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa orang kaya atau pemilik rumah atau bilik itu telah menindas dan mengeksploitasi orang miskin yang menyewa rumahnya kerana dia sedar bahawa tindakannya tidak akan memberikan apa-apa kesan kepadanya memandangkan orang miskin tersebut sememangnya memerlukan tempat tinggal untuk berlindung. Oleh itu, mereka boleh melakukan tindakan seperti menaikkan harga sewa rumah dengan sewenang-wenangnya memandangkan tiada tindakan yang akan diambil daripada perbuatannya.
3.      Kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi
Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010:725), keluarga didefinisikan sebagai seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak. Bukan sesuatu perkara yang mudah untuk memastikan sesebuah institusi kekeluargaan itu terus bahagia tanpa berlaku sebarang masalah dan perpecahan. Kadang kala, hanya disebabkan oleh sesuatu yang kecil seperti hasutan orang mahupun kepentingan diri sendiri menyebabkan sesebuah institusi perkahwinan itu runtuh. Dalam novel Salina, pengarang juga menunjukkan aspek kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi. Berikut merupakan antara teks yang menunjukkan  kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi.
“Bergaduh dengan siapa?”
“Gaduh dengan Narto. Narto bawa wang sikit dah dua tiga hari ni. Emak marah. Dia mahukan duit lebih banyak lagi. Kata narto beca dah susah nak dapat sewa sekarang ni. Tak macam dulu, beca sikit. Katanya sekarang teksi dah mula banyak. Orang lebih suka naik teksi. Sebab itulah susah nak dapat sewa banyak,” Nadihah menerangkan.
                                                                            (Salina, 1980: 18)

Berdasarkan teks di atas, dapat dilihat bahawa Zarina iaitu ibu angkat kepada Narto sanggup memarahi dan bergaduh dengan Narto hanya kerana Narto tidak memberikan wang yang banyak kepadanya. Selain itu, Zarina juga sanggup memaki hamun dan menghalau Narto yang merupakan anak yang telah lama dijaganya hanya disebabkan oleh harta duniawi. Berdasarkan cerita yang terdapat dalam novel Salina itu, keadaan keluarga menjadi semakin pincang bukan sahaja disebabkan oleh kekurangan wang untuk meneruskan kehidupan. Malah, Zarina juga telah dihasut oleh Fakar, lelaki yang meminati  anak perempuannya iaitu Nahidah dan merasakan bahawa Narto merupakan batu penghalang kepadanya untuk mendapatkan Nahidah. Oleh yang demikian, Fakar telah membina rancangan untuk menghasut Zarina untuk membuang Harto daripada keluarganya agar rancangannya dapat dijalankan dengan mudah. Disebabkan oleh ikatan kekeluargaan yang tidak kuat dan utuh menyebabkan Zarina termakan pujuk rayu dan hasutan Fakar sehinggakan Narto dihalaunya daripada rumah tersebut. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa hanya disebabkan tuntukan duniawi, seseorang itu sanggup memecahbelahkan keluarganya sendiri.

4.      Kehidupan bersama dan sikap bantu-membantu bagi golongan yang memerlukan
Dalam novel Salina ini, dapat dilihat bahawa Salina merupakan seorang watak yang memegang watak sebagai pelacur. Walaupun Salina seorang pelacur, namun dia masih mempunyai sifat yang baik dalam dirinya di mana dia membantu Hilmy iaitu anak jirannya dalam aspek pelajaran. Walaupun Hilmy sekadar anak jiran yang dianggap sebagai adiknya, namun dia telah berusaha membantu Hilmy untuk membiayai pembiayaiannya pelajaran dan bukunya hanya untuk melihat Hilmy berjaya memandangkan nasib yang dialami oleh Hilmy sama sepertinya. Berikut merupakan teks yang menunjukkan tentang kehidupan bersama dan bantu-membantu bagi golongan yang memerlukan.
“ Hilmy jangan susah,” kata Siti Salina menyambung terus, “kakak akan tolong Hilmy. Kalau ada apa-apa kesusahan tentang duit buku seumpamanya, cakaplah kepada kakak. Kakak tahu sekolah orang putih banyak pakai buku dan banyak pakai duit. Cakaplah pada kakak bila sahaja Hilmy perlukan wang sekolah. Kalau kakak ada duit, kakak beri, kalau kakak tak ada kakak tolong carikan,” suara Siti Salina begitu bersungguh-sungguh. Dan Siti Salina juga merasakan bahawa dia tidak berkata-kata kepada orang lain, tetapi kepada adiknya sendiri, adik yang ingin diberinya sebanyak-banyak pelajaran, satu keinginan yang selalu dirasakannya akhir-akhir ini.
                                                                        (Salina, 1980: 84)
Berdasarkan teks di atas maka jelaslah bahawa Siti Salina sanggup untuk membiayai pelajaran dan buku Hilmy hanya kerana merasakan bahawa pelajaran itu sangat penting buat Hilmy. Walaupun pada hakikatnya Siti Salina tidak mempunyai pertalian darah dengan Hilmu dan Kadijah, namun dia tetap membantu masyarakatnya yang memerlukan bantuannya. Hal ni juga mungkin disebabkan oleh kesungguhan Kadijah, emak kepada Hilmy yang bersungguh-sungguh mencari nafkah untuk menanggung dirinya dan Hilmy serta pelajaran Hilmy.  Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa dalam novel Salina ini mempunyai kehidupan bersama dan bantu-membantu golongan yang memerlukan.
               Inilah antara pemikiran atau mesej dan isi yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam novel Salina. Namun yang demikian, masih banyak lagi isi dan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. Oleh yang demikian , pembaca perlulah menelusuri. Novel ini bagi memperoleh semua isi dan mesej serta pemikiran yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Sekiranya pembaca melakukan pembacaan sepenuhnya, pasti akan memperoleh pelbagai mesej daripada pengarang yang dapat menjadi panduan dan pedoman dalam meneruskan kehidupan yang sebenar.

