Analisis Gurindam 12 : Nukilan Cikgu Norhidayahwati Binti Salim
1.0 Pengenalan
Karya agung ialah karya
yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa
Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi,
kesedaran moral dan visi bangsa dan masyrakatnya melalui bentuk sastera dan
seni yang tinggi nilainya (Mohd Rashid Md Idrid et al.). Bagi menghasilkan
sebuah karya yang bertaraf karya agung, seseorang pengarang perlulah memastikan
bahawa karya yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri karya agung yang merangkumi
aspek pemikiran, estetika, kepengarangan, nilai budaya, pandangan hidup dan
nilai ilmu dalam karya agung.
Dalam karya agung ini terdapat ramai tokoh yang berjaya
menghasilkan karya yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Antara pengarang
yang sentiasa dikaitkan dengan karya agung ini adalah seperti Hamzah Fansuri,
Tun Seri Lanang, Bukhar al-Hauhari, Raja Ali Haji dan lain-lain lagi.
Raja
Ali Haji merupakan salah seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia
sastera Melayu. Antara karya yang sangat sinonim dengan beliau ialah Tuhfat
al-Nafis. Namun yang demikian, beliau dikatakan tokoh pengarang yang banyak
menghasilkan karya yang intelektual. Hal ini demikian kerana dalam hasil
penulisannya, Raja Ali Haji sering memasukkan ciri-ciri keilmiahan dan
kedalaman perbicaraan. Selain daripada karya agung, Raja Ali Haji juga
merupakan antara pengarang yang terlbat dalam penulisan puisi. Antara karyanya
yang popular ialah Gurindam Dua Belas. Dalam penulisan Gurindam Dua Belas ini,
Raja Ali Haji telah menyelitkan unsur nasihat dan teladan yang menjadi pedoman
atau panduan bagi anak bangsa Melayu sendiri.
Walaupun
Gurindam Dua Belas ini merupakan hasil karya hampir 300 tahun lepas,
namun nilai dan pengajaran yang terdapat dalam kesemua fasal yang terdapat
dalam gurindam ini tidak pernah dilupakan orang masyarakat terutamanya
masyarakat Melayu sendiri. Hal ini demikian mungkin disebabkan oleh isi dan
pesan yang ingin disampaikan dalam gurindam ini relevan dengan perjalanan waktu
bahkan menjadi pedoman yang kukuh bagi masyarakat Melayu hingga hari ini.
Seperti
yang telah dinyatakan, hasil karya sastera boleh dianalisis berdasarkan aspek
pemikiran, estetika, kepengarangan, nilai budaya, pandangan hidup dan nilai
ilmu dalam karya agung. Namun yang demikian, dalam tugasan ini hanya empat sahaja ciri-ciri
karya agung yang akan dianalisis berdasarkan Gurindam Dua Belas karya
Raja Ali Haji iaitu aspek falsafah, aspek pemikiran, aspek kepengarangan dan
aspek estetika. Oleh yang demikian, dengan adanya analisis berdasarkan empat
aspek itu dapat memperlihat kekuatan karya gurindam yang dihasilkan oleh Raja
Ali Haji.
1.0 Aspek-aspek
yang dianalisis.
Sesebuah karya
kesusasteraan dapat dianalisis dan diteliti berdasarkan aspek-aspeknya yang
tersendiri. Antara aspek yang dapat digunakan adalah seperti pemikiran,
estetika, kepengarangan, nilai budaya, pandangan hidup dan nilai ilmu dalam
karya. Namun yang demikian, hanya beberapa aspek sahaja yang akan diteliti
berdasarkan karya Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji iaitu aspek
falsafah, aspek pemikiran, aspek kepengarangan dan aspek estetika.
1.1 Aspek
falsafah
Falsafah dapat
dikaitkan dengan ilmu dan kebenaran. Falsafah ini dibahagikan kepada beberapa
bidang yang lebih kecil yang merangkumi bidang etika, metafizika, sejarah,
sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. Namun yang demikian, jika
dirujuk kepada Gurindam Dua Belas, hanya ada beberapa bidang sahaja yang
berkait dengan karya ini. Antara bidang yang dapat dikaitkan dnegan karya Gurindam
Dua Belas ialah bidang etika, metafizika dan sosial. Berikut merupakan
analisis yang dilakukan berdasarkan ketiga-tiga aspek yang berkait dengan
gurindam tersebut.
