ANALISIS
CIRI-CIRI KARYA AGUNG DALAM HIKAYAT
MERONG MAHAWANGSA
Mohd Rusdi Samsuddin, Siti Fairus Ahmad,
Fatimah Hikmah Saipul Anuar,
NorHidayahwati Salim, dan Noor Hazimah
Zainuddin
1.0
Latar
belakang Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah sebuah karya
agung yang terdapat dalam bidang kesusasteraan Melayu. Selain daripada Hikayat
Merong Mahawangsa, terdapat juga hikayat-hikayat lain yang sering dibincangkan
dalam dunia sejarah sastera seperti Hikayat Raja Pasai, Sulalat al-Salatin,
Hikayat Johor dan sebagainya. Persoalan yang sering timbul bukan sahaja pada
Hikayat Merong Mahawangsa namun juga karya-karya agung yang lain berkenaan
dengan catatan tarikh sebenar penulisan karya-karya ini. Walaupun naskhah
Hikayat Merong Mahawangsa tidak mencatatkan tarikh yang tepat tentang permulaan
penulisan mahupun pengakhiran penulisan, namun tarikh karya ini selesai disalin
semula iaitu pada tahun 1316.
Sama seperti naskhah Sejarah Melayu, karya Hikayat
Merong Mahawangsa ini ditulis bagi memenuhi suruhan sultannya iaitu Sultan
Muadzam Syah yang dipercayai sebagai sultan Kedah kedua daripada jurai
keturunannya yang beragama Islam. Arahan ini bertujuan untuk memastikan agar
anak cucu keturunan sultan Kedah mengetahui tentang asal usul, peraturan segala
raja-raja Melayu dan istiadat raja-raja Melayu. Perkara ini dibuktikan daripada
petikan yang terdapat dalam bab pertama naskhah ini.
Setelah itu maka titah baginda yang maha mulia,
junjungkan ke atas jemala fakir, demikianlah titah yang maha mulia: ‘Bahawa
hamba pinta perbuatkan hikayat pada tuan, peri peraturan segala raja-raja
Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya boleh diketahui oleh segala anak cucu
kita yang kemudian daripada kita ini, serta dikurniai dengan sejarahnya.’
Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa penghasilkan
karya Hikayat Merong Mahawangsa sememangnya mempunyai motif sejarahnya yang
tersendiri. Motif sejarah ini dapat mencatatkan peristiwa masa lalu untuk
pengetahuan masyarakat masa akan datang.
2.0
Sinopsis
Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa ini mempunyai lima bahagian
kesemuanya. Hikayat ini dimulakan dengan penceritaan antara Burong Garuda
dengan Nabi Allah Sulaiman. Berikutan dengan perjanjian yang telah dilakukan
antara Burong Geroda dengan Nabi Allah Sulaiman menyebabkan terjadinya
peristiwa angkatan Raja Merong Mahawangsa yang telah dimusnahkan dengan
serangan Burong Geroda, terbinanya Kerajaan Langkasuka dan hukuman yang
diterima oleh Burong Geroda di atas kekhilafan yang dilakukan dalam
perjanjiannya dengan Nabi Allah Sulaiman.
Serangan yang dilakukan oleh Burong Garoda menyebabkan
Merong Mahawangsa telah berpisah dengan anak Raja Rom. Perpisahan inilah
menyebabkan Merong Mahawangsa sampai ke satu kawasan yang mengharapkannya untuk
menjadi raja di kawasan tersebut. Disinilah bermulanya kerajaan Negeri Kedah
yang berada di bawah pemerintahannya kemudian diturunkan takhtanya kepada
anaknya, Raja Merong Mahadipusat. Dalam pemerintahan Merong Mahadipusat inilah
bermulanya hubungan antara Kedah dan Siam.
Pemerintahan Kedah mengalami pergolakan semasa berada
di bawah pemerintahan Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih dikenali dengan
Raja bersiung. Semasa pemerintahan Raja Bersiung, rakyat dan kerajaan menjadi
huru hara sehingga raja terpaksa diserang dengan rakyat yang menuntut keadilan
daripada raja dan akhirnya raja hilang di dalam buluh semasa melarikan diri
daripada rakyatnya. Kehilangan Raja Bersiung menyebabkan Kedah tidak mempunyai
raja untuk memerintah dan mencari pengganti kepadanya. Kemudian berlaku
peperangan perebutan kekuasaan pemerintahan
negeri Kedah. Segala-galanya kembali aman setelah Kedah berada di bawah
pemerintahan Raja Phra Ong Mahaputisat.
Raja Phra Ong Mahaputisat mempunyai seorang putera
yang bernama Phra Ong Mahawangsa. Raja Phra Ong Mahaputisat telah memberikan
takhtanya kepada puteranya. Semasa berada di bawah pemerintahan Raja Phra Ong
Mahawangsa inilah saat kegemilangan ajaran Islam di mana saat inilah ajaran
Islam mula diperkenalkan yang bertitik tolak daripada pengislaman Raja Phra Ong
Mahawangsa oleh Syeikh Abdullah. Pengislaman Raja Phra Ong Mahawangsa
menyebabkan panggilannya telah diubah kepada Sultan Muzalfal Syah. Pengakhiran
hikayat ini menunjukkan struktur permerintahan Kerajaan Kedah yang semakin
kukuh.
3.0
Aspek yang
dianalisis
Sesebuah hasil karya kesusasteraan mempunyai
ciri-cirinya yang tersendiri sehingga mampu diangkat sebagai sebuah karya
agung. Tidak semua karya kesusasteraan yang dihasilkan dapat diangkat sebagai
sebuah karya yang bertaraf karya agung. Oleh yang demikian, penelitian
ciri-ciri karya kesusasteraan ini akan dikhususkan dalam aspek pemikiran dalam
karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung, nilai ilmu
dalam karya agung dan teknik kepengarangan dan seni bahasa dalam karya agung.
Aspek-aspek ini akan dilihat dalam naskhah Hikayat Merong Mahawangsa yang
diselenggara oleh Siti Hawa Salleh seperti berikut:
3.1
Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 411),
pemikiran dapat didefinisikan sebagai perihal berfikir. Dalam bidang sastera
pula, pemikiran ini selalunya dimulakan dengan idea yang diperoleh oleh
pengarang yang kemudiannya diolah oleh pengarang sehingga menjadi sebuah karya
atau buah fikiran yang bernas. Secara mudahnya, pemikiran dapat dikaitkan
dengan perkara utama atau tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam
sesebuah karya. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan dengan mesej yang
ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam sesebuah karya. Pemikiran
dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini telah diskopkan kepada beberapa bahagian
yang lebih kecil yang merangkumi pemikiran dalam pembukaan negeri Kedah,
penubuhan kerajaan, pemerintahan raja, hubungan diplomatik dan kedatangan Islam
yang merangkumi pemelukan raja dan rakyat.
3.1.1
Pembukaan Negeri Kedah
Ada
beberapa peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan pembukaan negeri Kedah.
Segala-galanya bertitik tolak kepada peristiwa perjanjian yang dilakukan oleh
burung Garoda dengan Nabi Allah Sulaiman yang menyatakan bahawa dia akan memisahkan
hubungan yang akan dijalinkan antara Raja Rom dan Raja China dengan
mengahwinkan anak-anak mereka. Burung Garoda telah melakukan perjanjian untuk
menghalang hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut. Burung Garoda telah
menyerang bahtera yang dinaiki oleh anak Raja Rom dan Merong Mahawangsa.
Serangan telah dilakukan secara bertubi-tubi dan menyebabkan anak Raja Rom
berpisah dengan pembantunya iaitu Merong Mahawangsa. Bahtera anak Raja Rom yang
telah disambar oleh burung Garoda menyebabkan bahtera tersebut musnah dan anak
Raja Rom dihanyutkan laut.
Apabila Raja Merong Mahawangsa menjadi raja di
Langkasuka, maka baginda telah memerintah Langkasuka dengan baik. Namun yang
demikian, beberapa lama kemudian, utusan Raja Merong Mahawangsa kembali
daripada menghadap Raja China. Utusannya telah membawa utusan anak Raja Rom
yang dijumpai semasa menghadap Raja China.
Kemudian, Raja Merong Mahawangsa terpaksa belayar bersama-sama dengan
utusan anak Raja Rom untuk berjumpa dengan anak Raja Rom. Sebelum berlayar,
Raja Merong Mahawangsa telah memberikan takhtanya kepada puteranya iaitu
MerongMahadipusat untuk memerintah Langkasuka. Hal ini dibuktikan berdasarkan
teks yang berikut:
“… Maka sembah segala menteri, ‘patut sangat tuanku menamakan negeri
ini, supaya tidak sesat daripada sebutannya.’ Maka sembah pula menteri Rum,
‘bukanlah dengan kemudahan juga mendapat negeri ini, dengan tiada sukarnya,
jikalau kepada namanya pun demikian jua.’ Maka titah Raja Merong Mahawangsa,
‘jika demikian, hendaklah kita namakan negeri ini Negeri Kedah Zamin Turan
sebutannya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 30)
Dengan nama yang telah diberikan oleh Raja Merong
Mahawangsa, maka secara tidak langsung, tertubuhlah sebuah negeri yang bernama
Kedah. Setelah itu, segala pemerintahan telah diamanahkan kepada anakandanya
iaitu Raja MerongMahadipusat.