3.2   Nilai Budaya dan pandangan hidup
Novel Salina yang telah dikaji di karang oleh A. Samad Said (1980) ini banyak mempunyai nilai Melayu yang tersembunyi. Malahan, setiap penulisan novel Melayu, mereka kebanyakannya hendak  menggambarkan cara hidup dan pemikiran masyarakat yang melahirkannya dengan jelas. Dalam novel Salina ini, terselit nilai budaya Melayu yang tinggi yang ingin disampaikan kepada pembaca agar pembaca dapat mencontohi nilai tersebut di samping menonjolkan nilai buruk yang ada dalam watak yang ditimbulkan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), nilai adalah taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, mutu, serta taraf. Ini bermakna, nilai adalah ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian dan sebagainya yang ada pada individu. Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125), budaya daripada perkataan Sanskrit iaitu duddayah yang merupakan perkataan jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara umumnya, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris pula budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali dalam kalangan ahli antropologi sebagai fahaman determinism atau penentuan budaya. Selain itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.
Terdapat banyak nilai budaya hidup orang Melayu yang dapat dikenal pasti daripada novel Salina yang dikaji. Nilai-nilai tersebut ialah baik hati, kemesraan, kasih sayang, belas kasihan, bertanggungjawab, rajin, nasihat-menasihati, tolong-menolong dan budaya agama Islam.
1.      Baik Hati
Baik hati menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) bermaksud suka menolong, mudah simpati dan pengasih. Nilai ini ditunjukkan dalam novel Salina yang dikaji iaitu seperti contoh berikut:
Pada waktu berjual-jualan di Sungai Road itulah ayahnya menemui Sunarto yang sedang menanti-nanti makanan hanyut di Sungai Rochor, di hadapan Sungai Road. Sebelum itu memang sudah selalu didapatinya Sunarto menantikan makanan hanyut di sungai itu, dan dia yang sememangnya baik hati itu, tidak sampai hati melihat Sunarto begitu lalu mengajaknya pulang tinggal bersamanya. Sunarto mengikutnya dan tinggallah dia bersama-sama dengan Nahidah dan Mansur.
(Salina, 1980: 144)

Dalam petikan di atas menunjukkan bahawa ayah Nahidah seorang yang baik hati kerana mengambil Sunarto yang hidupnya susah dan diperliharanya dengan baik sehingga besar.


2.      Kemesraan
Kemesraan berasal daripada kata mesra yang bererti erat atau karib sehingga kemesraan bererti hal yang menggambarkan keadaan sangat erat atau karib. Dalam novel Salina yang dikaji kemesraan antara Siti Salina dan keluarga Hilmy yang baru dikenali. Seperti contoh di bawah;
“Pasal apa mengilai-ngilai?” katanya sambil senyum bila masuk ke dalam biliknya itu. Sebuah bungkusan yang dijinjingnya diletakkannya ke atas ambin. Bungkusan itu berisi kain baju.
“Tak ada apa-apa kak: gelihati dengarkan kisah Hilmy mula-mula masuk sekolah,” kata Siti Salina dalam ketawanya yang masih bersaki-baki itu.
“Oh, itu,” kata Katijahsambil menggantungkan selendangnya ke sebatang paku di dinding berhampiran dengan pelitanya. “Panjang benarlah.”
“Lama dah, kak: dari pagi lagi.”
Wah! Macam orang dah kenal biasa saja, ya?”
Siti Salina ketawa dan berkata: “Ya.”
(Salina, 1980: 38)

Dalam petikan di atas, dapat menunjukkan kemesraan antara Siti Salina dan Hilmy yang baru dikenalinya. Baru sehari Hilmy dan ibunya berpindah ke situ Siti Salina sudah mula mesra dan berbual panjang bersamanya. Hal ini menunjukkan Siti Salina sangat mudah mesra dengan orang.

3.      Kasih sayang
Kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain atau kepada selain manusia, iaitu benda-benda dan makhluk lain. Kasih sayang ada yang bersifat semula jadi dan ada yang bersifat mendatang. Dalam novel Salina ini kasih sayang yang digambarkan oleh pengarang dapat dilihat melalui hubungan kekeluargaan, sebagai contoh:
Kerana dia terkurung itu maka yang paling dikenalinya semasa kecil-kecil itu hanyalah adik-beradiknya. Semua adik-beradiknya itu disayanginya sepenuh hatinya, terutama adik lelakinya yang bernama Wan Abdul Karim.
(Salina, 1980: 116)

Dalam petikan di atas, dapat melihat Siti Salina seorang yang penyayang dan sangat menyayangi adik lelakinya.


4.      Belas kasihan
Belas kasihan adalah kebajikan yang dilakukan akibat perasaan simpati dan empati seseorang terhadap seseorang yang lemah atau sesuatu sama ada perkara mahupun benda dan sebagainya. Dapat ditunjukkan dalam novel Salina seperti berikut:
Siti Salina bukan isteri Abdul Fakar; ini diketahuinya mula-mula dari desas-desus yang didengarinya, kemudian dari mulut Siti Salina sendiri, yang menceritakan tentang hal itu sepenuh-penuhnya, bila tiada bertahan lagi olehnya seksaan Abdul Fakar. Pengetahuan ini mengejutkannya benar-benar pada mulanya, dan menimbulkan rasa jijiknya terhadap Siti Salina dan Abdul Fakar. Tetapi sesudah mengetahui kedudukan hal yang sebenarnya maka mulalah dia merasa belas kasihan kepada Siti Salina-Siti Salina sahaja!
(Salina, 1980: 103)

Dalam petikan di atas menunjukkan bahawa Hilmy mempunyai rasa belas kasihan kepada Siti Salina kerana terpaksa hidup susah dan memelihara Abdul Fakar setelah mengetahuinya daripada penyataan Siti Salina sendiri.

5.      Bertanggungjawab
Bertanggungjawab bermaksud tugas yang mesti dilaksanakan atau dalam kata lain bertanggungjawab bererti kewajipan seseorang terhadap sesuatu. Dapat ditunjukkan dalam novel Salina yang dikaji seperti berikut:
Selama ini apa yang kurang bagi Abdul Fakar? Dia berfikir. Tidak ada. Boleh dikatakan semuanya cukup. Dan kalaulah ia menjadi seorang suami dan Abdul Fakar menjadi isterinya, maka tentulah syaratnya sebagai seorang suami telah cukup. Mengapa tidak, kalau semua sudah dibelikannya-semua makanan dan pakaiannya- dan menambahkannya lagi dengan wang sebanyak lima ringgit setiap hari, dan memberikannya pula santapan batin dengan tidak lokek-lokek. Apakah semua itu tidak memenuhi syaratnya sebagai seorang “suami”, kalau dia lelaki? Fikirnya.