1.1.1 Etika
Bidang etika ini
merupakan bidang yang berkaitan dengan pemikiran tentang moral, pendidikan dan
pengajaran. Dalam erti kata lain, ilmu etika merupakan teori tentang tingkah
laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan
buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal. Seperti yang sedia maklum, Gurindam
Dua Belas ini merupakan sebuah karya yang kaya dengan nasihat dan
pengajaran yang dihasilkan bagi menjadi pedoman dan panduan masyarakat
terutamanya masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, bidang etika ini sememangnya
bidang yang paling banyak disentuh dalam karya puisi ini. Terdapat banyak
contoh bait yang berkaitan dengan bidang etika ini. Namun yang demikian, hanay
beberapa contoh sahaja yang dapat diberikan sebaga bukti bidang etika ini
terdapat dalam Gurindam Dua Belas.
Berikut merupakan contoh bait gurindam yang dapat dikaitkan dengan
bidang etika ini.
Apabila anak
tidak dilatih
Jika besar
bapanya letih.
Berdasarkan bait yang
terdapat pada fasal ketujuh dalam Gurindam Dua Belas, dapat dilihat
bidang etikanya dimana pengarang telah memberi pengajaran kepada ibu bapa di mana
seorang anak perlulah dididik semasa kecil agar apabila anak itu dewasa tidak
akan menyusahkan ibu bapanya. Selain itu, bidang etika ini juga dapat dilihat
dalam bait gurindam yang berikut:
Jika hendak
mengenal orang yang berilmu
Bertanya dan
belajar tiadalah jemu.
Berdasarkan bait yang
terdapat pada fasal kelima dalam Gurindam Dua Belas ini, dapat dlihat
bahawa bait ini mengandungi bidang pendidikan di mana bait ini menunjukkan
tentang ilmu iaitu orang yang pandai tidak akan pernah jemu untuk bertanya dan
belajar semasa hayatnya di dunia. Oleh yang demikian, berdasarkan contoh-contoh
bait yang telah dinyatakan, jelaslah bahawa bidang etika ini dinyatakan dalam Gurindam
Dua Belas.
1.1.2 Metafizika
Bidang metafizika ini pula merujuk
kepada bidang yang memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Falsafah ini
berbicara tentang tiga subjek yang menjadi perbincangan iaitu Tuhan, manusia
dan benda-benda yang tidak berakal seperti pohon, air dan lain-lain. Dalam Gurindam
Dua Belas ini, terdapat nasihat dan pedoman berbntuk keagamaan yang
disampaikan oleh pengarang. Berikut merupakan contoh bait yang berkaitan dengan
bidang metafizika ini.
Barang siapa mengenal Allah S.W.T
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah.
Berdasarkan bait yang terdapat dalam
fasal pertama ini menyatakan bahawa orang yang mengenal Allah S.W.T, harus
melakukan perintahnya dan menjauhi larangan-Nya. Hal ini jelas menunjukkan
bahawa dalam Gurindam Dua Belas terdapat bidang metafizika yang
mempercayai kewujudan dan keberadaan Allah S.W.T sebagai tuhan yang Esa.
1.1.3 Sosial
Bidang sosial pula
merupakan bidang yang berkait dengan gambaran kehidupan realiti manusia yang
kontekstual. Dalam Gurindam Dua Belas ini menunjukkan bahawa kehidupan
realiti manusia ini, banyak berkait dengan hubungan sosial antara manusia yang
merangkumi hubungan antara individu dengan sahabat, guru, ibu bapa dan
sebagainya. Berikut merupakan contoh bait yang mengandungi falsafah bidang
sosial.
Cahari olehmu
akan kawan
Pilih segala
orang yang setiawan.
Berdasarkan bait yang
terdapat pada fasal keenam dalam Gurindam Dua Belas ini, dapat dilihat
bahawa bait ini mengandungi bidang sosial di mana nasihat yang ingin di
sampaikan oleh pengarang ialah berkenaan dengan nasihat mencari teman yang
setia dengan kita di saat senang dan susah. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa
pengarang turut mengaitkan gurindam ini dengan perhubungan seseorang dengan
sahabat atau kawan mereka.