3.1.2
Penubuhan
kerajaan
Sebelum keberangkatan Raja Merong Mahawangsa menghadap
anak Raja Rum, baginda telah memberikan beberapa wasiat kepada anakandanya,
Raja MerongMahadipusat. Raja Merong Mahawangsa menitahkan anakandanya untuk
memperbesar empayar pemerintahannya dengan meminta anakanda-anakanda Raja
MerongMahadipusat membuka kerajaan-kerajaan baru. Hal ini dibuktikan daripada
teks yang berikut:
“Serta titahnya, ‘ hai anakku Raja MerongMahadipusat,
jikalau anakku beroleh anak pada zaman ini, hendaklah anakku rajakan akan dia
seorang sebelah utara barat laut, seorang sebelah selatan timur menenggara
daripada negeri Kedah ini dan seorang sebelah matahari naik antara timur laut.”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 30)
Akhirnya, Raja MerongMahadipusat telah dikurniakan
empat orang anakanda, tiga orang anakanda lelaki dan seorang anakanda
perempuan. Raja MerongMahadipusat telah mengikut wasiat dan saranan daripada
ayahandanya. Anakandanya yang tua telah dihantar untuk membina sebuah kerajaan
yang dinamakan sebagai Benua Siam. Anakandanya yang tengah pula dihantar untuk
membina kerajaan yang dinamakan Negeri perak manakala anakanda perempuannya
pula telah memerintah sebuah kerajaan yang bernama Patani. Manakala anakandanya
yang akhir diberikan takhtanya untuk diwarisi apabila baginda mangkat kelak.
Maka dengan ini, jelaslah bahawa keempat-empat anakanda Raja MerongMahadipusat
telah menubuhkan kerajaan yang tersendiri seperti yang diinginkan oleh
datuknya, Raja Merong Mahawangsa.
3.1.3
Asal usul
raja dan kedaulatan pemerintahan beraja
Mustafa Mohd Isa (1999:90) menyatakan bahawa Hikayat Merong
Mahawangsa juga mahu menonjolkan raja-raja Kedah itu berasal daripada raja
besar dunia. Kalau Sejarah Melayu menyatakan raja-raja Melaka berasal daripada
Raja IskandarDzulkarnain maka pengarang teks ini mendakwa bahawa raja-raja
Kedah berasal daripada Raja Merong Mahawangsa dari Rum. Raja ini sangat perkasa
hingga burung Geroda tidak dapat mengalahkannya. Selepas Raja Merong Mahawangsa
meninggalkan zuriatnya di Negeri Kedah, ia balik ke Rum. Daripada keturunannya
lahirlah dinasti kesultanan Kedah. Raja-raja Kedah daripada keturunan Raja Merong
Mahawangsa ini semuanya baik-baik belaka kecuali Raja Phra Ong Maha Perita
Deria atau Raja Bersiung yang kejam dan zalim. Kejahatan Raja Bersiung ini
mungkin kerana ibunya cucu Nang Miri itu gergasi.
Kezaliman dan kejahatan Raja Bersiung ini dapat
dilihat dalam teks yang berikut:
“Demi Raja Bersiung mendengar sembah perempuan itu, maka ia pun
menyarungkan pedangnya serta bertitah, ‘ Baiklah, lalu berangkat keluar ke
balai rong bertitah , ‘ Mana penghulu biduanda sekalian? Bukankah ada orang
yang kita suruh bunuh sulakan itu pada hari ini? Ambil cawan itu, isikan
darahnya, bawa ke mari kepada aku.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 46 & 47)
Disebabkan
oleh tabiatnya yang kejam dan suka makan daging rakyatnya menyebabkan
permaisurinya dan menteri keempat melakukan rancangan untuk memberontak.
Menurut Siti Hawa Haji Salleh (2009: 345), walaupun ada penentangan antara rakyat dengan raja
dalam Hikayat Merong Mahawangsa, peristiwa itu tidak disebut sebagai
menderhaka. Daripada apa yang diceritakan, pengarang seolah-olah secara tisak
langsung mengakui bahawa penentangan terhadap Raja Bersiung adalah sah dari
segi undang-undang. Raja bersiung digambarkan memerintah dengan zalim,
mementingkan diri sendiri lebih daripada kesejahteraan rakyat dan merupakan
pihak yang pertama menyimpang daripada perjanjian yang telah dimeterai.
Peristiwa ini adalah satu-satunya dalam hasil sastera Melayu tradisional yang
merestui pemberontakan rakyat terhadap raja kerana apa yang berlaku
bertentangan dengan konsep kerajaan itu sendiri. Walau bagaimanapun, jelas
kelihatan bahawa hasil kesusasteraan Melayu tradisional dengan berlatarkan
pelbagai warna dan budaya memberi gambaran yang berkesan tentang kedaulatan
raja yang berkaitan. Ternyata dalam karya sastera sejarah Melayu tradisional,
‘daulat’ mencipta maknanya yang sangat luas.
Pengarang
telah menghilangkan Raja Bersiung dalam buluh bagi menunjukkan bahawa raja
mempunyai tempat yang tinggi berbanding dengan rakyat dan raja tidak boleh
diperlakukan sesuka hati oleh rakyat kerana ia akan menjatuhkan nama institusi
beraja yang selama ini dihormati oleh masyarakat terutamanya masyarakat
tradisional. Namun, setelah Raja Bersiung keluar dari Kedah, anakandanya iaitu
Raja Phra Ong Mahaputisat telah memerintah Kedah dengan aman dan sentosa.
3.1.4
Kedatangan
Islam yang merangkumi pemelukan raja dan rakyat
Kedatangan Islam ini bermula apabila wujudnya watak Syeikh Abdullah yang
mengikuti Penghulu Syaitan Iblis untuk melakukan kejahatan dan kesesatan
terhadap masyarakat agar terus hidup dalam kesesatan dan kegelapan. Namun yang demikian, setelah Penghulu Syaitan Iblis
cuba untuk menyesatkan Raja Phra Ong Mahawangsadengan arak dan air kencingnya,
menyebabkan Syeikh Abdullah menghalangnya dan akhirnya Syeikh Abdullah muncul
di hadapan Raja Phra Ong Mahawangsa akibat daripada Penghulu Syaitan Iblis yang
meninggalkannya daripada perjalanan untuk menyesatkan lebih ramai manusia.
Kehadiran Syeikh Abdullah di hadapan Raja Phra Ong Mahawangsa telah menyedarkan
baginda kerana Syeikh Abdullah telah menerangkan segala-galanya kepada baginda
dan akhirnya baginda telah dibukakan hati untuk menerima ajaran Islam yang
dibawa oleh Syeikh Mahawangsa. Penerimaan Islam oleh Raja Phra Ong Mahawangsa
dibuktikan dalam teks yang berikut:
“Maka kata Raja Phra Ong Mahawangsa, ‘Jikalau demikian, hendaklah tuan
hamba tolong hamba sekalian ini, ajarkan agama Islam yang sebenar itu.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 100)
Demikian, maka jelaslah bahawa pengislaman Raja Phra
Ong Mahawangsa menjadi titik tolak kepada pengislaman rakyat jelata yang berada
di bawah pemerintahannya. Oleh yang demikian, bermula daripada pengislaman ini,
pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsa menjadi lebih berstruktur dengan perubahan pada namanya iaitu Raja Muzalfar Syah dan sistem
pentadbirannya berlandaskan agama Islam.
Inilah antara aspek pemikiran yang terdapat dalam
Hikayat Merong Mahawangsa. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi contoh dan
perincian yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menyentuh aspek
pemikiran dalam karya agung.
3.2 Nilai budaya dan pandangan
hidup dalam karya agung
Hikayat
Merong Mahawangsa yang telah
dikaji dan diperkenalkan oleh Siti Hawa Haji Salleh (1991) ini banyak mempunyai
nilai Melayu yang tersembunyi. Malahan, setiap penulisan sejarah tradisional
Melayu, mereka kebanyakannya hendak menggambarkan cara hidup dan
pemikiran masyarakat yang melahirkannya dengan jelas. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, banyak
memperkatakan tentang nilai budaya Melayu yang tinggi yang ingin disampaikan
kepada pembaca agar pembaca dapat mencontohi nilai tersebut.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), nilai adalah taksiran
harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah,
sifat ketinggian dan darjat, mutu, serta taraf. Ini bermakna, nilai adalah
ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian dan sebagainya yang ada pada
individu.
Terdapat banyak nilai yang dapat dikenal
pasti daripada Hikayat Merong Mahawangsa yang dikaji. Nilai-nilai tersebut
ialah taat kepada perintah raja, menghormati ibu
bapa, berpegang teguh kepada adat resam, memuliakan yang tua, dan belas
kasihan.
1.
Taat
perintah raja
Menghormati
raja dan pemimpin merupakan perilaku atau perkara yang sudah diamalkan sejak
dahulu lagi sehinggalah sekarang. Sehinggakan, sesiapa yang ingkar akan
perintah raja akan dikenakan tulah iaitu kehidupan mereka akan sengsara atau
mendapat nasib yang buruk.