(Salina, 1980: 100)

Dalam petikan di atas menunjukkan tanggungjawab yang dimainkan oleh Siti Salina terlalu cukup sempurna jika dia seorang lelaki yang bergelar suami. Semua keperluan isterinya pasti telah ditunaikan dengan sebaik mungkin. Ini menggambarkan Siti Salina seorang yang bertanggungjawab.



6.      Rajin
Rajin ialah melakukan sesuatu dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Selain itu, rajin juga bermaksud suka melakukan sesuatu dengan selalu atau kerap. Dapat ditunjukkan dalam novel Salina yang dikaji iaitu seperti berikut;
“Mula-mulanya Hilmy sendiri tak tahu bagaimana endak hantar surat kepada mak. Hilmy takut mak susah hatai lalu Hilmy hantar sajalah kepada Idah. Untung dia rajin menjawab,” kata Hilmy mengangkat tempat bara untuk mengasapi rumahnya.
Dia memangnya rajin. Budaknya pun baik. A, a, jangan angkat tempat bara tu. Minum kopi ni dulu,” ibunya menyuruh sambil menghulurkan kopi kepada anaknya itu.
(Salina, 1980: 254)

Dalam petikan yang ambil menunjukkan Khadijah memuji Nahidah seorang yang rajin. Hal ini kerana Nahidah rajin membalas surat kepapa Hilmy disamping rajin melakukan kerja rumah dan juga bekerja untuk memenuhi kehendak ibu tirinya itu.

7.      Nasihat-menasihati
Nasihat ialah bimbingan serta didikan baik terhadap seseorang tanpa mengira bentuk bimbingan dan tunjuk ajar. Dalam novel Salina ini juga mempunyai nilai nasihat-menasihati, antaranya:
“Fasal apa aku mesti mengaku? Memang dia yang salah. Aku nasihatkan dia; dia marah,” kata Abdul Fakar.
“Kau Nasihatkan apa?”
“Nasihatkan dia supaya jangan main-main mata dengan Nahidah, sebab Zarina bencikan dia”
“Oho, kau nasihatkan orang, ya? Aduuh, baiknya. Hai kawan:sedarklah hendaknya. Sepatutnya kau tu yang patut terima nasihat orang. Kenapa kau yang bersusahpayah menasihatkan orang?”
 (Salina, 1980: 93)
Dalam petikan di atas menunjukkan Abul Fakar menyatakan bahawa beliau menasihati Sunarto supaya jangan bermain mata dengan Nahidah. Sedangkan menurut Mansur Abdul Fakarlah yang perlu diberi nasihat kerana hidupnya bergelumang dengan dosa dan maksiat.



8.      Tolong-menolong
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, tolong bermaksud membantu dan saling membantu. Selain itu, bermaksud dapat meringgankan beban, penderitaan, dapat menyembuhkan daripada penyakit, dapat menyelamatkan daripada bahaya dan banyak lagi. Dalam novel Salina ini banyak nilai tolong-menolong yang digambarkan oleh pengarang, antaranya ialah:
Wang simpanannya dengan Khadijah selama itu- selama beberapa bulan itu- diambilnya dan diberikannya kepada Khadijah seratus ringgit. Khadijah enggan menerima wang yang sebanyak itu, kerana selama ini pun Siti Salina banyak menolong bukan sahaja dengan wang keperluan sehari-hari, wang pembelian ubat, tetapi juga wang persekolahan dan buku-buku Hilmy. Pengorbanan yang sebanyak itu dirasakannya sudah dari cukup.
(Salina, 1980: 365)

Dalam petikan di atas menunjukkan Siti Salina dan Khadijah saling tolong-menolong. Siti Salina suka menolong keluarga Khadijah dan telah menganggap Hilmy sebagai adiknya sendiri.

9.      Budaya Agama Islam
Dalam novel yang dikaji terdapat unsur budaya agama Islam yang diterapkan oleh pengarang antaranya adalah seperti berikut:
Masjid di Jalan Sultan itu ialah masjid yang didirikan dan dijagai oleh orang-orang Malbari. Masjidnya kecil sahaja dan di belakangnya ialah kubur. Tiap-tiap tahun bila tiba masa Maulud Nabi, di masjid itu diadakan jamuan besar nasi beriani untuk orang ramai. Pada bulan puasa pula di masjid ini dibahagi bubur kepada orang ramai-kebanyakannya kanak-kanak. Pada waktu siang, terutama di waktu bulan puasa, ia menjadi tempat orang sembahyang dan tempat tidur! Dan malamnya juga ia menjadi tempat perlindungan bagi beberapa orang ‘Musafir’ atau beberapa orang yang sengaja hendak tidur di rumah suci itu.
(Salina, 1980: 213)