2.2 Aspek
Pemikiran
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat(2010:411), pemikiran dapat didefinisikan sebagai
perihal berfikir. Dalam bidang sastera pula, pemikiran ini selalunya dimulakan
dengan idea yang diperoleh oleh pengarang yang kemudiannya diolah oleh
pengarang sehingga menjadi sebuah karya atau buah fikiran yang bernas. Secara
mudahnya, pemikiran dapat dikaitkan dengan perkara utama atau tema dan
persoalan yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya. Selain itu, pemikiran
juga dapat dikaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada
pembaca dalam sesebuah karya. Dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali
Haji, terdapat banyak pemikiran yang ingin disampaikan oleh pengarang. Namun
berikut merupakan antara pemikiran yang dapat dianalisis dalam tugasan ini.
2.2.1
Nasihat tentang perihal
agama
Dalam Gurindam Dua
Belas, pengarang banyak memperihalkan tentang perihal agama. Berikut
merupakan antara bait yang terkandung perihal agama.
Barang siapa
mengenal yang tersebut,
Tahulah ia makna
takut.
Barang siapa
meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah
tiada bertiang.
Barang siapa
meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat dua termasa.
Tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa
meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.
Tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa
meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.
Tiadalah ia menyempurnakan janji.
Berdasarkan bait yang
terdapat dalam fasal kedua ini, jelaslah menunjukkan bahawa pengarang telah
menyelitkan perihal agama sebagai pedoman dan panduan kepada masyarakat. Dalam
bait-bait tersebut, pengarang telah menyatakan tentang kepentingan mengingati Allah,
sembahyang, puasa dan haji kepada masyarakat. Oleh yang demikian, jelaslah
bahawa dalam Gurindam Dua Belas juga terdapat perihal agama yang diselitkan
bagi menunjukkan betapa pentingnya pegangan agama dalam memastikan kebahagiaan
hidup di dunia dan akhirat.
2.2.2
Nasihat tentang hubungan
sesama manusia.
Dalam Gurindam Dua
Belas, pengarang juga menyelitkan tentang menjaga baik hubungan sesama manusia
yang terdiri daripada hubungan dengan ibu bapa, anak-anak dan rakan. . Berikut
merupakan antara bait yang mengandungi nasihat tentang hubungan sesama
manusia.
Dengan bapa
jangan durhaka,
Supaya Allah
tiada murka.
Denagn ibu
hendaklah hormat,
Supaya badan
dapat selamat.
Dengan anak
janganlah lalai.
Supaya boleh
naik ke balai.
Dengan kawan
hendaklah adil,
Supaya tangannya
jadi kapil.
Berdasarkan bait yang
terdapat dalam fasal yang kesepuluh, jelaslah bahawa meminta masyarakat untuk
menghormati ibu bapa dan jangan menderhaka kepada ibu bapa kita. Selain itu,
ibu bapa juga perlu menjaga anak dengan baik kerana anak merupakan amanah yang
diberikan oleh Allah. Bait yang terakhir menunjukkan bahawa kita perlulah
bersikap adil sesama rakan agar hubungan yang terjalin kekal selamanya. Oleh
yang demikian, jelaslah bahawa pengarang sememangnya menganjurkan agar
masyarakat sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia terutamanya dengan ibu
bapa, anak-anak dan teman.
2.2.3
Nasihat tentang
kepimpinan.
Gurindam Dua Belas
ini sememangnya mempunyai nasihat dan panduan yang menyeluruh kepada masyarakat
mengenai kehidupan seharian. Panduan dan nasihat yang diberikan bukan sahaja
terdiri daripada perihal agama dan pergaulan antara manusia semata-mata. Dalam
gurindam ini juga terselit tentang perihal kepimpinan yang boleh dijadikan
panduan dan pedoman kepada para pemimpin masyarakat. Berikut merupakan bait
yang terkandung tentang perihal kepimpinan ini.
Raja muafakat
dengan menteri,
Seperti kebun
berpagarkan duri.
Betul hati kepada
raja,
Tanda jadi
sebarang kerja.
Hukum adil atas
rakyat,
Tanda raja
beroleh inayat.
Berdasarkan bait yang
terdapat dalam fasal kedua belas di atas, menunjukkan bahawa pengarang telah
membicarakan tentang perihal kepimpinan du dalam gurindam tersebut. Pengarang
menyatakan bahawa dalam kepimpinan, raja dan menteri perlulah bekerjasama dalam
mentadbir kerajaan. Selain itu, raja yang baik yang mendapat petunjuk Allah
adalah raja yang adil terhadap rakyatnya. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Gurindam
Dua Belas karya Raja Ali Haji sememangnya menerapkan perihal kepimpinan
dalam penulisan puisi tersebut.