“Demi
didengar oleh sekaliannya titah Raja Merong Mahawangsa yang demikian itu, maka
sekalian itupun mengerahkan sekalian orangnya suruh beringat-ingat serta
memegang senjata masing2 tangan.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 6)
Raja
Merong Mahawangsa telah menerima tugas yang diberikan oleh raja Rom dengan
senang hati. Arahan yang diberikan oleh raja Rom agar Raja Merong Mahawangsa
pergi ke Benua China untuk menggantikannya dan menyampaikan hasratnya untuk
mengahwinankan anakandanya dengan puteri raja Benua China. Hal ini menunjukkan
bahawa, sikap Raja Merong Mahawangsa yang menerima tugas yang diberikan
membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang taat kepada raja dan pemimpin.
2.
Menghormati
ibu bapa.
Nilai
ini dituntut dalam Islam kerana kedudukan, martabat dan kemuliaan ibu bapa
sangat istimewa serta tinggi sekali sehinggakan ibu bapa adalah yang kedua
perlu dihormati selepas yang Maha Pencipta. Raja Merong Mahapudisat digambarkan
sebagai seorang yang taat kepada perintah ayahnya, Raja Merong Mahawangsa untuk
menempatkan anak-anaknya di beberapa buah tempat supaya dapat mendirikan
kerajaan baru. Perkara ini dapat dilihat pada halaman 37.
“Setelah didengar oleh Raja Merong
Mahapudisat sembah menteri itu, lalu ia bertitah kepada menterinya, “Jikalau
demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan
panggil … , kita beri ia pergi bersama-sama anak kita…”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 32)
Raja
Merong Mahapudisat segera menitahkan pembesarnya untuk menyediakan keperluan
serta askar pengiring untuk anakandanya berhijrah ke tempat lain bagi membuka
penempatan baru. Raja Merong Mahapudisat dilihat sebagai seorang yang sangat
taat kepada perintah ayahandanya. Beliau segera melakukan suruhan ayahandanya
setelah diingatkan oleh pembesarnya.
3.
Berpegang
teguh kepada adat resam
Masyarakat
Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup
seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuklah pantang-larang dan
adat istiadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun.
“...setelah sudah dibaca surat itu lalu
sama duduk sekaliannya itu berjabat tangan. Maka raja China pun menyorong
puannya sirih persantapan pada Raja Jin Harman Syah, katanya, “Makanlah sirih
hai saudaraku Raja Harman Syah,”serta menyuruh keluar ia itu.”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 23)
Sirih
dan pinang berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa,
masyarakat Melayu etika itu. Dalam petikan di atas adat makan sirih
digunakan ketika menyambut tetamu.
4.
Menghormati
orang tua
Masyarakat
dahulu kaya dengan budi perketi. Nilai menghormati orang tua juga termasuk
dalam karya-karya yang menjadi penghibur disamping mendidik. Contohnya dalam
hikayat yang dikaji ini.
“Maka sahut anak raja Rom itu dengan
perlahan-lahan, “Hai ibuku, bahawa dengan sesungguhnya beta ini manusia juga.
Betalah anak raja Rom, hendak pergi kahwin dengan puteri anak raja Benua China
dengan beberapa buah bahtera…”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 14)
Dapat
dilihat memalui contoh yang ditunjukkan, walaupun anak raja Rom dalam keadaan
sakit setelah bahteranya di musnahkan oleh burung geroda, beliau masih lagi
mampu mengucapkan kata-kata yang bersopan kepada Mak Inang. Malahan beliau
membahasakan ibu kepada Mak Inang.
5.
Belas
kasihan
Orang
Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan.
“Maka mak inang tuan puteri itu pun
terlalulah belas kasihan hatinya mendengarkan hal anak raja Rom itu lalu ia pun
kembali pada tuan puteri persembahkan hal itu sekalianya dengan suka
tertawanya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 14)
Dapat dilihat bahawa Mak Inang dan Tuan Puteri
mempunyai sifat belas kasihan dan untuk menolong anak raja Rom yang berada di
dalam kesusahan. Walaupun pada mulanya, mereka tidak mengenali anak raja Rom
tersebut, namun mereka tetap menolongnya.
Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd,
Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125), budaya daripada
perkataan Sanskrit iaitu duddayah yang
merupakan perkataan jamak bagi perkataan buddhi
yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara umumnya, budaya bermaksud segala
sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris pula
budaya disebut sebagai culture yang
berasal daripada perkataan Latin iaitu colore
yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Segala sesuatu yang terdapat dalam
sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan
yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali dalam kalangan ahli
antropologi sebagai fahaman determinism atau penentuan budaya. Selain itu,
budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke
generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau. Terdapat
beberapa budaya yang dikenal pasti terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa
iaitu budaya Islam, Hindu, dan adat perkahwinan.
6. Budaya
Islam
Dalam hikayat yang dikaji, terdapat banyak budaya
Islam yang daikenal pasti. Hal ini dilihat sewaktu pengislaman Sultan Kedah.
Contohnya seperti di bawah yang menunjukkan Sheikh Abdullah memberitahu perkara
yang perlu dilakukan sebagai seorang hamba yang beragama Islam.
“Adapun
yang harus bagi kita perbuat masjid tempat sembahyang itu diperbuat gendangraya
kepada delapan hari sekali dipukul daripada pagi sampai waktu zuhur, sembahyang
Jumaat. Maka berhenti tanda berhimpun segala anak mukim hendak sembahyang
Jumaat kepada masjid itu, kadar kedengaran bunyi dendang raya. Itulah tuanku,
yang bernama tiang agama pada syariat Nabi Muhammad Rasulullah pada segala kaum
umatnya yang mahu menurut kitab Quran serta Sabdanya itu, supaya termasyhurlah
nama raja menteri di dalam negeri itu mengerjakan amal ibadat akan Allah
subahanahu wa taala, adalah sudah dengan tempatnya rumah akan ganti
Ka’batu’Llah di negeri Mekah Madinah.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 103)
7.
Budaya Hindu
Terdapat juga budaya Hindu yang diterpakan di dalam
Hikayat Merong Mahawangsa ini. Kelihatan sangat jelas pada awal karya ditulis
iaitu sebelum kedatangan Islam, kebanyankkan nama yang digunakan berasal
daripada perkataan Hindu. Selain itu, perkataan dewa-dewa turut dikenal pasti
seperti contoh yang dikemukakan.
“Maka
sembah seorang menteri daripada dewa-dewa, ‘Ada, tuanku, kepada dataran tanah
besar sebelah Pulau Seri namanya, ia membuat negeri serta hendak menanti ambil
kalau-kalau ada duli tuanku hidup.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 21)
8.
Adat Perkahwinan
Adat perkahwinan ditunjukkan secara langsung dalam
Hikayat Merong Mahawangsa yang dikaji. Adat perkahwinan yang dilaksanakan
semasa perkahwinan Raja Merong Mahadipusat. Persiapan perkahwinan yang
dilaksanakan seawal 40 hari 40 malam. Turut dimeriahkan dengan bunyi-bunyian,
hidangan makanan dan disambut dengan penuh meriah oleh segala menteri, hulu
balang dan orang ramai. Hal ini menunjukkan bahawa adat perkahwinan yang
dilaksanakan tersangat meriah dan dilaksanakan secara besar-besaran.
“Maka
Raja Merong Mahawangsa pun berangkatlah masuk ke istana diiringkan oleh
anakanda baginda itu serta menyuruh memulai kerja berjaga-jaga mengerjakan
anakanda baginda itu, dengan makan minum dan bersuka-sukaan dengan beberapa
banyak perburuan yang disembelih jadi tambul ornag berjaga-jaga itu, serta
dengan segala permainan daripada gong, gendang, serunai, nafiri, harbab,
kecapi, dandi, muri, kopak, ceracap, serdam, bangsi, nahara, menjadi empat
puluh hari empat puluh malam yang berjaga makan minum dengan segala menteri,
hulu balang, para penggawa sekalian, terlalulah ramainya. Setelah genaplah
empat puluh hari, maka pada hari yang baik dan saat yang sejahtera, pada ketika
itulah dikahwinkan anakanda baginda itu dengan seorang anak raja perempuan,
serta direncanakan gelarnya bernama Raja Merong Mahapudisat, serta diambil
segala anak menteri yang ada sedia ibu bapanya yang tua-tua duduk bersama-sama
dengan ayahanda baginda Raja Merong Mahawangsa itulah jadi ganti ibu bapanya
jadi menteri, hulubalang, para pengawanya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 29)
Maksud pandangan hidup secara umum
menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj.
Rohani (2015: 126) ialah satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta
secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang
dipengaruhi oleh satu sistem nilai tertentu. Manakala pandangan hidup daripada
perspektif Islam pula menurut Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Mohd. Rashid
Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125),
ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati
manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Setiap masyarakat selalu memiliki
pandangan hidup tersebut, begitu juga dengan masyarakat Melayu.
Terdapat beberapa pandangan hidup yang
dikenal pasti dalam hikayat yang dikaji iaitu menghormati autoriti, percaya
pada takdir, berpegang pada janji, menganggungkan dan mempercayai kekuasaan
Tuhan, mengambil keputusan daripada tindakan yang difikirkan, sentiasa
memelihara hubungan baik, pemenang akan berkuasa, dan memerintah dengan adil
dan saksama.
9.