Berdasarkan petikan yang diambil, budaya agama Islam ditunjukkan dengan gambaran keadaan masjid sewaktu tiba Maulud Nabi disambut dengan meriah dengan diadakan jamuan besar. Selain itu, bulan Ramadan pula diberikan bubur kepada orang ramai menunjukkan budaya Islam yang sememangnya indah dan diamalkan dalam masyarakat pada zaman tersebut.
Maksud pandangan hidup secara umum menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 126) ialah satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai tertentu. Manakala pandangan hidup daripada perspektif Islam pula menurut Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125), ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Setiap masyarakat selalu memiliki pandangan hidup tersebut, begitu juga dengan masyarakat Melayu. Pandangan hidup yang digambarkan pengarang dalam novel Salina ialah adat berumah tangga.
1.      Pandangan hidup terhadap rumahtangga
Pandangan hidup terhadap alam berumah tangga yang cuba digambarkan oleh pengarang dalam novel Salina ini dapat dilihat melalui petikan berikut:
Dia menerangkan selanjutnya tentang pandangannya mengenai rumahtangga. Katanya dia sudah melihat sendiri beberapa rumah tangga didirikan orang. Kebanyakannya mendirikannya itu semata-mata kerana merasa rumah tangga harus didirikan, sama ada yang merasa ini pihak ibu bapa atau pun anak-anaknya yang muda itu sendiri. Perasaan sahaja belumlah mencukupi. Anak-anak mentah juga mempunyai perasaan itu waktu masih kanak-kanak mereka bermain “kahwin-kahwin” Rumah tangga meminta lebih dari itu. Rumah tangga meminta pengorbanan dari kedua-dua pihak yang mendirikannya. Kesedaran ini harus ada dulu. Dan orang yang mendirikannya harus juga ada cita-cita yang sihat menuju hidup dan melanjutkan kehidupannya. Pengertian tidak harus terbatas kepada “sayang-menyayang” melulu. Rumah tangga, perjuangan. Perjuangan menandakan hidup.
(Salina, 1980: 282)
Petikan di atas menunjukkan pandangan Nahidah terhadap kehidupan berumah tangga yang dilihat melalui perkahwinan orang lain. Perkahwinan yang dibina perlulah disertakan dengan pengorbanan dan kesedaran bukan hanya sekadar perasaan sayang sahaja. Selain itu juga Nahidah menggambarkan rumah tangga sebagai perjuangan untuk hidup.

3.3   Nilai Ilmu
Terdapat dua nilai ilmu di dalam novel yang dikaji iaitu ilmu memikat dan ilmu berbudi bahasa.
1.      Ilmu memikat
Novel Salina karya A.Samad Said merupakan novel yang melibatkan kaum hawa dalam mempertahankan hidup meskipun dalam bidang yang sering dipandang serong dalam kalangan masyarakat. Penulis turut memasukkan unsur pemikat atau ilmu memikat yang dilakukan oleh Salina untuk menggoda teman lelakinya Abdul Fakar. Antara aspek ilmu memikat adalah seperti di bawah:
Di waktu sarapan pagi dia duduk melayan di sebelah Abdul Fakar. Dia melayannya dengan lemah lembut, dan kalau perlu, ini selalu diajaknya Abdul Fakar bergurau sekali biar selera itu “terbuka”. Dan kalau Abdul Fakar ‘malas makan’-ini selalu disengajakan oleh Abdul Fakar- dia akan menyuapkan makanan-makanan itu; didekatkannya makanan itu ke mulut Abdul Fakar dan bila Abdul Fakar menggeleteknyya. Dan dia ketawa manja. Dan selalunya sarapan pagi itu tidak akan “ sempurna” bukan makanan tapi sulaman gurauannya itu tidak sampai ‘meliar-liar’… sehingga makan pagi itu lebih sesuai benar kalau terpanggil “makan bergurau” sahaja.
                                                                        ( Salina, 1980 : halaman 101)
                        Berdasarkan petikan pada halaman di atas, Salina merupakan watak yang sangat bijak dalam ilmu memikat. Ilmu memikat atau melayan ini ditujukan kepada Abdul Fakar iaitu kekasihnya yang bersekedudukan dengannya . Ilmu memikat dan melayan ini merupakan ilmu yang sangat diperlukan dalam kerjaya Salina sebagai pekerja kelab dan pelayan. Dalam ilmu memikat, Salina perlu pandai melayan dan berifat lemah lembut, dan bergurau manja. Dalam petikan di atas, Salina akan melayan Abdul Fakar dan menyuap makanan-makanan yang dikehendaki oleh Abdul Fakar. Ilmu memikat Salina sering dipandang serong oleh masyarakat Kampung Kambing.

2.      Ilmu budi bahasa
            Di dalam novel Salina, penulis turut memasukkan ilmu budi bahasa. Ilmu berbudi
            bahasa ini sewajarnya diketahui dalam masyarakat setempat terutamanya kaum      Melayu tentang etika dalam berbahasa. Antara bukti yang menunjukkan ilmu budi            bahasa adalah seperti di bawah :
Sewaktu di kampungnya dahulu ayahnya sendiri sering bercerita kepadanya tentang budibahasa. Walaupun di masa itu tidak diketahuinya sungguh-sungguh apa sebenarnya budibahasa itu dalam ertikata yang mendalam tetapi kata-kata ayahnya “Budi baik orang jangan kau lupakan sampai bila-bila” itu tetap semarak dalam hatinya.dan kata-kata yang semarak itulah yang menghalangnya meninggalkan keluarga Zarina- ‘Keluarga’nya!
“ Ya, budi baik orang tak boleh kulupakan sampai bila-bila”, bisik Sunarto di dalam hatinya.
                                                                               (Salina, 1980 : halaman 42)
                       
Berdasarkan halaman dan petikan di atas, Sunarto sering mengenangkan nasihat arwah ayahnya tentang ilmu budi bahasa. Ayahnya sering menasihati supaya Sunarto sentiasa bersangka baik dengan orang terutamanya budi baik orang terhadap dirinya sendiri. Melalui nasihat dan pesan arwah ayahnya tentang budi bahasa, Sunarto sentiasa bersangka baik dengan keadaan sekeliling walaupun sentiasa mempunyai krisis bersama Zarina sekeluarga.