2.3 Aspek
Kepengarangan.
Kepengarangan
dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Keperibadian
merupakan kemuncak kepada seseorang pengarang. Dalam dunia sastera,
kepengarangan adalah aspek yang penting dalam mempengaruhi kedudukan sesebuah
teks dan sesorang sasterawan. Kepengarangan merujuk kepada keterampilan,
kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Biasanya kepengarangan
dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seorang pengarang.
Kepengarangan pula dianalisis daripada aspek keperibadian, seorang pengarang
itu biasanya akan berhadapan dengan beberapa tahap penulisannya.
Seorang pengarang perlu mempunyai
pengalaman artistik dan berharga kerana ia akan mempengaruhi daya
kreativitinya. Pengalaman diperoleh melalui bayangan, ingatan, kutipan,
pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa
sahaja unsur yang hadir termasuk yang bersifat konseptual dan kontekstual.
Pengumpulan bahan dalam aspek kehadiran penting kerana ia menjadi asas
penulisan. Prinsip kehadiran mengandungi tiga persoalan iaitu apakah
fakta-fakta yang hadir dan dari mana kehadirannya dalam teks tersebut dan
bagaimana fakta-fakta itu hadir dalam teks tersebut dan apakah kesan kepada
kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca.
Jika dilihat dalam konteks Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji, aspek kepengarangannya dapat dilihat dalam aspek realiti kehidupan yang merangkumi syariat dan pegangan dalam agama Islam dan nasihat-nasihat panduan berkenaan dengan kehidupan dalam masyarakat. Kepengarangan Raja Ali Haji ini jelas dalam karya Gurindam Dua Belas mungkin disebabkan oleh kehebatan Raja Ali Haji dalam menafsir kebajikan dan upaya membangun moral individu pada setiap diri manusia. Selain itu, Raja Ali Haji turut memasuki dunia pendidikan untuk mengajar ilmu Nahu, ilmu sharaf, ilmu Ushuluddin, ilmu Fiqh dan ilmu Tasawuf. Dengan adanya kepakaran yang tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu ini telah menjadikan beliau sebagai seorang ulama besar yang sangat disegani. Selain itu, dengan adanya pengalaman yang diperoleh melalui perjalanan kehidupannya telah menjadi batu loncatan kepada beliau untuk menghasilkan karya yang ditulis berdasarkan kekuatannya terutamanya dalam bidang agama dan moral individu. Dengan adanya fakta-fakta yang ditulis dalam karyanya menyebabkan pengarang dapat menghasilakn karya yang tepat faktanya dan memberikan kesan yang baik kepada pembaca. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa dengan adanya kepengarangan Raja Ali Haji yang kukuh dalam aspek agama dan moral individu telah membuatkan pembaca lebih yakin untuk menjadikan hasil karya itu sebgaai pedoman dan nasihat buat diri mereka.
Jika dilihat dalam konteks Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji, aspek kepengarangannya dapat dilihat dalam aspek realiti kehidupan yang merangkumi syariat dan pegangan dalam agama Islam dan nasihat-nasihat panduan berkenaan dengan kehidupan dalam masyarakat. Kepengarangan Raja Ali Haji ini jelas dalam karya Gurindam Dua Belas mungkin disebabkan oleh kehebatan Raja Ali Haji dalam menafsir kebajikan dan upaya membangun moral individu pada setiap diri manusia. Selain itu, Raja Ali Haji turut memasuki dunia pendidikan untuk mengajar ilmu Nahu, ilmu sharaf, ilmu Ushuluddin, ilmu Fiqh dan ilmu Tasawuf. Dengan adanya kepakaran yang tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu ini telah menjadikan beliau sebagai seorang ulama besar yang sangat disegani. Selain itu, dengan adanya pengalaman yang diperoleh melalui perjalanan kehidupannya telah menjadi batu loncatan kepada beliau untuk menghasilkan karya yang ditulis berdasarkan kekuatannya terutamanya dalam bidang agama dan moral individu. Dengan adanya fakta-fakta yang ditulis dalam karyanya menyebabkan pengarang dapat menghasilakn karya yang tepat faktanya dan memberikan kesan yang baik kepada pembaca. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa dengan adanya kepengarangan Raja Ali Haji yang kukuh dalam aspek agama dan moral individu telah membuatkan pembaca lebih yakin untuk menjadikan hasil karya itu sebgaai pedoman dan nasihat buat diri mereka.