Menghormati autoriti
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, dapat dilihat pandangan
hidup burung garuda yang tetap menghormati Nabi Allah Sulaiman sebagai autoriti
dan yang berkuasa di dunia pada waktu itu. Walaupun burung garuda tersebut
merancangkan kejahatan dengan berniat mahu memisahkan Raja Rum dengan puteri
benua China, dia tetap bertanya dan merujuk kepada Nabi Allah Sulaiman untuk
memberitahu akan rancangannya itu.
“Maka kata
burung garuda kepada burung rajawali: ‘Dimana dapat ia sekalian hendak
mengerjakan pekerjaan itu? Pada fikiranku tiada boleh jadi, tetapi nantilah
dahulu, aku hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman karena ia itu raja besar
di dalam dunia ini. Jikalau sudah ada seperti yang demikian itu, tiadalah aku
beri jadi pekerjaan nikah keduanya anak raja dua buah negeri itu’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 3)
10.
Percaya kepada takdir
Pandangan hidup ini dapat kita lihat dalam diri Nabi
Allah Sulaiman. Baginda sangat percaya kepada takdir. Hal ini dapat dilihat
dalam kepercayaan baginda mengenai jodoh pertemuan yang tidak dapat dipisahkan.
“Maka sabda
Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai burung garuda, demi Tuhan yang menjadikan aku, adapun
jodo pertemuan itu didalam batu atau didalam kayu sekalipun tiada yang dapat
mencheraikan dia’”
(Hikayat Merong
Mahawangsa, halaman 3)
11.
Berpegang kepada janji
Sungguhpun, burung garuda memasang niat yang tidak
baik dan merancang perpisahan antara raja Rum dan puteri raja benua China,
namun dia seorang yang berpegang kepada janji. Burung garuda berjanji kepada
Nabi Allah Sulaiman akan mengundurkan diri dan tidak mengganggu kedua-dua anak
raja tersebut andainya dia tidak berjaya memisahkan kedua-duanya. Janji burung
garuda ini ditepatinya dan dia pergi membawa diri ke laut Kalzum yang jauh
daripada manusia.
“Maka burung
garuda itupun berdatang sembah, ‘Ya Nabi Allah, hambamu pohonkan ampun
banyak2 diatas nyawa badan hambamu daripada kesalahan hambamu yang telah lalu
itu. ya Nabi Allah, mohonlah hambamu pada tahun, bulan, hari ini, hendak pergi
keluar daripada bawah langit dan bumi ini, barang kemana hambamu bawa diri,
hambamu diberi izin oleh Nabi Allah diatas hambamu ini.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 21)
12.
Mengagungkan dan mempercayai kekuasaan
Tuhan
Hikayat Merong Mahawangsa ini juga memperlihatkan
betapa Nabi Allah Sulaiman sangat mengagungkan dan mempercayai akan pekerjaan
dan kekuasaan Tuhan. Baginda percaya bahawa hanya Tuhan yang mempunyai kuasa
atas segalanya dan manusia atau makluk Tuhan tidak dapat menentukan sesuatu
perkara sekalipun. Baginda percaya kepada janji Tuhan dan kekuasaan Tuhan.
Kepercayaan baginda dapat dilihat semasa baginda berkata-kata dan memberi
pengajaran dan tauladan kepada raja-raja dan menteri-menteri berkenaan dengan
tindakan burung garuda yang cuba mencabar kekuasaan Tuhan dengan memisahkan
manusia yang telah ditetapkan-Nya untuk bersatu.
“Maka sabda
Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai segala raja2 dan menteriku bangsa yang baik2,
hendaklah engkau dan kamu sekalian ketahui, demi Tuhanku yang menjadikan aku
dan kamu sekalian diatas segala makluknya, dalam empat perkara ini hendaklah
jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada Tuhan alam.
Pertama rezki, sedikit atau banyak ada sehari semalam itu tiadalah segala
makluk hendak tentukan, sekalian dengan janjinya juga. Kedua, perkara yang
memutuskan rezkinya, seperti yang akan datang mara dan maut, hendak
mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya,
melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua. Ketiga, perkaranya jodo
pertemuan satu2 makluknya; jikalau berhimpunlah seisi alam dunia ini daripada
segala bangsa yang dijadikan Allah Ta’ala, hendak mencheraikannya, melainkan
dengan kehendak Tuhan yang menjadikan sekalian alam jua, dengan janjinya.
Keempat, perkara pencheraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan
dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh, melainkan dengan
sekaliannya itupun dengan janjinya jua.’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 20)
13.
Mengambil keputusan daripada tindakan
yang difikirkan
Pandangan hidup dalam karya agung ini juga turut
memperlihatkan bahawa terdapatnya manusia yang mengambil keputusan berdasarkan
tindakan yang difikirkannya. Contohnya, anak tengah Raja Merong Mahapudisat
disuruh ayahandanya mencari bumi yang baik untuk membina negeri baru. Baginda
bertemu dengan beberapa pulau yang cantik dan sesuai dijadikan penempatan. Oleh
hal demikian, baginda mengambil keputusan untuk memilih sebuah pulau sahaja
yang terkena dengan anak panahnya itu.
“Maka
diambilnya sebiji anak panahnya daripada perak yang amat putih, lalu
dikenakannya kepada busurnya yang bernama Panah Indera Sakti, katanya, ‘Hai
Indera Sakti, jatuhlah engkau kepada bumi pulau tiga empat biji itu. dimana
engkau jatuh sekarang, disitulah aku perbuat negeri dan kota parit tempat aku
diam.’ Maka ditariknya busurnya itu serta memanahkan ke udara
berdengung-dengung bunyinya seperti kumbang menyering bunga lakunya, hilang
ghaib. Seketika datanglah jatuh pada suatu tempat pulau; dengan sebab itulah
dinamakan Pulau Indera Sakti.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 34)
14.
Sentiasa memelihara hubungan baik
Dalam hikayat ini, Raja Seri Mahawangsa berfikir dan
berharap akan hubungan baik antara dia dan adik beradiknya akan berkekalan
sampai anak cucunya. Dengan demikian, nama baik sahaja yang diingat orang pada
masa akan datang, bukannya kejahatan.
“‘Apa juga
yang baik aku hendak membalaskan akan anak saudaraku itu,’ dengan tilik
nazarnya dan fikirnya yang putus di dalam hatinya, biarlah jangan lagi tersebut
nama kejahatan pada seisi alam dunia ini, supaya jangan jadi berputusan
daripada umur aku ini boleh sampai pada anak chuchu jangan tersebut nama
kejahatan pada segala raja2 dan pada khalayak sekalian.’”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 37)
15.
Pemenang akan berkuasa
Pandangan hidup ini dapat dilihat dalam diri Raja
Kelana Hitam. Baginda berminat untuk menjadi raja negeri Kedah memandangkan
sebelum ini terdapat perkhabaran bahawa negeri tersebut tidak beraja sampailah
mereka menemukan anak Raja Bersiung dan menabalkannya menjadi raja. Apabila
diceritakan keadaan Kedah yang sudah kembali beraja, Raja Kelana Hitam tidak
berpuas hati. Oleh sebab itu, baginda memutuskan untuk mengambil negeri Kedah
secara rampasan jika tidak diizinkan menjadi raja.
“Demi didengar
oleh Raja Kelana Hitam, maka naik marahlah ia, mukanya merah seperti bunga
raya, serta titahnya, ‘Main yang mana kamu tewas dan peperangan yang mana kamu
sudah alah, tiada patutkah aku menjadi raja didalam negeri Kedah? Jika tiada
boleh aku menjadi raja dengan baik, maka kuambil juga dengan senjataku. Maka
hendaklah kamu katakan pada penghulu engkau itu, jikalau ia hendak
menggalang-galang dan menyekat kami sekalian ini hendak pergi ke negeri Kedah
itu, keluarlah ia ke medan peperangan melihatkan pertikaman kami, baik esok
atau sekarang ini, itupun yang mana jadi keseukaan kamu.’”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 64)
16.
Memerintah dengan adil dan saksama
Pandangan hidup ini diceritakan oleh menteri Kelahum
kepada Raja Phra Ong Mahapudisat supaya baginda berpegang kepada pandangan tersebut
dalam pemerintahannya. Dia mengajar dan menasihati Raja Phra agar sentiasa
memiliki kasih kepada rakyat jelatanya. Dengan kasih, baginda pasti dapat
memerintah dengan bijaksana dan menjadi pemerintah yang disayangi oleh rakyat.