3.4   Teknik Kepengarangan dan Nilai Estetika
Sebuah karya yang baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya. Apabila kita membaca perasaan kita akan turut digoncangnya. Hasil daripada pembacaan, pembaca mendapat pemikiran yang tinggi atau falsafah tentang hidup. Pembaca dipintarkan olehnya, bukan digeruni atau dimarahi. Sebuah karya sastera yang berestetika mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pembaca. Rasa keindahan juga berkait rapat dengan kemampuan sesebuah teks bagi menimbulkan perasaan pembaca seperti perasaan gembira, simpati, marah, terharu dan sebagainya.
Aspek teori keindahan dan estetika sangat kuat untuk dibincangkan. Dalam bidang penulisan novel, keindahan ini dapat ditemui dalam Salina memaparkan keindahan kepada alam dan kehidupan manusia dengan nilai kehidupan masyarakat, sarat dengan metafora dan gaya bahasa yang menarik serta indah. Keindahannya terletak pada tema, persoalan, watak dan perwatakan yang hidup dan lincah, plot, latar masyarakat, nilai dan pengajaran yang disampaikan.
Peristiwa-peristiwa pula terbina dan tersusun dalam cara yang penuh dengan daya ketegangan melalui penggunaan teknik-teknik lintasan kembali dan imbas muka yang silih berganti. Demikianlah maka Salina dikatakan telah memberikan arah terbaru dalam perkembangan yang pelbagai dalam teknik-teknik moden; ia berhasil memperlihatkan sesuatu perubahan dan penyimpangan yang radikal terhadap struktur penciptaan novel-novel Melayu.
1.      Watak dalam realiti hidup pengarang
Kekuatan novel salina terletak pada kemampuan pengarangnya memberikan pelukisan yang terperinci dan hidup terhadap watak yang terlibat dengan peristiwa serta suasana yang melingkunginya. Ini berjaya dilakukan oleh adanya penggunaan teknik yang berkesan dalam aspek-aspek dialog, lintasan kembali dan imbas muka.
Watak dalam novel ini lebih 20 orang dan ianya sukar ditandingi oleh novel lain pada ketika itu. Walaupun Salina mengangkat kelompok watak, dari segi watak  dan perwatakan, watak Siti Salina dan Nadihah merupakan dua titik yang penting dalam perkembangan plot.  Kompleksiti penampilan watak dalam karya ini dapat dilihat dari segi perkembangan plot dalam 34 bab dengan mengemukakan berbagai-bagai teknik yang menarik. Hampir semua wataknya terdiri daripada orang kecil yang mencari kehidupan sebagai pembasuh kain, pelayan, pengayuh beca, penganggur, bekas kelasi, dan pelacur. Dalam konteks selepas perang, novel ini mengemukan kehidupan watak mangsa perang di pinggir kota Singapura.
Novel ini mengangkat masalah hidup selepas perang itu di Singapura paling menonjol nasib watak yang dikelompokkan mengikut umur, iaitu wanita dewasa diwakili Katijah, Zarina,Salina, dan Nahidah. Katijah berusia 40-an, ibu tunggal selepas suaminya mati dalam perang itu. Dia hidup bersama-sama anaknya, Hilmy berusia 18 tahun yang masih bersekolah Inggeris di Victoria School. Dia juga pernah bersekolah Melayu Kota Raja sehingga berpindah ke sekolah Inggeris Monk’s Hill. Latar persekolahan Hilmy ini sangat mirip dengan persekolahan pengarang sendiri. Malah, watak Katijah itu merupakan model yang banyak persamaan sifat ibunya sendiri.

2.      Teknik imbas kembali
Eksposisi atau pendedahan watak pada permulaan plot cerita atau Bab 1 yang mula menonjolkan Hilmy, Katijah, Siti Saleha dan Haji Karman. Dalam beberapa bab seterusnya sorotan latar belakang watak itu dengan watak-watak lain, seperti Siti Salina digambarkan melalui teknik imbas kembali (Bab 10) iaitu;
Di antara adik beradiknya itu Siti Salinalah yang tertua. Adiknya, tiga orang, masing-masing termuda setahun-setahun sahaja di antara satu dengan yang lain. Walaupun Siti Salina lebih rapat kepada ibunya daripada ayahnya, tapi dia lebih menyayangi ayahnya, kerana ibunya bukan ibunya yang sebenar. Ibunya yang sebenar sudah tiada sejak umurnya masih enam bulan lagi. (Adiknya-adiknya adalah hasil perkahwinan ayahnya dengan isterinya yang baharu itu).
                                                                           (Salina, 1980: 116)
Pengarang menggunakan teknik imbas kembali terhadap perwatakan Salina. Salina digambarkan mempunyai empat orang adik-beradik dan dia merupakan yang paling tua (anak sulung). Salina juga telah kematian ibunya sejak dia masih enam bulan dan mempunyai seorang ibu tiri. Walau bagaimanapun, Salina lebih rapat dengan ayahnya kerana ibunya itu merupakan ibu tiri. Dalam teknik ini juga turut diceritakan latar pendidikan Salina dan bibit-bibit percintaannya dengan Muhammad Yusup. Selain itu, latar  belakang watak Razman (Bab 8), Nahidah dan Sunarto (Bab 12), Haji Karman (Bab 16), Mansur (Bab 17) Hilmy (Bab 19) dan Zarina (Bab 20) turut digambarkan melalui teknik imbas kembali.