2.4 Aspek
Estetika.
Estetika ialah rasa
keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan
bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau,
yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Setiap karya yang
dihasilkan pasti mempunyai keindahannya yang tersendiri. Menurut Mana Sikana (2007) dalam Mohd Rashid Md Idris
et al. (2014:98) menyatakan bahawa keindahan dapat dilihat daripada pembentukan
tekstual atau kontekstual terutamanya aspek kebahasaannya juga. Oleh yang
demikian, dalam aspek estetika ini akan difokuskan pada aspek keindahan
bahasanya di mana teori atau model dalam bidang bahasa dan kesusasteraan aitu
teori stilistik yang terbahagi kepada aspek skema dan majaz diberikan fokus.
Berikut merupakan aspek skema dan majaz yang terkandung dalam Gurindam Dua
Belas karya Raja Ali Haji.
2.4.1
Skema
Skema merupakan
penyimpangan atau perubahan dari segi bentuk ayat atau susunan perkataan. Aspek
skema in juga melibatkan perubahan dalam ejaan mahupun bunyi perkataan yang
terhasil dengan cara menambah atau mengurangkan huruf atau suku kata yang
terletak di hadapan, di tenagh mahupun di akhir perkataan ataupun melalui
perubahan bunyi. Aspek skema ini terbahagi kepada empat sub skema yang lebih
kecil yang merangkumi skema seimbang, skema perulangan, skema pengguguran dan
skema ragaman. Namun yang demikian, disebabkan bahan yang dikaji hanyalah Gurindam
Dua Belas, maka aspek skema ini kurang diperoleh dalam gurindam ini.
Berdasarkan empat jenis skema yang terdapat dapat teori stilistik ini, hanya
satu sahaja skema yang dijumpai iaitu skema perulangan. Skema perulangan
merujuk kepada perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada
dan bunyi yang puitis, berirama atau pelbagai. Berikut merupakan tiga jenis
skema perulangan yang dijumpai dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali
Haji.
2.4.1.1 Anafora
Anafora ialah
pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa
yang berturutan. Berikut merupakan contoh anafora yang dikesan dalam Gurindam
Dua Belas.
Keaiban orang
jangan dibuka,
Keaiban diri
hendaklah sangka.
Berdasarkan bait gurindam
yang terdapat dalam fasal kelapan di atas, dapat dilihat bahawa kata ‘keaiban’
merupakan anafora di mana pengulangan perkataan ‘keaiban’ dapat dilihat pada
permulaan kedua-dua baris gurindam.
2.4.1.2 Asonansi
Asonansi pula dikaitkan
dengan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata. Berikut merupakan
contoh asonansi yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas.
Tanda
orang yang amat celaka,
Aib
dirinya tiada ia sangka.
Berdasarkan bait
gurindam yang terdapat dalam fasal keempat di atas, dapat dilihat bahawa vokal
‘a’ telah diulang dalam setiap suku kata yang terdapat dalam bait tersebut.
Dengan ini jelaslah bahawa asonansi terdapat dalam Gurindam Dua Belas.
2.4.1.3 Aliterasi
Aliterasi ialah
pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata-kata
yang bersebelahan. Pengulangan ini mewujudkan rima dalam ayat. Berikut merupakan
contoh aliterasi yang dikesan dalam Gurindam Dua Belas.
Jika hendak
mengenal orang yang berakal,
Di dalam
dunia mengambil bekal.
Berdasarkan bait gurndam yang
terdapat dalam fasal kelima di atas, dapat dilihat bahawa konsonan ‘d’ telah
diulang dalam dua atau lebih kata-kata yang terdapat dalam bait. Dengan ini
jelaslah bahawa perulangan aliterasi terdapat dalam Gurindam Dua Belas.
2.4.2
Majaz
Majaz boleh dikaitkan dengan mengubah
atau memalingkan maksud. Dalam aspek majaz ini
terdapat lima jenis majaz yang merangkumi majaz pertautan, majaz
perbandingan, majaz pertentangan, majaz ragaman dan majaz Melayu. Namun yang
demikian, setelah dikaji, hanya dua jenis majaz sahaja yang dikesan dalam Gurindam
Dua Belas karya Raja Ali Haji. Berikut merupakan strategi majaz yang telah
dikesan dalam gurindam ini.