“Setelah itu
lalu diperjamukan makan minum pula kepada sekaliannya itu serta dengan memalu
bunyi-bunyian dan mengajarkan Raja Phra Ong Mahaputisat itu sharat orang
menjadi raja: ‘Mahulah baik2, menaruh sabar dan mengasihani diatas segala
rakyat bala dan daripada hamba sahaya sekalipun mahulah dengan adil dan murah
hati dengan memberi derma kurnia sedekah akan fakir miskin dan yang patut
dibunuh sehari itupun hendaklah ditaruh sampai tiga empat hari supaya dihalusi
baik2 baru dibunuh dan yang mana menjadi raja didalam negeri Kedah bumi tanah
itupun jangan duduk setempat buat kota parit tempat yang diam itu dan mahulah
ada seorang raja yang memegang negeri mahulah suatu kota. Maka menjadi ramailah
orang bumi tanah Kedah ini. Adapun tanah bumi ini baharulah sangat menjadi
daratan tempat kita duduk inipun baik tempat bumi tanah yang baik dengan
daratan boleh diperbuat seperti kota parit akan tempat segala raja2 hendak
dibuat negeri duduk itu.’”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 71)
3.3
Nilai
Ilmu
Yayasan
Karyawan (2000) terdapat beberapa gambaran secara menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Gambaran ini
diperoleh daripada tradisi Melayu sumber ilmu yang penting berkaiatan dengan
pengalaman ( praktik ), abad dan budi. Ilmu berdasarkan pengalaman dan
pemerhatian lebih penting daripada ilmu abstrak. Nilai ini digambarkan dalam
sastera Melayu melalui istilah “pandai” :pandai
besi, pandaikeris, pandai emas dan sebagainya. Petua orang tua-tua, yang
dianggap sudah sudah diuji zaman atau pengalaman, sangat dihormati dan dijadikan
rujukan ilmu ( yang juga penting untuk
memelihara adat dan warisan bersama ).
Tradisi
Melayu juga mengiktirafkan dan cukup menghormati orang yang menguasai ilmu
batin (mistik), ilmu ramalan (ilmu spekulatif) dan “ilmu bahasa”. Istilah budi bahasa menegaskan nilai ini. Yang penting ialah budi (adab dan moral) yang harus dibentuk bukan sahaja melalui proses pemasyarakatan
atau pengalaman bersama tetapi juga melalui akal. Ini terbayang dalam ungkapan
“akal budi”, yang bermaksud akal (fikiran) berlandaskan budi dan baru lahirnya kebijaksanaan.Raja Melayu bergantung
kepada manusia “pandai” kraf, manusia yang pandai bermain senjata dan manusia
mistik sebagai lambing kekuatan kerajaannya.
Berdasarkan
Hikayat Merong Mahawangsa ( HMM), terdapat
beberapa nilai ilmu yang boleh dikaitkan dalam aspek ilmu. Mana Sikana (1996) bidang
falsafah terbahagi kepada enam nilai ilmu iaituilmu teologi, ilmu etika, ilmu
estika, ilmu mantik, ilmu metafizika,dan ilmu kosmologi.
1.
Ilmu Teologi
Istilah
teologi berasal daripada perkataan ‘Theos’ (Yunani) yang diertikan sebagai
‘Tuhan’ dan ‘Logos’ yang memberi maksud ‘ilmu’. Jadi, ilmu teologi dapat
diinterprestasikan sebagai ilmu tentang Tuhan atau ilmu ketuhanan. Ilmu teologi
berkisar tentang Tuhan dan hubungannya dengan manusia, sama ada berdasarkan
kebenaran wahyu ataupun penyelidikan akal murni. Ilmu teologi berfungsi untuk
memantapkan kepercayaan-kepercayaan dan keimanan bagi menghilangkan pelbagai
keraguan dari sudut Islam.
Berdasarkan
HMM, terdapat ilmu teologi yang menunjukkan unsur kepercayaan kepada Tuhan di
dalam karya tersebut :
“Maka
sangatlah Shekh Abdullah Amani menghafaz Quran
itu. Maka ia membaca tafsir.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 78)
2.
Ilmu Etika
Teori
tentang tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal
merupakan ilmu etika. Kata etika berasal daripada kata ethos yang bermaksud
adat kebiasaan. Etika berbeza dengan pengertian moral. Moral merupakan tindakan
manusia yang baik dan wajar, manakala etika pula lebih bersifat teori dan lebih
menyelidik, memikir dan mempertimbangkan tentang yang baik dan yang buruk.
Jadi, moral ini sebenarnya dibentuk daripada etika yang lahir hasil daripada
budaya manusia.
“Maka Raja Merong Mahawangsa pun duduk
di dalam negeri yang yang baharu diperbuatnya itu, hingga sampai beroleh
seorang putera laki-laki, terlalu baik
rupa parasnya, serta dengan besar, panjang nipis, agung-agungan, ditakuti oleh orang sekalian.”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 25)
3.
Ilmu Estetika
Ilmu
yang membahaskan tentang keindahan dan kesenian disebut sebagai estetika. John
Cohn(1869-1967), seorang ahli falsafah Jerman mendefinisikan estetika sebagai
teori tentang keindahan dan seni, manakala Maz Dessoir yang hidup pada zaman
yang sama juga mengatakan bahawa lapangan estetika jauh lebih luas daripada
bidang keindahan. Ruang lingkup estetika merangkumi hal-hal yang berkaitan
dengan sedih dan lucu, yang bergaya dan yang mulia, bahkan yang buruk atau
busuk pun dapat dikaitkan dengan keindahan, keindahan yang relatif. Konsep
keindahan yang dikenali sebagai al-jamal terdapat dalam Islam. Antara nilai
ilmu estetika yang terdapat dalam HMM adalah seperti contoh-contoh di bawah:
“Adapun pelayaran angkatan anak Raja Rum
hendak pergi kahwin ke Benua Chinaitu adalah seperti burung terbang ke sarang, dan tiangnya seperti batang pepara
lakukannya, barang di mana berlabuh dan berhenti itu sperti pulau yang besar…”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 6)
4.
Ilmu Metafizika
Aristotle
menyatakan bahawa ilmu metafizika merupakan ilmu agama kerana beliau percaya
dengan kewujudan Tuhan, dan itu sebagai tanda alam daripada segala yang wujud.
Manakala Al-Kindi pula memandang metafizika itu sebagai falsafah yang membahaskan
tentang makluk dan alam abstraknya. Ibn Sina menyatakan tentang argumentasi
ontology yang berkisar tentang pemikiran tentang ilmu kejadian dan hakikatnya.
Falsafah ini berbicara tentang tiga subjek yang menjadi perbincangan iaitu
Tuhan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal seperti pohon, air dan
lain-lain.
Berdasarkan
HMM, terdapat beberapa contoh yang menunjukkan unsur ilmu metafizika, antaranya
:
“Selama peninggal perang Seri Rama dan
Anduman jadi sunyilah pulau itu. Tiada siapa-siapa duduk; maka datanglah seekor
burung geroda yang amat besarnya. …Maka burung
geroda itu pun pada masa zaman Seri Rama dan Anduman biasa masuk perang, banyak juga kesaktiannya dan banyak juga segala
binatang yang terbang dan berjalan di bumi takut akan dia.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 2)
5.
Ilmu Kosmologi
Falsafah
yang mengkaji tentang hal-hal yang berhubung dengan alam disebut sebagai
kosmologi.
Antara
ilmu kosmologi yang terdapat dalam HMM ialah seperti contoh di bawah :
“…hamba menceraikan anak raja kedua itu
nescaya hamba undurlah daripada bawah langit
dan atas bumi daerah tempat
kediaman segala manusia sekalian
ini.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 3)
3.4 Teknik
Kepengarangan
Dalam
dunia sastera, kepengarangan adalah aspek yang penting dalam mempengaruhi
kedudukan sesebuah teks dan sesorang sasterawan. Kepengarangan merujuk kepada
keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya.
Biasanya kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan
seorang pengarang. Kepengarangan pula dianalisis daripada aspek keperibadian,
seorang pengarang itu biasanya akan berhadapan dengan beberapa tahap
penulisannya.
Seorang
pengarang perlu mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ia akan
mempengaruhi daya kreativitinya. Pengalaman diperoleh melalui bayangan,
ingatan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan
penyelididikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuk yang bersifat
konseptual dan kontekstual. Pengumpulan bahan dalam aspek kehadiran penting
kerana ia menjadi asas penulisan. Prinsip kehadiran mengandungi tiga persoalan
iaitu apakah fakta-fakta yang hadir dan dari mana kehadirannya dalam teks
tersebut dan bagaimana fakta-fakta itu hadir dalam teks tersebut dan apakah
kesan kepada kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca.
Pengarang
dan teks tidak hanya harus inovatif dan melakukan pembaharuan, tetapi juga
pengukuhan. Pengukuhan dalam karya ialah sejauh mana pengarang mencuba untuk
membawa pembaharuan terhadap karya-karya yang dihasilkan. Pembaharuan bukan
sahaja merujuk kepada sesuatu konsep itu diterapkan tetapi juga sejauh mana
tahap kematangan yang digunakan dalam
karya pengarang itu. Pengarang tidak akan membiarkan dirinya berada terus
menerus di bawah teks yang lemah. Keadaan ini akan menyebabkan berlakuknya proses pembinaan teks yang unggul
(Mana, Sikana 2006).
Negara-negara ternama di daerah Kepulauan Melayu
telah mengabadikan sejarah awal masing-masing dengan menghasilkan beberapa
karya historiografi. Karya-karya klasik ini menjadi sumber penting dalam kajian
sejarah sesebuah negara yang berkaitan. Seorang pengarang dari istana Kedah
telah menempa namanya yang tidak bertulis apabila beliau menghasilkan Hikayat
Merong Mahawangsa dan meletakkan karya itu staraf dengan lain-lain karya
historiografi Melayu. Semejak abad kesembilan belas lagi hikayat ini ikut
disenaraikan bersama Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Acheh,
Hikayat Banjar, Hikayat Johor dan lain-lain. Karya-karya ini memperlihatkan
sifat-sifat dan ciri-ciri penulisan yang terasing dengan landasan dan ukuran
yang tersendiri pula.