3.      Teknik Monolog
Dalam monolog dalaman yang turut diturutkan, terdedah dengan adanya peribadi dan konflik watak di samping membina peristiwa-peristiwa tertentu yang dialami watak. Misalnya Sunarto yang mula didedahkan dengan parangai sebenar Zarina dan konflik yang berlaku antara mereka.
“Kenapa Zarina mesti begitu terang-terangan benar menghalaunya? Pertanyaan itu selalu menjenguk-jenguk di kepala Sunarto. Dahulunya tidak begini. Sekarang Zarina begitu berani. Mengapa demikian? Apakah sudah dirasanya bahawa tanpa Sunarto dia boleh hidup juga senangnya? Fikir Sunarto…”
(Salina, 1980: 65)
Pengarang menggunakan teknik monolog untuk menimbulkan pertanyaan dalam diri Sunarto juga kepada diri pembaca. Pertanyaan demi pertanyaan timbul disebabkan sikap yang ditunjukkan oleh Zarina terhadapnya. Malah tiada jawapan diberikan kerana ianya adalah monolog dalaman yang dihadapi oleh watak itu sendiri dan perlu diselidik jawapannya secara sembunyi-sembunyi. Kemungkinan jawapan yang dicari ada pada bab yang berikutnya.
4.      Teknik Dialog
Kekuatan novel salina terletak pada kemampuan pengarangnya memberikan pelukisan yang terperinci dan hidup terhadap watak yang terlibat dengan peristiwa serta suasana yang melingkunginya. Ini berjaya dilakukan oleh adanya penggunaan teknik yang berkesan dalam aspek-aspek dialog. Dialog diadakan untuk berfungsi dalam pelbagai hal, iaitu untuk membina plot, membentuk fikiran dan sikap watak serta menonjolkan tema. Dialog antara Zurina dan Nahidah menjelaskan sikap materialistik Zarina yang sanggup menggadaikan maruah Nahidah yang mempunyai modal kecantikan untuk mendapatkan kesenangan.
“idah tak suka, idah tak suka”
“idah tau emak bergantung pada Idah, kan? Idah mesti kasihankan emak… dulu emak pernah jadi pelayan. Betapa senang emak. Makan senang, duit senang, kain baju senang…
   (Salina, 1980: 251)
Dalam dialog ini Nahidah keras menentang pekerjaan yang sedang dilakukannya, dia juga turut menolak kehendak ibunya. Walau bagaimanapun, ibunya memujuknya bersungguh-sungguh dengan menceritakan kisah silamnya yang mudah mendapat apa yang dikehendaki dengan hanya berkerja sebagai seorang pelayan. Tujuannya tidak lain tidak bukan hanya untuk mempengaruhi Nahidah supaya sependapat dengannya dan mengikut segala arahannya.
5.      Emotif
Menimbulkan kesan perasaan yang pelbagai antaranya sayang, suka. duka, dan benci. Diperlihatkan melalui kata, frasa, ayat mahupun wacana. Misalnya emotif benci:
kalaulah saya kak Inah, heh, saya buang saja orang yang semacam itu. Tak mahu saya menjaganya begitu; buat apa dilemak-lemakkan orang yang malas kerja? Kita bodoh sendiri!” Kata Nahidah, menampakkan geramnya.
    (Salina, 1980: 23)
Nahidah menyatakan kebenciannya terhadap sikap Abdul Fakar yang mengambil kesempatan terhadap kebaikan Siti Salina. Selain itu, sikap Abdul Fakar yang hidung belang amat menganggu ketenteraman hidup Nadiah.
6.      Perlukisan Gambaran yang Jelas
Perlukisan adalah gambaran pengarang tentang sesuatu keadaan, peristiwa, aksi dan emosi dalam wacana secara jelas. Kata-kata yang segar dan bertenaga digunakan untuk melukiskan gambaran yang jelas dan hidup. Contohnya:-
“betullah. Ha, itu pun dia pokok cempedaknya. Di belakang tulah biliknya,” jawab orang tua itu terbatuk-batuk sambil menunjukkan ke pokok cempedak yang beberapa biji buahnya bersalut dengan kertas kuning kotor-kotor; buahnya yang bersalut, yang jelas kelihatan, empat biji kesemuanya.
         (Salina, 1980: 1)
A.Samad Said telah melukiskan gambaran pokok cempedak yang dinyatakan oleh orang tua supaya Katijah dan Hilmy yang baru sampai ke rumah sewa itu tidak tersalah lihat kedudukan rumah yang bakal mereka duduki.
7.      Simbolik
Mesej bersifat simbolik yang berupa kiasan kepada sesuatu benda. Simbol bersifat individu, konvensional dan ada juga yang berunsur sejagat. Pernyataan secara simbolik ini, ditegaskan secara lebih serius bagi menunjukkan maksud.
”Dia tahu apa yang dikatakan oleh Katijah itu semata-mata, hendak menyelamatkan dirinya dari parasit manusia’ itu. Dia diam sahaja mendengarkan:..”
                                                                             (Salina, 1980: 122)
                        Berdasarkan petikan yang dipetik daripada novel Salina. Siti Salina menggelar Abdul Fakar sebagai parasit manusia’ kerana sikap Abdul Fakar yang jahat dan suka mengambil kesempatan terhadap orang lain terutamanya Siti Salina.                 
8.      Personifikasi
Unsur yang menggunakan kiasan untuk memberikan sifat manusia daripada segi perasaan, perlakuan dan sebagainya kepada benda-benda mati, idea, binatang dan lain-lain yang berkaitan. menjadikan benda atau binatang seolah-olah manusia. Sifat-sifat manusia seperti perasaan dan keinginan diberikan kepada benda, binatang dan seumpamanya menjadikannya seperti manusia. Contohnya ialah,
Orang tua ini terbatuk-batuk sewaktu turun dari lori buruk yang masih lagi mengigil-gigil enjinnya itu.
                                                                             (Salina, 1980: 1)
Pengarang memberikan sifat manusia yang mengigil-gigil terhadap enjin. Sifat mengigil-gigil merupakan sifat manusia yang tidak ada pada benda. Oleh itu, pengarang menggunakan unsur personifikasi untuk menyatakan perkara tersebut.
9.      Simile
Simile merupakan bahasa kiasan yang digunakan yang digunakan dalam karya sastera. Membandingkan sesuatu benda, peristiwa atau situasi dengan benda lain yang hampir sama. Perbandingan simile merupakan perbandingan yang jelas kerana disertai kata-kata seperti, umpama, laksana, seperti macam dan bagai. Penggunaan kata-kata membangkitkan imaginasi pembaca untuk menanggapi maksud pengarang. Gambarkan keadaan atau suasana kehidupan manusia atau kesedihan sesuatu akibat sesuatu kejadian atau peristiwa. Contoh penggunaan simile dalam Salina ialah,
Tidak , jawab Siti Salina di dalam hatinya saja”Tidak. Abdul Fakar tak boleh diharapkan. Dia hanya tau menghisap darah sahaja. Dia macam lintah!”
                                                                                    (Salina, 1980: 122)
1    Ironi
Bahasa sindiran yang halus tetapi mempunyai makna yang tajam. Bunyi penyebutan atau cara ungkapannya yang disampaikan adalah lembut tetapi sesiapa yang terkena akan terasa tajam sindirannya. Biasanya membawa maksud yang bertentangan dengan maksud sebenarnya. Digunakan dalam percakapan antara dua pihak.
Siti Salina ketawa juga. Tapi kali ini dalam ketawanya itu dia menjawab Ai, itulah dia tuanku Abdul Fakar yang tidak berguna satu sen tu!”
(Salina, 1980:  46)

Salina menggelar Abdul Fakar sebagai tuanku kerana ingin menyindir sikap Abdul Fakar yang hidup selesa ditanggung oleh Salina. Walau bagaimanapun, dia langsung tidak berguna kepada Siti Salina.