2.4.2.1 Simile
Simile merupakan sub
jenis yang berada di bawah majaz perbandingan. Majaz bandingan ini merupakan
penggunaan unsur bahasa yang bersifat memabndingkan dua hal yang pada
hakikatnya berlainan atau yang dengan sengaja dianggap sama. Simile pula
dikaitkan dengan perbandingan secara langsung antara dua objek yang dari segi
fitrahnya tidak serupa namun mempunyai satu persamaan. Berikut merupakan contoh
yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas yang dapat dikaitkan dengan aspek
simile ini.
Jika sedikitpun
berbuat bohong,
Boleh
diumpamakan mulutnya itu pekung.
Berdasarkan bait
gurindam yang terdapat dalam fasal keempat di atas, dapat dilihat bahawa aspek
simile terdapat dalam bait tersebut. Aspek simile ini dapat dilihat pada kata
‘mulut’ yang diumpamakan dengan ‘pekung’. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa
aspek simile ini terdapat dalam Gurindam Dua Belas.
2.4.2.2 Antimeria.
Antimeria merupakan sub
jenis yang berada di bawah majaz ragaman. Majaz ragaman merangkumi penggunaan
strategi retorik yang tidak digolongkan
dalam majaz yang sudah dibincangkan kerana kepelbagaian bentuk dan
struktur kemajaziannya. Antimeria pula merujuk kepada maksud penggantian
golongan kata dengan golongan kata yang lain. Berikut merupakan contoh yang
dapat dikaitkan dengan aspek antimeria dalam Gurindam Dua Belas.
Hendak dimalui
Jangan memalui.
Berdasarkan bait
gurindam yang terdapat dalam fasal kesebelas di atas, perkataan yang menjadi
kata dasar untuk bait tersebut yang digantikan ialah kata ‘malu’. Pada baris
pertama bait ini menunjukkan kata dasar ‘malu’ yang menerima apitan di-...-i
manakala baris kedua bait ini pula menerima apitan me-...-i. Oleh yang
demikian, jelaslah bahawa aspek antimeria ini sememangnya terdapat dalam Gurindam
Dua Belas.
3.0 Penutup
Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji sememangnya karya yang mempunyai unsur nasihat dan teladan yang berguna terutamanya kepada masyarakat Melayu. Berdasarkan analisis yang telah dijalankan, dapat disimpulkan beberapa perkara tentang gurindam ini.
Dari aspek falsafahnya, dapat dilihat bahawa bidang yang dibawa oleh pengarang tidak menyeruruh. Hal ini mungkin disebabkan oleh fokus utama pengarang adalah dalam menghasilkan sebuah karya yang boleh dijadikan pedoman dan panduan kepada masyarakat dalam aspek keagamaan dan modal insan individu.
Dalam bidang pemikiran pula, banyak isi dan mesej yang ingin disampakan oleh pengarang. Hal ini sejajar dnegan fungsi utama penghasilan karya ini yang bertujuan untuk memberikan panduan dan pedoman kepada masyarakat. Oleh yang demikian, dalam aspek pemikiran ini, mesej yang ingin disampaikan bukan sahaja tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata, namun mesejnya berbentuk menyeluruh yang merangkumi aspek kepimpinan, budi pekerti, nilai murni, pergaulan sesama manusia dan sebagainya.
Dalam bidang kepengarangan dan estetika pula dapat dilihat kekurangan pada karya ini. Kekurangan ini dapat dilihat jika dibandingkan dengan hasil kepengaarangan dan estetika yang terdapat dalam karya-karya agung Melayu. Hal ini mungkin disebabkan oleh karya yang dikaji hanyalah berbentuk gurindam. Hasil karya gurindam tidak serumit dan selengkap sebuah karya yang agung. Oleh itu, hasil yang ditemui tidaklah sehebat karya agung Melayu.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Gurindam Dua Belas ini sememangnya gurindam yang hebat kerana nasihatnya masih dipegang dan diikuti oleh mayarakat Melayu. Hal ini membuktikan bahawa gurindam ini gurindam yang hebat kerana masih kekal walaupun penulisan karya ini sudah beratus-ratus tahun dahulu.
4.0 Rujukan
Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010). Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Mohd Rashid Md
Idris, Abd. Rahman Napiah & Seri Lanang Jaya Hj. Rohani(2014). Karya
Agung Melayu. Tanjong Malim:Pusat Pendidikan Luar
& Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris.
No comments:
Post a Comment