Karya historiografi ini masing-masing
menunjukkan persamaan ciri dan dasar penulisan. Persamaan juga terdapat dalam
tujuan dasar penulisan itu dibuat secara kasarnya ialah mengabadikan sejarah
awal negara berkenaan untuk menjadi pengetahuan orang-orang terkemudian. Selain
itu, tujuannya juga ialah untuk mengekal dan mengukuhkan kedaulatan raja dan
keturunannya. Jadi dalam penulisan ini pusat perhatian ialah kepada golongan
yang terpenting di dalam masyarakat itu iaitu golongan raja. Asal usul
keturunan raja, dari mana datang nenek moyangnya, apakah kelebihan-kelebihan
tertentu yang ada padanya, pembukaan negeri itu dan lain-lain menjadi
perkara-perkara penting yang dihuraikan dalam penulisan itu. Nyata bagi
pengarang zaman dahulu sejarah negeri adalah senama dengan sejarah rajanya.
Ketika mengemukakan
sejarah ini pengarang menggunakan segala alat yang ada padanya untuk mencipta
suatu gambaran yang impresif dan berkesan tentang rajanya. Dalam proses menulis
itu pengarang mengadunkan segala fakta yang diketahuinya seperti fakta-fakta
sejarah dengan unsur-unsur mitos dan legenda yang kebanyakanya sudahpun
diterima oleh masyarakat zamannya sebagai sebahagian daripada realiti.
Disini timbullah
penilaian yang digunakan oleh pengarang historiografi Melayu. Penilaian yang
dipakainya memenuhi keperluan zamannya dan sesuai dengan cara pemikiran
masyarakat zaman karya itu ditulis. Dalam penggembelingan fakta-fakta sejarah
unsur-unsur mitos dan legenda, realiti yang dicapai adalah bersifat realiti
yang subjektif dan bukan bersifat objektif. Ciptaan itu haruslah dapat
meletakkan rajanya lebih tinggi daripada raja-raja lain ataupun
sekurang-kurangnya setanding dan staraf.
Dengan tujuan-tujuan
tersebut pengarang menulis Hikayat Merong Mahawangsa untuk menyatakan sejarah
raja-raja Kedah dan keagungan negerinya. Boleh dikatakan hampir di dalam
tiap-tiap episod yang dikemukakan, pengarang telah menggembelingkan fakta-fakta
sejarah dengan unsur-unsur mitos. Di antaranya ialah dalam kisah Nabi Allah Sulaiman dan burung
garuda, Raja Bersiung, pemberontakan menentang, Raja Bersiung perhubungan
dengan Siam, Raja Buluh Betung dan Puteri Seluang dan kedatangan Islam
Kisah Nabi Allah
Sulaiman dan burung garuda dapat ditinjau sekurang kurangnya dari empat sudut :
i.
|
Membayangkan
pengetahuan pengarang tentang cerita-cerita berkenaan mukjizat nabi-nabi dan
mukjizat Nabi Allah Sulaiman ialah boleh berkata-kata dengan unggas dan
haiwan.
|
ii.
|
Pengarang
mencampur adukkan unsur Islam dengan unsur Hindu. Garuda ialah unggas
kenderaan Visynu. Mungkin ini merupakan ingatan dibawah sedar pengarang
kepada agama yang pernah dianuti oleh nenek moyangnya.
|
iii.
|
Kekalahan
garuda dalam pertempuran dengan Puteri Raja Cina berlaku kerana garuda
mencuba menentang kehendak Allah. Ini juga menggambarkan kemenangan bagi
unsur Islam dan kekalahan bagi unsur Hindu.
|
iv.
|
Ini juga
merupakan pengajaran kepada pembaca bahawa makhluk tidak dapat melawan
takdir.
|
Unsur realiti di dalam
peristiwa ini ialah Nabi Allah Sulaiman sendiri serta dengan mukjizatnya. Unsur
mitos pula muncul dalam bentuk burung garuda dan perkahwinan Putera Raja Rom
dengan Puteri Raja Cina. Pengarang telah mencadangkan percantuman dua kuasa
besar, satu dari sebelah barat dan satu dari sebelah timur. Peristiwa inilah
penting kerana membawa kepada pembukaan negeri Kedah yang disebut oleh
pengarang sebagai 'Langkasuka'.
Dari suatu sudut,
pengarang menggambarkan Raja Bersiung sebagai tidak berdaya mengendalikan
nafsunya. Tumbuhnya siung bukanlah atas kehendak dirinya sendiri. Pengarang
ingin menyelitkan pembelaan seolah-olah Raja Bersiung tidak patut dipersalahkan
atas apa yang berlaku.
Di dalam penulisan
historiografi Melayu umumnya dasar perhubungan yang ditekankan antara raja dan
rakyat ialah taat setia, tidak mendurhaka dan tidak zalim. Di dalam beberapa
penulisan diceritakan juga bagaimana dasar perhubungan ini telah dilanggar oleh
kedua-dua pihak, atas sebab-sebab tertentu.
Istilah 'durhaka'
langsung tidak digunakan di dalam hikayat ini. Pemberontakan itu terpaksa
dilakukan untuk menjaga ketenteraman negeri dan tindakan itu hanya diambil
setelah gagal dengan cara lain. Kedaulatan raja masih dijaga dengan tidak
membenarkan beliau jatuh ke tangan rakyat yang memburunya. Malah ia dikatakan
hilang begitu sahaja di dalam rumpun buluh betung.
Pengarang historiografi
Melayu bukanlah pengarang biasa untuk hanya mengemukkan sejarah negerinya.
Tanggungjawab lebih besar kerana ia juga harus mempertahankan kedaulatan dan
maruah rajanya. Hal ini amat jelas kelihatan dalam cara pengarang menerangkan
tentang perhubungan Kedah dengan Siam. Walaupun di beberapa tempat beliau ingin
menafikan adanya pengaruh Siam ke atas Kedah, di tempat-tempat lain seolah-olah
terdapat bayang-bayang pengakuan yang tidak dapat dielakkan.
Nama Raja Merong
Mahawangsa sendiri memperlihatkan percampuran antara pengaruh bahasa Thai dan
bahasa Sanskrit. Di dalam nama Mahapudisat terdapat pengaruh dari Sanskrit
iaitu maha + bhudisatva. Dari nama Kelahum lebih jelas kelihatan pengaruh Siam
kerana 'kelahum' bermaksud kementerian pertahanan. Pengarang hikayat ini
menggunakan kelahum sebagai nama atau gelaran kepada panglima yang mengetuai
angkatan utusan ke Kedah.
Dengan latar belakang
yang demikianlah pengarang mengemukakan teorinya sendiri tentang perkaitan
kekeluargaan yang wujud antara Raja Kedah dan Raja Siam. Sekaligus beliau
memberi penjelasan tentang penghantaran bunga emas pada masa-masa tertentu dari
Kedah ke Siam. Apa yang dipaparkan merupakan hasil pemikiran dan pertimbangan
yang dibuat terlebih dahulu cara penyampaianya supaya tidak tergugat kedudukan
raja yang memerintah.
Dalam perhubungan antara
negeri Kedah dengan Siam, jelas dari peringkat awal penceritaan pengarang
meletakkan landasan perhubungan itu iaitu Raja Siam ialah kekanda sulung kepada
Raja Kedah. Malah Raja Kedah adalah adinda yang bongsu. Implikasi kebudayaan
dalam pertalian kekeluargaan ini amat mudah difahami. Apa yang berlaku
seterusnya dalam hubungan penghantaran bunga emas adalah dilakukan atas dasar
pertalian kekeluargaan dan rasa hormat antara yang bongsu terhadap yang sulung.
Dinyatakan apabila Raja Kedah menerima berita kekandanya Raja Siam memperolehi
seorang putera, beliau mengerahkan supaya pihak Kedah menghantar bunga emas
sebagai tanda ikut sama meraikan keputeraan itu. Raja Kedah dinyatakan membuat
keputusan menyampaikan hadiah itu setiap kali Raja Siam mendapat putera. Ini
menerangkan mengapa hantaran bunga emas itu tidak dibuat tiap-tiap tahun tetapi
dua atau tiga tahun sekali.
Ketika mengemukakan
keterangan ini pengarang tidak perlu memikirkan sama ada apa yang dihuraikannya
benar atau tidak. Sebagai pengarang istana beliau tidak bimbang tentang soal
penerimaan oleh masyarakat. Persoalan tidak akan timbul tentang kewajaran
sesuatu peristiwa kerana apa yang dikemukakan adalah munasabah dan boleh
diterima oleh akal. Perhubungan erat dengan Siam ditimbulkan lagi dengan cara
bersahaja apabila Kedah merujuk ke Siam dalam kebuntuan mencari pengganti Raja
Bersiung. Suatu rombongan telah dihantar ke Siam meminta bantuan pendapat untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Raja Siam memerintahkan ahli nujumnya
menilik cara terbaik mengatasi masalah itu.
Tidak ditimbulkan
persoalan mengapa permaisuri Raja Bersiung dan menteri keempat membuat
keputusan bertanya ke Siam kerana alasan telah termaklum. Dibayangkan juga
bahawa campur tangan Siam dalam urusan Kedah adalah atas telah termaklum.
Dibayangkan juga bahawa campur tangan Siam dalam urusan Kedah adalah atas
permintaan dari Kedah sendiri.