Seorang pengarang perlu mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ia akan mempengaruhi daya kreativitinya. Pengalaman diperoleh melalui bayangan, ingatan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelididikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuk yang bersifat konseptual dan kontekstual. Pengumpulan bahan dalam aspek kehadiran penting kerana ia menjadi asas penulisan. Prinsip kehadiran mengandungi tiga persoalan iaitu apakah fakta-fakta yang hadir dan dari mana kehadirannya dalam teks tersebut dan bagaimana fakta-fakta itu hadir dalam teks tersebut dan apakah kesan kepada kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca.
Pengarang dan teks tidak hanya harus inovatif dan melakukan pembaharuan, tetapi juga pengukuhan. Pengukuhan dalam karya ialah sejauh mana pengarang mencuba untuk membawa pembaharuan terhadap karya-karya yang dihasilkan. Pembaharuan bukan sahaja merujuk kepada sesuatu konsep itu diterapkan tetapi juga sejauh mana tahap kematangan yang digunakan  dalam karya pengarang itu. Pengarang tidak akan membiarkan dirinya berada terus menerus di bawah teks yang lemah. Keadaan ini akan menyebabkan  berlakuknya proses pembinaan teks yang unggul (Mana, Sikana 2006). Keinginan mendengar cerita-cerita, kehadiran peperangan dan kehadiran tokoh-tokoh penggalak. Tiga perkara yang dihadirkan ini sangat penting membantu mengolak keinginan, kesedaran dan potensi A.Samad Said dalam pengolahan karya kesusasteraan.
1.      Keinginan mendengar cerita
Keinginan mendengar cerita merupakan daya esensi yang menggerakkan tanda-tanda kemahuan diri dan minat A.Samad Said terhdap karya kesusasteraan. Menurut A.Samad Said, Ibunya ialah pencerita yang paling akrab dan paling hampir dengan diri A.Samad Said. Menurut A.Samad Said lagi, cara ibunya bercerita, niatnya bercerita dan isi cerita itu sendiri telah mendekatkan dirinya kepada satu kecenderungan atau habit yang rupa-rupanya secara diam-diam meresap dan menumbuhkan bakat penulis (A.Samad Said, 1987:1).

2.      Kehadiran peperangan
Titik mula penglibatan A.Samad Said dalam penulisan dapat disusuri daripada kesan pengalaman hidup yang musnah akibat peperangan. Keburukan perang tidak sekadar meninggalkan kemusnahan dan kehancuran harta benda dan kedamaian, tetapi bagi diri A. Samad Said, perang juga telah meninggalkan kesan yang sangat tragis dalam naluri kemanusiaannya. Kata A.Samad (1987);
“Segala pendertiaan, kehalobaan dan kecurangan yang saya alami, malah yang saya alami sendiri, tidak terkikis beberapa lama dalam karya-karya saya. Barang kali kerana terlalu kuatnya kesan itu, sehingga secara naluriah atau dianugerahi saya terdaya menyudahkan Salina dalam masa dua bulan”

Bagi A.Samad Said, kehadiran perang menjadi sumber terpenting kepada penglibatan dirinya dalam bidang penulisan novel, drama dan puisi, meskipun peperangan tidak lagi menjadi rencah pengkaryaannya. Namun pengalaman hidup dalam perang telah memusatkan perhatian dan minda sedar A.Samad terhadap kesediaannya menggagahi Salina yang membuka ruang khalayak memahami kehidupan masyarakat Melayu ketika itu dan sikap A.Samad sendiri terhadap masyarakatnya. Pengalaman ini adalah pengalaman langsung dirinya sebagai mangsa perang itu. Pengalaman ini menurut Hasan Langgulung (1991) menunjukkan wujudkan kawasan-kawasan yang kadang-kadang jiwa sedar menonjol sebagai pusat sahsiah, iaitu si Aku. Si Aku dalam konteks ini dapat dihubungkan secara langsung dengan diri A.Samad itu sendiri.
Kehadiran perang mengumpulkan pengalaman yang banyak pada diri A.Samad Said, dan pengalaman itu kemudiannya diolah semula dengan diberi gambaran realistik dalam novel Salina. Watak-watak ciptaanya pula terdiri daripada mangsa-mangsa perang yang hidup penuh kecewa dan derita dalam arus kehidupan yang daif (Sarah Sadon, 2004:xv).

3.      Menemui diri
Tidak jelas, tempoh yang setepatnya A.Samad Said benar-benar menyedari bahawa dirinya memiliki kekuatan sendiri. Pembangunan kreativiti dalam diri A.Samad Said bergerak ke depan dan sentiasa maju. Ibarat kemajuan negara membangun yang rancang dengan pembangunan selepas merdeka. Ibarat cendawan yang tumbuh setelah turunnya hujan, sangat menggalakkan. Namun, dalam waktu yang sarat idea itu, A.Samad Said mula memikirkan prinsip diri. Setelah menentukan landasan pengkaryaan, A.Samad Said mula menggerakkan perjalanan seninya sebagai seorang penulis dengan sebuah pengembaraan kreatif yang besar maknanya menerusi sebuah novel berjudul Salina. Terhasilnya Salina, bererti juga beliau telah mampu membebaskan diri daripada bayangan idolanya. A.Samad Said mampu berdiri sebagai seorang penulis yang memiliki cerita sendiri, lahir dari kreativiti diri yang benar dan tersendiri, bukan yang diciplak atau ditiru dari penulis-penulis yang dipujanya sebelum ini. Oleh itu, kata A.Samad Said (1987:42):-
“Saya sudah dapat menapis cerita terlepas dari cerita Batu Belah Batu Bertakup, terlepas dari pengaruh Di Bawah Lindungan Kaabah dan terlepas juga dari The Pastures of Heaven. Saya mempunyai cerita sendiri, yang ditapis dari awan-awan yang terapung, diperkuat dari khazanah pengalaman keluarga dan diri sendiri, dan diperkukuhkan lagi oleh penyelidikan dari buku-buku atau perdebatan. Inti cerita nya memang sudah ada, tapi di samping itu semak samun sekitarnya masih juga banyak, kabus masih menyerkupnya sehingga kalau ditulis di waktu itu juga cerita saya itu tentu akan merempat ke sana sini. Saya ingin cari relnya dulu. Itu azam pertama”