Keistimewaan Hikayat
Merong Mahawangsa yang teragung ialah cara yang dipilih oleh pengarang untuk
mengisahkan bagaimana Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk agama Islam. Keagungan
dan keangkuhan pengarang dari istana Kedah ini menghalang beliau dari mengulang
sebut cara yang sudah termaktub di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah
Melayu. Di mana kedua-dua hikayat itu memperlihatkan unsur-unsur persamaan yang
amat jelas, Hikayat Merong Mahawangsa, atas kebijaksanaan pengarangnya
mengemukakan sejarah pengislaman yang tiada persamaannya dalam karya-karya
historiogfari yang lain. Gaya yang tersendiri ini ialah hasil kepintaran
pengarang menggembelingkan unsur-unsur realiti. Pengarang telah membuktikan
bahawa beliau mempunyai daya imaginasi yang kuat ketika mengolah bahagian ini.
Telah termaktub di jiwa
pengarang bahawa peristiwa raja memeluk agama Islam adalah peristiwa kemuncak
dalam penulisannya. Dengan itu kisah ini mestilah dikemukakan dengan
sekuat-kuat impak dan kesan yang terdaya. Peristiwa yang terpenting ini tidak
mungkin dikemukakan dengan begitu sahaja. Ia harus dikemukakan berlainan dari
yang sudah ada dalam karya-karya lain. Unsur mimpi seperti dalam Hikayat
Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu tidak akan memberi keadaan yang diharapkan.
Pertama sekali,
pengarang mengatakan Islam yang sampai ke Kedah itu telah dibawa oleh Sheikh
Abdullah dari Baghdad. Pilihannya wajar bukan sahaja nama itu mengandungi 'aura'nya
yang terasing tetapi juga kerana Baghdad tidak kurang pentingnya sebagai suatu
pusat perkembangan dan pentadbiran kerajaan Islam.
Walaupun Sejarah Melayu
ada menyebut tentang seseorang Raja Kedah pernah menghadap ke Melaka untuk
menerima nobat, Hikayat Merong Mahawangsa tidak menyentuh tentang perkara ini.
Mungkin masa yang dikemukakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih awal
daripada yang disentuh oleh Sejarah Melayu berhubung dengan peristiwa ini.
Hikayat Acheh juga menyentuh tentang kedatangan Islam ke Kedah tetapi Hikayat
Merong Mahawangsa menyepi tentang rujukan ini. Biarpun demikian, pengarang
menyatakan pada masa Kedah menerima Islam, Acheh telah lama memeluk agama itu.
Dikatakan apabila Acheh mendengar Kedah sudah Islam, rajanya mengirim dua buah
kitab karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri untuk dikaji. Namun demikian jelas
bahawa pengarang kita enggan melibatkan kerajaan-kerajaan Melayu lain dalam
karangannya dan mengrekonstruksikan versinya yang tersendiri.
3.5 Seni Bahasa
Perkataan seni berasal daripada kata “sani” yang
bermaksud ketulusan hati atau jiwa yang luhur. Bagi Plato, seni merupakan karya
yang berasal daripada peniruan bentuk alam. Sebagai tambahan, Sidi Gazalba
menyatakan bahawa seni itu indah dan indah itu baik. Secara jelasnya, seni
berbahasa merujuk seni penulisan, terutama dalam membentuk kerangka gagasan
keilmuan. Sesuatu penulisan yang penuh berseni lazimnya akan dipandang tinggi
pada mata masyarakat berbanding dengan tulisan yang biasa-biasa.
Dalam karya sastera, penulis
menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti
ungkapan langsung. Di situlah letaknya keunikan karya sastera. Yang paling
penting, karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri. Oleh
itu, tidak hairanlah apabila karya puisi merupakan karya yang penuh dengan
bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni
oleh Plato.
3.5.1
Retorik
Retorik
Melayu klasik seperti peribahasa, pantun syair, gurindam dan sebagainya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1326), mendefinisikan retorik sebagai
teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan.
Retorik juga merupakan satu seni gaya penulisan secara berkesan yang bertujuan
untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada di persekitarannya. (Abu
Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, 2010: 1).
Ringkasnya,
retorik merupakan seni penggunaan atau pemakaian bahasa yang indah dan menarik
untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar dan pembaca. kemampuan penulis
menggarap isi dan mesej penulisannya terletak kepada input-input bahasa,
pengalaman, maklumat, pemikiran serta kemahiran menulis yang dimilikinya.
Kesemua elemen ini akan dirangkumkan dalam perenggan-perenggan penulisan.
Kesannya, pembaca akan dapat memahami dan menghayati apa yang hendak
disampaikan oleh penulis sekali gus memberikan kesan yang mendalam kepada emosi
dan tindakan pembaca.
Menurut
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) menyatakan retorik terbahagi
kepada enam iaitu pemerian, penceritaan, penerangan, pendedahan, penghujahan
dan pemujukan. Walau bagaimanapun, dalam Hikayat
Merong Mahawangsa (HMM), terdapat hanya empat jenis retorik yang dikenal
pasti iaitu:-
1.
Pemujukan
Dalam
retorik ini penulis berusaha mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan,
dan pandangan pembaca.
“Maka
sabda Nabi Allah Sulaiman, “Baik, perbuatlah oleh tuan hamba barang
kuasa engkau, tetapi pesan ku kepada engkau tatkala sudah engkau boleh
menceraikan jodo pertemuan manusia itu, hendaklah engkau datang ke mari
ceterakan kepada aku.”
(Hikayat Merong
Mahawangsa, halaman 4)
Dalam
setiap contoh di atas, retorik pemujukan dapat dilihat pada perkataan perbuatlah, hendaklah dan sabarlah. Pada contoh yang terdapat
dalam (hlm 4 baris 1), Nabi Allah Sulaiman memberi peluang dan keyakinan kepada
burung geroda. Penulis menggunakan kata pemujukan dalam perbualan antara Nabi
Allah Sulaiman dan burung geroda supaya Nabi Allah Sulaiman dapat memujuk
burung geroda yang inginkan perpecahan berlaku antara Raja Rum dan Raja Benua
China. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi contoh yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
2.
Penceritaan
Satu
bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Di
samping itu, ia juga menghubungkan beberapa siri peristiwa yang berkaitan dalam
satu plot yang logik.
“Adapun raja itu ayahnya daripada indera
– indera dan bondanya itu asal daripada dewa – dewa. Maka terbukalah pintu
hatinya gemar dan suka ia beristeri akan anak Raja Gergasi, kerana puteri itu
kecil lagi baik rupa parasnya dan asal bondanya daripada raksasa. Maka jadi
tiadalah suka bondanya Raja Merong Mahawangsa akan dia beristeri akan tuan
puteri itu. Maka oleh raja Merong Mahawangsa, barang ke mana ia pergi dibawanya
pergi isteri bersama – sama dengan dia, tiada ditinggalkan dengan segala
menteri, para penggawa, hulubalang, sida – sida, bentara, biduanda, rakyat
sekalian, kerana Raja Merong Mahawangsa itu ia ketahui ilmu kesaktian dan
ditakuti oleh sekalian raja – raja.”
(Hikayat Merong
Mahawangsa, halaman 4)
Dalam
HMM penulis menceritakan bagaimana burung geroda menceritakan kepada Nabi Allah
Sulaiman tentang kehadiran Raja Rom, Raja Merong Mahawangsa bersama tenteranya
tetapi telah dimusnahkan oleh burung geroda itu sendiri. Di sini penulis
menggunakan teknik penceritaan dalam perbualan antara burung geroda dan Nabi
Allah Sulaiman.
3.
Pemerian
Penggunaan
bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Bertujuan
untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau
pendengar.
“Setelah
ratalah sudah dicarinya lalu bertemulah dengan manusia yang tiada berketahuan
rupanya, penuh dengan kapang segenap tubuhnya, matanya juga terkelip-kelip.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 13)
Penulis menggunakan
teknik pemerian untuk menceritakan ciri-ciri manusia yang tidak mempunyai rupa
sebagai manusia yang normal seperti yang diperihalkan pada (hlm13 baris 40).
Pada (hlm 27 baris 24) pula, penulis menyatakan fakta berkaitan dengan muatan
dalam sebuah kapal. Oleh kerana perahu utusan telah penuh dengan barang
dagangan, maka tempayan besar telah diletakkan ke dalam kapal orang Rom. Hal
ini menunjukkan, penulis menjelaskan fakta dan maklumat yang lengkap kepada
pembaca atau pendengar tentang perihal sesuatu perkara.
4.
Penerangan
Penerangan
tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu
langkah yang lain. Berfungsi untuk memberi penjelasan tentang sesuatu perkara
dengan lebih terperinci dan tersusun.
“Maka inang pun pergilah berdua dengan
budak kundang tuan puteri itu, mengusung
anak raja itu masuk ke dalam pintu gua itu supaya jangan dilihat oleh
burung geroda itu. Maka air pun
diangkatlah kedua-dua orang, dimandikan
dan dikikisnya buang segala kapang dan teritip pada segala tubuhnya itu, serta
diberi oleh mak inang kain yang dipakainya. Lalu keduanya pun kembalilah mengadap
tuan puteri. Demikianlah tiap-tiap hari mak inang itu memeliharakan anak raja
Rom dengan tiada diketahuinya…”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 14)
Dalam
petikan ayat pada (hlm 19 baris 15) penulis menjelaskan dengan terperinci
melalui arahan yang diberikan oleh Nabi Allah Sulaiman kepada raja jin supaya
mengambil puteri China dan anak Raja Rom menghadapnya. Satu persatu Nabi Allah
Sulaiman memberikan pemerangan iaitu, menyuruh raja jin mengarahkan menterinya
seramai seratus orang untuk mengambil puteri anak Raja China dan kemudian
barulah diambil anak Raja Rom.
3.5.2
Stilistik (Gaya Bahasa)
Menurut
Hashim Awang dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012), gaya bahasa
ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya
bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan
untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.
1.
Antitesis
Antitetis merupakan perletakkan
dua ayat atau kata yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan.
“Bahawa hamba pinta perbuatkan hikayat
pada tuan, peri peraturan segala raja-raja
Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya boleh diketahui oleh segala anak
cucu kita yang kemudian daripada ini, serta dikurniai dengan sejarahnya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 1)
2.
Anafora
Anaforan
merupakan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa. Dalam HMM
terdapat banyak perulangan perkataan maka
pada setiap permulaan ayat seperti petikan di bawah:
“Maka
burung geroda itulah yang diam di pulau mencari makan. Maka burung itu pun pada masa zaman Seri Rama dan Anduman biasa
masuk perang, banyak juga kesaktiannya dan banyak juga segala binatang yang
terbang yang berjalan di bumi takut akan dia.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 2)
3.
Asonansi
Asonansi merupakan pengulangan
bunyi vokal a, e. i, o dan u yang sama dalam suku kata yang
diberi. Seperti yang terdapat dalam petikan dalam buku HMM terdapat banyak
pengulangan huruf vokal dalam setiap suku kata.
“…bedil
meriam yang dipasang itu seperti bunyi guruh dan tagar, terlalu gempita, alamat
di laut itu tiadalah.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 6)
4.
Aliterasi
Pengulangan konsonan
pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata kata yang bersebelahan pula
dikenali sebagai aliterasi. Pengulangan huruf konsonan adalah seperti yang
berikut:
“...dilihat oleh burung geroda terlalu banyak alat senjata yang datang hendak mengenai dia, maka ia pun tiada ambil tahu
kerana tiada memberi guna kepada burung geroda itu, …”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 7)
5.
Paralelisme
Gaya
ini mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Ini dapat dilihat dalam
halaman 6 yang menyatakan sumberdalam air terdiri daripada ketam, siput dan
kerang. Manakala sumber daripada kayu pula terdiri daripada tali akar dan umbut
kayu serta pucuk kayu. Perkara ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam
petikan di bawah:
“Barang di mana berjumpa dengan pulau,
singgah berlabuh, naik ke daratan mengambil air dan kayu serta mandian sekalian
dan memungut daripada ketam, siput,
karangan serta mengambil tali akar
dan umbut kayu, pucuk kayu, akan
memakannya segala yang bernafsu di dalam kapal bahtera terlalu kesukaan
kaliannya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 6)
6.
Epistrop
Pengulangan perkataan
yang sama pada akhir klausa yang berturutan dikenali sebagai epistrop.
Pengulangan pada klausa akhir dapat dikal pasti berada dalam penulisan HMM
seperti kata itu dan juga.
“Maka kata menteri Rom, “Maka inilah hamba sekalian datang mari hendak
mencarikan raja tuan hamba itu, dengan penyuruh anak raja Rom juga,
kerana ia sudah ada di dalam Benua China dengan seorang dirinya juga.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 27)
7.
Antiklimaks
Penyusunan kata-kata
atau frasa atau klausa dalam urutan kepentingan yang menurun dikenali sebagai
antiklimaks manakala, klimiks adalah sebaliknya. Dalam HMM yang dikaji,
terdapat aspek antiklimaks yang dikenal pasti, iaitu daripada hutan rimba
yang berada pada skala besar kebiasaannya kepada kota yang kecil sedikit
skalanya, kepada yang lebih kecil ruangnya iaitu balairung dalam istana.
“Maka adalah antara sepuluh lima belas hari lamanya Raja Ong Maha Perita
Deria bermain di dalam hutan rimba itu, lalu dihantarkan oleh gajah itu
akan rajanya ke kota hingga sampai ke balairung, ia menerumkan…”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 44)
8.
Polisindeton
Polisindeton
merupakan pengulangan kata hubung. Dalam HMM terdapat banyak pengulangan kata
hubung yang sama iaitu serta dan dan seperti petikan di bawah.
“Maka segala
menteri hulubalang, rakyat sekalian pun berhentilah masing-masing membuat
istana dan kota parit serta menghimpunkan sekalian orang yang ada
pada segala jajahan yang dekat dan yang jauh, sekalian pun habis datang
mengadap serta membawa persembahan akan raja perempuan itu.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 36)
9.
Elipsis
Ellipsis merupakan pengguguran sebahagian kata dalam suatu ungkapan,
tetapi dapat difahami dalam konteks berkenaan.
“Maka segera dipandang oleh utusan itu, dikenalnyalah
bahawa utusan itu menteri pada raja Rom, lalu katanya pada orang Rom itu,...”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 24)
10.
Khusus
– Umum
Skema
ragaman khusus- umum merupakan sebut nama tempat khusus yang disertai sebutan
nama secara umum kemudiannya.
“Maka pada malam itu… ia tiada di Gunung Jerai (khusus) ia pergi keduanya ke negeri Patani (umum)
mendapatkan rajanya.”
(Hikayat Merong
Mahawangsa, halaman 44)
11.
Metonimi
Metonimi bererti pengganti dengan menamakan sesuatu
benda yang erat hubungannya dengan perkara yang dimaksudkan.
“…
alat senjata pada segenap tangan dan berjaga tali akar dan mengisi ubat segala
bedil Meriam”
(Hikayat
Merong Mahawangsa, halaman 9)
12.
Hiperbola
Penggunaan
kata atau kiasan yang terdiri daripada ungkapan yang berlebih-lebihan untuk
menerangkan sesuatu.
“…habislah mati orang berhamburan pada segenap laut
itu, tiada lagi hidup”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 18)
13.
Ekslamasi
Eklamasi
merupakan penggunaan kata seru seperti
hai dan sebagainya.
“Hai Pusar Sempani Gembira,
pergilah engkau lawan burun geroda itu”.
(Hikayat Merong
Mahawangsa, halaman 9)
14. Simpulan bahasa
Rangkaian
perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan
digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asal. Kebiasaanya tidak
boleh berdiri sendirian dan mempunyai makna berlapis.
“Maka anak raja Rom itu pun jatuhlah
hatinya, jadi tiadalah takut keduanya itu akan burung geroda itu.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 17)
4.0
Kesimpulan
Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah satu karya agung klasik yang
ada dalam alam Melayu. Karya ini telah menunjukkan ciri-ciri yang boleh
dianggap salah satu sejarah yang perlu diketahui oleh masyarakat khususnya
masyarakat Melayu. Penghasilan Hikayat Merong Mahawangsa memperlihatkan
perkembangan susur galur mengenai keturunan raja-raja kedah dengan jajahan
taklukanya. Melalui kisah sejarah ini juga dalam membuktikan lagi asal-usul
kerajaan negeri Kedah.
Analisis yang dilakukan terhadap karya Merong
Mahawangsa dapat disimpulkan bahawa karya ini mempunyai beberapa aspek yang
dapat dijadikan teladan dan bahan rujukan. Melalui karaya dapat mengetahui
mengenai nilai budaya dan pegangan hidup yang diamalkan oleh masyarakat pada
masa itu. Nilai yang diamalkan pada masyarakat ketika itu telah menunjukkan
bahawa masyarakat Melayu telah mempunyai satu komposisi kehidupan yang
pelbagai. Selain itu juga, masyarakat pada zaman Merong Mahawangsa juga turut
mengamalkan ilmu yang pelbagai untuk meneruskan kehidupan. Ilmu ini disebarkan
kepada semua dan kebanyakkannya melibatkan dengan alam. Seterusnya, penghasilan
penulisan karya ini juga dilihat menarik dengan penggunaan beberapa teknik yang
telah diguna pakai oleh penulis. Penulisan dngan gaya bahasa yang menarik dan
teknik yang menarik mampu melahirkan cerita yang dilihat secara realiti.
Penghasilan karya ini adalah satu anugerah yang tidak
ternilai dan diangkat sebagai salah satu karya agung yang terdapat dalam
masyarakat Melayu. Karya ini mempunyai nilai sejarah yang begitu tinggi dan
menjadi bahan pedoman kepada generasi-generasi yang akan datang.
Rujukan
Dewan Bahasa dan
Pustaka (2010). Kamus Dewan Edisi Keempat.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hussain Othman
(2011). Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi. Johor:
Penerbit UTHM.
Mustafa Mohd Isa
(1999). Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Nimoiz T.Y (2012). Bahasa Berseni dalam Karya Sastera. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka. Diperoleh pada Mac 20, 2012 daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=543
Siti Hawa Haji
Salleh (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siti Hawa Salleh
(1991). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.
Yayasan
Karyawan (2000). Pengenalan konsep dan
gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
No comments:
Post a Comment