4.      Memperkukuhkan keperibadian sebagai penulis
Novel Salina membuka dan membongkar segala perit getir pengalaman hidup manusia Melayu yang terjepit dalam kerosakan masyakarat akibat perang. Desakan pengalaman dan kecenderungan kepada cerita-cerita yang pernah didengar sebelum ini (lihat A.Samad Said, 1987:50). Pengalaman hidup dalam masyarakat yang hancur kerana perang menghidupkan gerak jiwa dan kreativiti seninya untuk menulis. Menurut A.Samad Said (1987:42):-

“Pengalaman selepas perang Dunia Kedua masih hangat lagi setahun selepas saya berhenti sekolah terlalu mudah untuk saya menarik apa sahaja khazanah pengalaman di masa itu. Tidak sahaja, bayangan setengah-setengah tempatnya boleh saya pinjam di sana sini…. Saya tidak payah terlalu berangan-angan atau berkhayal-khayal”

Novel Salina memberi banyak kefahaman kepada diri A.Samad sendiri. Beliau menjadi lebih faham, lebih rasional, lebih analitis dan lebih edukatif. Beliau lebih faham persekitaran yang boleh mendokong kejayaan proses penghasilan karya, lebih rasional dan analitis memilih, menolak dan menyanggah idea, lebih edukatif kerana mendapat kritikan pelbagai pihak atas karya novelnya. Kritik-kritik terhadap Salina memberikan saya banyak pelajaran lanjut tentang penulisan novel (A.Samad Said,1987:59). Kritikan oleh beberapa orang tokoh besar ketika itu seperti Syed Husin Ali dan Kassim Ahmad memberi suntikan baharu yang membentang lebih luas ruang untuk A.Samad Said menerokai dunia penulisan yang lebih mencabar. Kritikan-kritikan seperti ini mendorong saya untuk meneliti Salina dan walaupun saya tidak menerima sebahagian besarnya, tetapi saya percaya memang ada baiknya jika dapat dilahirkan sebuah novel yang tidaklah perlu tebal kerana semata-mata ingin menjadikannya tebal (A.Samad Said,1987:60).
Tidak hanya kritikan positif, Salina turut menerima kritikan negatif, terutama oleh sarjana Melayu sendiri seperti Mohd Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Zariat Mohd Rani. Kepelbagaian jurus pandangan yang sangat variasi sifatnya membuka ruang luas argumentasi tentang novel ini. Malah, akhir-akhir ini, ada suara yang terkedengaran supaya penilaian yang diberikan terhadap Salina dikaji semula. Dengan tidak hanya mengambilkira persoalan kritikan terhadap tekstual Salina, Salina itu sebenarnya telah berjaya menempatkan A.Samad Said pada landasan (rel – istilah A.Samad Said sendiri) pengkaryaan yang makin terbuka dengan daya kreatif yang makin tinggi dan kematangan minda yang tahan diuji.
Pengalaman yang ditempuh A.Samad Said lebih menampakkan suatu penurasan daripada peringkat kehadiran. Pada peringkat kehadiran, pengukuhan dan keunggulan, aspek- aspek yang telah dilalui oleh A.Samad Said daripada hanya seorang anak sebuah keluarga yang terkesan dengan peperangan, kemudian menjadi seorang pendengar cerita lisan yang setia, pembaca buku yang tekal minatnya hinggalah menjadi novelis, penyair, cerpenis dan akhir dianggap sebagai Sasterawan Negara. Hal ini menunjukkan menunjukkan sifat dan keperibadian, kepengarangan dan  pengiktirafan masyarakat terhadapnya membuktikan A.Samad Said dan karyanya sebagai telah mencapai tahap keunggulannya.


44.0  Kesimpulan
Novel Salina merupakan sebuah karya moden yang telah mengangkat nama sasterawan negara iaitu A. Samad Said. Penulisan novel ini menarik perhatian pembaca melalui teknik penceritaan yang tersusun. Kepelbagaian penggunaan teknik cerita mewujudkan situasi sebenar. Banyak teladan dan maklumat dapat diketahui mengenai masyarakat yang mengalami kesusahan selepas berlakunya perang dunia kedua. Selain itu, novel ini dapat diangkat menjadi karya agung kerana memenuhi ciri-ciri karya agung sebagai contoh mempunyai mesej dan falsafahnya, mempunyai nilai budaya dan pandangan hidup, mempunyai nilai ilmu, kepengarangan yang tersendiri dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Oleh itu, karya sebegini perlu diangkat agar karya-karya yang mempunyai nilai yang banyak terus dipergiatkan penulisannya agar lebih banyak karya agung dapat dihasilkan.











Rujukan
A Samad Said (1980). Salina. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
A.Samad Said. 1987. Dari Salina Ke Langit Petang. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka (2010). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Langgulung. 1991. Kreativiti dan Pendidikan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015). Modul Karya Agung Melayu BMS3022. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Rosnah Baharudin (2012). Biografi A. Samad Said: Memberi hati nurani. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.
Sarah Sadon. 2004. Koleksi Terpilih Sasterawan Negara A.Samad Said. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.












5 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian ilmu ini.. ia banyak membantu sya dalam kajian..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas maklumat ini. Ia amat membantu saya bagi menghasilkan tugasan.

    Namun, boleh saya bertanya tentang kelebihan dan kekurangan novel ini?

    ReplyDelete
  3. salam cikgu. nak bertanya, pada bahagian sinopsis "Tidak lama kemudian, Hilmy cuba menjejaki Salina di Kuala Lumpur tapi diberitahu oleh Mansur yang Salina sudah pulang ke Singapura.
    Abdul Fakar belayar kembali kerana dia gagal mencari Salina. Dia baru mengetahui bahawa Salina betul-betul sayangkan dia setelah di tipu oleh perempuan joget. Hilmy kembali ke Singapura untuk bertemu Salina". siapa yang sebenar menjejaki Salina? Abdul Fakar atau Hilmy?

    ReplyDelete
  4. Salam, izikan saya sekiranya penulisan ini dijadikan sebagai rujukan.. ya terima kasih

    ReplyDelete
  5. terima kasih atas perkongsian ini - saya mohon olah semula untuk FB saya

    ReplyDelete